Oleh pada 12 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Hazama

Menampilkan kelainan dengan imej tubuh bertatu dan gaya rambut ala Bob Marley dalam muzik video terbarunya, penyanyi Hazama mencetuskan kontroversi di kalangan netizen.

Bagaimanapun pemilik nama penuh Hazama Azmi itu memberitahu konsep tersebut adalah selaras dengan mesej dalam lagu baru yang dilancarkan, Aku Bukan Dewa.

"Lagu ini mempunyai mesej mendalam yang perlu dihayati menerusi muzik video terbabit.

"Klip berkenaan pula dirakam di Pulau Kapas, Terengganu, kerana secara peribadi, saya memang mencintai pulau," katanya menurut laporan portal Berita Harian Online.

Jelas penyanyi berusia 33 tahun itu, muzik video tersebut berkisarkan kehidupan seorang banduan yang baru dibebaskan dan dalam perancangan untuk merencana haluan hidup baru.

Tatu dan gaya rambut menjadi simbol kepada jalan hitam kehidupan lalunya.

isu badan bertatu ini jawab hazama 2

Kredit foto: Instagram Hazama

"Jadi, tatu dan rambut panjang itu menjadi perlambangan kepada dosa lalu yang cuba untuk dihapuskan.

"Biarpun majoriti peminat memahami konsep badan bertatu khas untuk muzik video ini, namun ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan saya itu," dedahnya.

Aku Bukan Dewa yang telahpun dilancarkan pada 6 Oktober antara lain turut menampilkan kemunculan istimewa penyanyi rap terkemuka, Altimet.

Meskipun single terdahulu Aku Yang Sebenar baru sahaja menerjah pendengaran umum beberapa bulan lepas, namun juara Akademi Fantasia Musim Kesembilan ini mempunyai agenda tersendiri untuk kekal relevan dalam industri muzik.

"Produk terbaru ini menampilkan sisi matang peralihan saya sejak mula berkecimpung dalam bidang seni.

"Saya bukan sekadar mempertaruhkan vokal semata-mata, tetapi turut memberi kelainan dari segi genre muzik," katanya.  

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)