Oleh pada 30 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Amelina

Penyanyi dangdut Amelina dikejutkan dengan komen berbaur kesat oleh seorang individu tidak bertanggungjawab.

Dedah Amelina, kejadian itu berlaku ketika dia menyertai ruangan sembang bersama peminat di aplikasi Bigo.

Apabila menerima komen tersebut, penyanyi berusia 43 tahun itu hanya mampu berpura-pura tidak faham dengan apa yang disampaikan.

"Pernah berlaku satu kejadian apabila ada orang yang tidak dikenali meninggalkan komen kesat ketika saya sedang live.

"Bila saya baca, saya pura-pura tak faham dan bertanya semula apa maksud bahasa yang ditulis itu," katanya dalam laporan yang dikeluarkan portal Mstar Online.

Amelina membuat kenyataan tersebut selepas tamatnya Konsert Mini Amelina Live In KL yang berlangsung di Restoran D'Saji Titiwangsa Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Cinta Harus Seksi itu enggan melepaskan remaja berkenaan, sebaliknya mengambil langkah dengan membuat teguran secara tertutup melalui mesej peribadi.

Amelina mahu anak muda itu tahu apa yang dilakukannya adalah salah, namun dalam masa yang sama tidak memalukannya di hadapan khayalak.

"Saya menegur memberitahu bahasa yang mereka gunakan itu kurang sopan dan tidak sesuai.

"Tambahan pula ayat kesat yang ditulis itu boleh dibaca oleh semua orang.

"Yang sedihnya, mereka ini masih remaja dan muda lagi, tapi bahasa yang digunakan agak menakutkan," jelasnya.

amelina hantar mesej peribadi kerana komen kesat 2

Kredit foto: Instagram Amelina

Mengenai konsert mini yang dijayakannya, Amelina gembira kerana dapat terus memperjuangkan muzik dangdut selepas 20 tahun penglibatan sebagai anak seni.

Dalam masa yang sama, dia mengakui agak tertekan kerana tempoh persiapan yang diberi agak singkat.

Dengan berlangsungnya konsert tersebut, dia berharap lebih ramai penyanyi dangdut turut sama bangkit menyemarakkan kembali kegemilangan muzik itu.

"Persiapan untuk showcase ni tak sampai sebulan, jadi kecut perut nak menyanyi malam ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

"Diharap selepas ini lebih ramai penyanyi dangdut adakan konsert begini dan kembalikan semula keyakinan peminat Malaysia," katanya. 

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)