Kredit foto: Instagram Ewal
Peserta Akademi Fantasia (AF) Megastar, Ewal bimbang akan kritikan netizen jika menyanyikan lagu bapanya, Mel yang juga merupakan bekas vokalis kumpulan Wings.
Ini susulan nama besar kumpulan rock gergasi itu yang mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.
Ewal sedar akan keupayaannya dan sebolehnya ingin mengelakkan daripada menjadi mangsa kecaman orang ramai.
Kredit foto: Instagram Ewal
"Orang akan pertikaian kalau saya bawa lagu Wings kerana Wings merupakan nama besar, sedangkan saya bawa lagu Akim & The Majistret pun orang komen macam-macam.
"Kalau boleh kita elakkan orang beri komen negatif dan saya sendiri akui sukar untuk bawa lagu-lagu rock terutama kumpulan yang mempunyai nama besar seperti Wings," katanya memetik laporan portal mStar Online.
Untuk info, Mel pernah bergelar vokalis kumpulan Wings ketika Awie mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu buat sementara waktu.
Susulan itu, kemunculan anaknya, Ewal menyanyikan lagu asal Akim & The Majistret, Potret dalam konsert rock AF Megastar Ahad lalu menimbulkan tanda tanya.
Ramai yang ingin melihat Ewal mengembalikan semula kegemilangan lagu ayahnya.
Malah peminat lebih kecewa bila penyanyi berusia 25 tahun itu gagal menjiwai lagu rock dengan baik sehingga tersingkir di hujung konsert.
Kredit foto: Instagram Ewal
Dalam pada itu, Ewal menegaskan antara dia dan bapanya masing-masing mempunyai aliran muzik yang berbeza dan tidak wajar dibandingkan.
"Bapa saya seorang penyanyi rock tidak bermakna saya juga boleh jadi penyanyi rock seperti dia. Jiwa saya lebih kepada irama pop.
"Susah nak ubat mentaliti orang yang menyangka saya boleh menyanyi seperti bapa saya juga. Saya ada aliran muzik saya sendiri," luahnya.
Mengulas mengenai penyingkirannya, Ewal akur dengan ketentuan itu.
Malah ia tidak sedikitpun akan memadamkan semangatnya untuk mencari kedudukan sendiri dalam dunia hiburan.
"Saya akan terus mengejar cita-cita dalam bidang ini. Saya percaya rezeki saya akan sampai sama ada lambat atau cepat," katanya.
Sumber berita: Mstar