Alam semesta yang luas ini sudah pasti di luar akal manusia untuk memahaminya. Matahari dan planet-planet di dalam sistem solar kita, bersama dengan 2 bilion bintang-bintang lain, adalah sebahagian daripada galaksi yang kita diami, Bima Sakti (The Milky Way).
Jika Bima Sakti dilihat daripada pandangan luar, kewujudan matahari kita ini hanyalah seperti kuman, sekiranya dibandingkan dari segi saiz dengan galaksi tersebut. Rentasan Bima Sakti adalah sekitar 150,000 tahun cahaya. Ini bermaksud, kapal angkasa yang bergerak pada kelajuan cahaya (1.08 x 10^9 km/h) akan mengambil masa selama 150,000 tahun untuk merentasi dari satu penghujung galaksi, ke penghujung yang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Secara puratanya, jarak antara satu galaksi ke galaksi yang lain adalah kira-kira 10 juta tahun cahaya. Setakat ini, para saintis menganggarkan terdapat sekitar 100 bilion galaksi di dalam alam semesta, namun jumlah ini mungkin meningkat apabila teknologi teleskop berkembang menjadi semakin canggih.
Keluasan alam semesta yang luas ini sudah pasti membangkitkan persoalan tentang kehidupan lain di dalamnya. Adakah kehidupan di bumi adalah satu-satunya kehidupan yang wujud? Apakah kebarangkalian wujudnya kehidupan lain (alien, makhluk asing) di dalam alam semesta ini? Sesungguhnya tidak tercapai dek akal fikiran manusia untuk memahami tentang ilmu dan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.
Maklumat Berkaitan Kehidupan Lain Daripada Al-Quran
Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. - [40:57]
Al-Quran memberitahu kita tentang 'bumi' seperti di dalam Surah At-Talaq di bawah:
Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu. Perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi, agar kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu dan ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu. - [65:12]
Apakah kesedaran orang Islam pada zaman lalu tentang kewujudan makhluk luar angkasa (extraterrestrials) a.k.a. makhluk asing? Menurut Basheer-ud-Din Mahmood (Khalifah dan ulama Islam daripada Pakistan), idea tentang kehidupan di lain-lain lokasi di alam semesta juga, berasal daripada Nabi Muhammad S.A.W. (Rasulullah) apabila baginda memberitahu orang Islam:
Apabila kamu duduk di dalam solat ketika Attahiyat dan berkata 'Sejahtera ke atas kita, dan hamba Allah yang bertakwa', kamu sebenarnya mendoakan kesemua orang beriman di Bumi dan di langit.
Menurut Basheer, ini jelas menunjukkan bahawa semua jenis orang, sama ada baik atau jahat, juga hidup di dunia lain seperti mana mereka hidup di Bumi kita. Jelasnya lagi, dengan merujuk kepada Rasial Imam Ghazali, "Menurut Imam Muhammad Ghazali, mereka yang hidup di antara dunia berplanet ini telah mempelajari cara untuk mengembara dan berkomunikasi antara satu sama lain."
Ibnu Abbas adalah antara salah seorang para sahabat Rasulullah. Baginda pernah memohon kepada Allah supaya menganugerahkan beliau dengan pengetahuan Al-Quran. Melalui penulisannya dalam Tafhim-ul-Quran, Maulana Maududi (ahli falsafah Islam) menyebut bahawa Ibnu Abbas percaya dan yakin bahawa terdapat banyak lagi 'badan' seperti bumi di langit.
Katanya lagi, Ibnu Abbas bukan sahaja berfikir bahawa bumi-bumi ini didiami oleh kehidupan yang bijaksana, malah makhluk-makhluknya juga sama seperti penduduk Bumi. Maulana Maududi juga memberikan pendapat mengatakan bahawa mereka juga mempunyai nabi-nabi seperti Nabi Muhammad S.A.W., Nabi Adam A.S., Nabi Nuh A.S., Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Isa A.S..
Adalah jelas pengetahuan tentang kewujudan kehidupan di planet-planet lain, dan ianya turut disebut di dalam Al-Quran, dan maklumat tentangnya telah hadir dalam kalangan umat Islam sejak dari zaman awal Islam lagi.
