Kredit foto: Instagram Ewal
Penyanyi Ewal menjadi mangsa segmen penyingkiran pertandingan nyanyian AF Megastar minggu kedua yang berlangsung di Royal Theater semalam.
Pemilik nama penuh Ikhwal Hafiz Ismail itu mempertaruhkan lagu Potret (dendangan asal Akim & The Majistret) bagaimanapun memperoleh jumlah markah keseluruhan paling corot di hujung konsert.
Malah juri tetap Datuk Ramli MS juga dilihat tidak berpuas hati dengan persembahan vokal Ewal pada malam itu yang disifatkannya lebih ke arah genre pop.
Ramli meminta Ewal mencari identiti dalam penyampaian nyanyian kerana penyanyi itu sering terikut-ikut dengan gaya vokal penyanyi asal.
"Persembahan awak tak rock, ia kedengaran lebih kepada pop. Awak harus cari keupayaan dan identiti awak sendiri dalam lagu dan jangan selalu mengikut penyanyi asal," ulas Ramli dalam kritikannya selepas persembahan Ewal.
Dua lagi peserta yang berada di kedudukan tiga terendah adalah Sufi dan Amir Jahari, namun terselamat untuk meneruskan perjuangan ke minggu seterusnya bersama tujuh lagi penyanyi lain iaitu Bob, Marsha, Idayu, Shahir, Indah Ruhaila, Syamel dan Amir.
Sementara itu, Sufi meraih undian tertinggi daripada peminat sekaligus memperoleh gelaran juara mingguan.
Juri yang mengadili pertandingan pada malam itu ialah dua pengkritik tetap, Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat bersama pengkritik undangan, Joe Wings.
Keputusan adalah berlandaskan format gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton di rumah melalui SMS dan laman web.
Konsert keempat mengangkat genre rock sebagai tema lagu para peserta.
AF Megastar ke udara di saluran Astro Ria, jam 9 malam, setiap Ahad.