Oleh pada 12 Oct 2022 kategori

Suka atau tidak, besar kemungkinan ramai di antara kita 'terpaksa' menggunakan aplikasi mesej disebabkan keperluan untuk berhubung, sama ada berorientasikan pejabat, keluarga, persekolahan anak atau keep in touch dengan sahabat handai kenalan lama.

Kemudahan yang disediakan secara 'percuma' ini memang memudahkan jika dibandingkan dengan sistem pesanan ringkas atau SMS satu masa dahulu. Sudahlah keupayaannya terhad, kita juga perlu membayar hanya untuk satu mesej.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Aplikasi percuma banyak membantu berlangsungnya komunikasi kini, namun ada ketikanya penulis rasa lagi elok kita dikenakan caj untuk setiap mesej kita.

Lagi-lagilah kalau kumpulan mesej kita kerap sangat...

1. ..Bazir masa layan borak politik

politik kedai kopi dalam aplikasi mesej

Ada orang langsung tak ikut politik baik tempatan atau antarabangsa. Ada orang sekadar ambil tahu. Ada juga segelintir orang, dia politikkan semua perkara.

Jika ada kemalangan berlaku? Itu angkara politik. Tragedi dan bencana alam? Politik. Kejatuhan nilai matawang dunia berbanding US? Politik. Belanjar dapur dan rumah dia bulan tu tak cukup? Salah ahli politik.

Ramai di antara kita terpaksa melayan orang-orang sebegini yang 24 jam sehari mencari sebab untuk mencanang mesej politik dia. Yang tak best, dia bawa perangai tu ke dalam kumpulan mesej yang disertai kita. Akan makin meriahlah kalau ada yang sependapat dengan dia.

Keluar saja apa-apa berita, dia akan keluar dulu pandangan yang kadangkala tak berasas hanya berdasarkan agak-agak, hanya disebabkan dia tak boleh lari nak kaitkan politik dalam semua isu yang ada.

2. ...Ada orang forward iklan tak henti

cara iklan whatsapp 196

Usaha untuk mencipta kumpulan perbincangan melalui media sosial atau aplikasi mesej pasti akan menampakkan satu jenis pengguna; mereka yang gemar menempek iklan setiap hari.

Sudahlah dimuatnaik iklan setiap hari, mesejnya bertalu-talu siap dengan gambar 7-8 keping nak mempromosikan produk atau barangan jualan dia. 

Tak salah nak menaikkan iklan, tapi pastikanlah minta izin dulu dan kena pada tempatnya. Ini tidak, bagi salam tak, ketuk tak, main terjah saja pasang iklan di semua kumpulan yang dia sertai.

Orang sebegini berani buat sebaran secara am ni kerana mereka tahu kosnya sifar. Cuba kalau satu mesej dikenakan caj 20 sen. Berfikir panjang jugalah dia nak spam kita semua.

3. ..Ingatkan cikgu anak wajib berhubung dengan mereka

guru dibebani komunikasi dengan ibu bapa

Satu salah anggapan ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah, adalah 'kewajipan' cikgu berhubung dan memaklumkan ibu bapa tentang apa-apa perkara menggunakan kumpulan mesej dalam aplikasi.

Tidak. Perkara itu tidak wajib. Terpulang kepada guru sama ada mereka hendak atau tidak menubuhkan kumpulan itu, bagi membantu komunikasi yang lebih berkesan.

Apa yang sangat menyusahkan kerja pendidik, sistem mesej ini membuatkan ibu bapa jadi manja. Barang anak hilang, minta cikgu carikan. Apa anak kena bawa esok? Cikgu kena ingatkan ibu bapa. Ada acara bakal berlangsung? Cikgu kena maklumkan.

Semua komunikasi antara pihak sekolah/guru dan ibu bapa sebenarnya berlangsung secara rasmi melalui murid sebagai perantara. Jika satu mesej aplikasi dikenakan caj 20 sen, adakah anda sebagai ibu bapa akan mempunyai jangkaan serupa mahu guru aktif berhubung dengan anda? Tidak kan?

Sekiranya satu mesej dikenakan bayaran, anda pun mungkin tak mengganggu guru-guru dengan permintaan tak munasabah anda.

4. ....Mengamalkan budaya komunikasi 'copy and paste'

takziah whatsapp

Kemudahan mesej secara percuma mengakibatkan ramai di antara kita tidak lagi mampu melihat adanya keperluan untuk 'berusaha' menaip mesej agar lebih mencerminkan diri kita.

Apabila mendapat sesuatu makluman atau arahan majikan sebagai contoh - kita akan membalas 'noted' atau 'maklum' secara beramai-ramai, dilakukan hanya kerana kita boleh melakukannya.

Dalam situasi di mana seseorang meraikan hari ulang tahun, kita akan berpakat-pakat menyalin semula mesej-mesej sebelum kita untuk kita hantar. Jika menerima berita kematian pun sama; ucapan takziah sama akan berulang-ulang dihantar oleh pengguna yang berbeza.

Ya, kami akui ingatan di sebalik semua ucapan itu adalah penting. Tetapi dalam masa yang sama, kemudahan mesej sebegini mengakibatkan kita saling salin-menyalin mesej, mengurangkan sentuhan manusia dalam mesej-mesej kita.

Cuba satu mesej tu kena 20 sen, kami yakin anda tak akan sewenang-wenangnya menyalin mesej atas anda. Anda pasti akan menulis sendiri sesuatu yang lebih peribadi dan ada maknanya.

5. ...Bersikap tidak formal dalam situasi formal

tona mesej dalam komunikasi profesional

Seandainya anda pernah menawarkan jawatan kosong melalui iklan, anda pasti akan menemui pemohon yang agak sambil lewa memohon melalui aplikasi mesej.

Mesejnya tidak formal, tidak dirancang dengan baik dan lebih mirip dengan dialog kawan-kawan. Kenapa situasi sebegini semakin kerap berlaku? Ini kerana mesej yang boleh dihantar tidak dikenakan sebarang bayaran.

Apabila tiada kekangan kos, ramai di antara kita mengambil sikap acuh tak acuh walaupun sedang berkomunikasi secara profesional dengan pihak tidak kita kenali.Ayat yang kita karang, pendek-pendek dan ala kadar.

Sekiranya satu mesej perlu dibayar, ramai orang akan take serious apa isi kandungan yang akan mereka hantar. Setiap ayat yang ditulis akan difikirkan terlebih dahulu kerana tahu sebarang kesilapan akan menambahkan kos kepada kita.

6. ...Dihubungi boss 24 jam sehari

penggunaan mesej percuma mudahkan komunikasi

Anda bayangkan untuk setiap satu mesej jika dikenakan bayaran, anda ingat bos atau supervisor anda akan hubungi anda secara berleluasa ketika di luar waktu kerja?

Begitulah juga dengan budaya bermesyuarat dalam aplikasi mesej yang kerap menjadi modus operandi standard banyak syarikat, yang merasakan perbincangan secara dalam talian berdasarkan teks sangat efektif.

Sedangkan realitinya perbincangan sebegini hanya menimbulkan banyak kekeliruan. Kita tak nampak ekspresi muka empunya mesej. Bila kita baca mesej boss, susah kita nak tahu dia sedang dalam emosi apa.

Tenang? Marah? Sedang stres? Tengah sakit perut? Tengah menyindir?

Notifikasi masuk bertalu-talu untuk kita baca dan ikuti. Sekiranya satu mesej dikenakan caj 20 sen, kami yakin hanya satu mesej akan sampai ditulis panjang dan padat serta lengkap informasi dan tona mesejnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)