Dabbatun - Makhluk Hidup di Angkasa
Kebanyakan umat Islam tidak sedar tentang fakta bahawa Al-Quran secara jelas menyebut tentang kewujudan kehidupan makhluk asing melalui perkataan 'dabbatun'. Perkataan ini merujuk kepada makhluk hidup seperti kita yang berjalan di bumi. Namun ianya juga merujuk kepada makhluk yang hidup di langit. Perbincangan berikut menjelaskan bahawa dabbatun tidak merujuk kepada burung, malaikat dan lain-lain:
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya adalah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada keduannya. Dan Dia Maha Berkuasa mengumpulkan semuanya apabila Dia kehendaki. - [42:29]
Di dalam nota kepada [42:29], Muhammad Asad menyatakan bahawa di dalam Al-Quran, ekspresi 'langit dan bumi' selalunya menandakan alam semesta dan isinya.
Perkataan 'sama', diterjemahkan kepada 'langit'. Ayat di atas tidak merujuk kepada burung-burung di langit, seperti yang disebut secara berasingan daripada kehidupan di langit (dabbatun) di dalam Surah An-Nur di bawah:
Tidakkah engkau (Muhammad) tahu bahawa kepada Allahlah bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan juga burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sungguh telah mengetahui (cara) berdoa dan bertasbih. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. - [24:41]
Al-Quran juga menyebut bahawa objek tidak bernyawa juga menyembah Allah seperti di dalam Surah An-Nahl di bawah:
Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah, yang bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka berendah hati? - [16:48]
Makanya, mungkinkah makhluk (dabbatun) yang disebut di dalam [42:29] di langit, makhluk Allah yang tidak bernyawa? Tidak! Ayat berikutnya seperti di bawah menyebut:
Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. - [16:49]
Terjemahan perkataan dabbatun membawa maksud 'makhluk hidup' di sini sama seperti yang dinyatakan di dalam [42:29]. Muhammad Asad mengatakan bahawa perkataan dabbah menunjukkan mana-mana makhluk jasmani (mempunyai bentuk fizikal) yang mampu bergerak secara spontan adalah berbeza dengan makhluk-makhluk rohani yang disebut sebagai 'malaikat'.
Dalam kata lain, [42:29] merujuk secara khusus kepada jenis kehidupan yang dicari oleh sains, dan bukannya beberapa entiti metafizik.
Yusuf Ali (ulama Islam yang berasal dari India) berkata, "Dabbatun adalah binatang, hidupan, makhluk yang melata daripada segala jenis." Ini adalah perkataan yang sama yang digunakan di dalam Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nur:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi setelah mati (kering) nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi. Sungguh (pada semua itu terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. - [2:164]
Dan Allah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. - [24:45]
Berdasarkan [42:29]. Allama Shabbir Ahmad Usmani (ulama Islam dari Pakistan) berkata, "Ayat tersebut menunjukkan bahawa seperti Bumi, terdapat beberapa jenis haiwan, makhluk hidup di langit juga." Pada ayat yang sama, Yusuf Ali memberi komen:
Kehidupan tidak hanya tertakluk kepada planet kecil kita ini. Ianya adalah suatu spekulasi lama untuk membayangkan beberapa kehidupan seperti kehidupan manusia di atas planet Marikh. Adalah lebih munasabah untuk mengatakan bahawa kehidupan dalam lain-lain bentuk turut bertebaran melalui jutaan badan-badan langit merentasi ruangan angkasa.
Daripada kenyataan dan pendapat seperti ini, anda semua pasti ambil maklum bahawa ulama dan cendekiawan Islam sedar tentang ayat [42:29] yang secara jelas menyebut tentang kewujudan kehidupan makhluk luar angkasa.
*Pendapat dan maklumat di dalam artikel ini adalah terjemahan daripada artikel asal yang ditulis oleh Dr M H Khan melalui laman sesawang endphysics.com dan bukannya pendapat yang dihasilkan sendiri oleh penulis.
Kesimpulan
Wallahu a'lam. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.
Sumber & Bacaan Tambahan: