Nama Charles Martel mungkin tidak dikenali di kalangan umat Islam, melainkan dia benar-benar gemar mengkaji sejarah lama peperangan dunia.
Namun nama itu merupakan salah satu nama yang memainkan peranan yang sangat besar menyelamatkan benua Eropah daripada ditakluki tentera Islam yang ketika itu memerintah kerajaan Andalusia, yang turut digelarkan sebagai Kerajaan Islam Iberia atau kerajaan Islam Sepanyol.
BESARKAN TEKS A- A+
Penaklukan tentera Islam ke atas kawasan Eropah bermula selepas kerajaan-kerajaan di Eropah berpecah belah ke dalam kelompok kecil, semasa era yang digelarkan Era Kegelapan.
Salah satu kerajaan kecil yang wujud di Eropah ketika itu adalah kerajaan Visigoth, memerintah kawasan Toledo di Sepanyol. Selepas bencana serta masalah melanda masyarakat mereka sehingga menyebabkan sistem pemerintahan mereka runtuh, Visigoth menyaksikan seorang Duke bernama Roderic naik menaiki takhta, melantik dirinya sendiri sebagai raja.
Akibat daripada kejadian ini, salah seorang musuh kepada Roderic yang tidak berpuas hati dengan cara Roderic menaiki takhta - meminta kerjasama empayar terkuat dunia ketika itu empayar Islam Umayyah untuk membantu menamatkan pemerintahan Roderic.
Peperangan Guadelete menewaskan orang Visigoth
Melihat kewujudan peluang untuk meluaskan lagi pengaruh Islam di Eropah, empayar Umayyah bersetuju untuk membantu pemimpin Visigoth bagi menjatuhkan Roderic. Pada tahun 711, di bawah kendalian jeneral perang Tariq bin Ziyad yang ketika itu memegang jawatan Gabenoer Tangier (salah satu daerah di Maghribi kini) hadir dengan 10,000 orang kekuatan tentera.
Mendarat di Gibraltar, Tariq dan askarnya berarak terus ke Algericas, Seville sebelum sampai ke Cartagena yang dipilih sebagai pusat operasi mereka. Jeneral Tariq dan askarnya berarak menujuk ke Toledo sebelum bertemu dengan pasukan tentera Visigoth yang dipimpin Raja Roderic.
Dalam pertempuran itu yang menyaksikan tentera Visigoth berada dalam keadaan tidak terurus, tentera Visigoth berjaya ditewaskan. Raja Roderic yang dikawal pengawal peribadinya gagal bertahan sel vepas diabaikan oleh salah seorang komander perangnya sendiri. Jumlah mereka yang dikatakan besar gagal menyaingi kekuatan tentera Tariq bin Ziyad serta orang Visigoth yang berpaling tadah, menyebabkan Roderic akhirnya mati dibunuh.
Bermulalah kemaraan tentera Islam di bumi Sepanyol.
Kebangkitan Charles Martel
Dilahirkan di Belgium, Charles merupakan seorang putera orang Frank. Selepas kematian ayahnya, Charles dipenjarakan kerana waris yang dinamakan oleh ayahnya ketika itu baru berusia 8 tahun. Bimbang Charles akan merampas kuasa, Charles dipenjarakan di Cologne sebelum dia berjaya meloloskan diri kemudian mula membina empayarnya sendiri.
Menyedari politik tidak mengira mangsa, Charles mula belajar tentang ilmu-ilmu ketenteraan serta politik yang dapat membantu dia mengelakkan diri daripada terus menjadi mangsa. Dalam pertempuran pertama dia sebagai komander - dia berdepan kekalahan. Bagaimanapun, itu adalah satu-satunya kekalahan dia selepas dia gagal menewaskan orang-orang Frisian menceroboh masuk merampas kebanyakan harta peninggalan ayahnya, dalam peperangan Cologne.
Mula belajar, Charles mengubah taktiknya dan tidak lagi mengamalkan pendekatan biasa. Dia mula memperkenalkan taktik-taktik baru dalam peperangan, bagi memastikan kelebihan berpihak pada dia. Dalam beberapa siri pertempuran selepas itu, Charles mula memperoleh kejayaan; Peperangan Ambleve yang berlangsung pada bulan April 716 menjadi titik tolak kebangkitan Charles.
Pengaruhnya mula tersebar dan dia mula menguasai lebih banyak kawasan, dengan jumlah askar yang setia kepadanya semakin hari semakin meningkat. Dia berjaya menyatuhkan sebahagian besar kerajaan yang berpecah belah sebelum itu, melantik orang yang dia percayai menggantikan pemimpin kerajaan lama. Pada tahun 732, Charles dikenali sebagai individu paling berkuasa di Eropah dan juga seorang panglima perang yang menjulang ajaran Kristian dengan teguh.
Bagaimanapun, Charles tidak mahu bergelar raja. Dia lebih selesa dikenali sebagai komander tentera orang Frank, walaupun hakikatnya dia merupakan orang paling berkuasa di Eropah ketika itu - menguasai bahagian utara dan timur Perancis, Jerman serta beberapa negara lain yang meliputi Luxembourg, Belgium dan Belanda.
Selepas 2 dekad menjajah kawasan sekitar Eropah, tentera Islam yang berjaya melebarkan pengaruh mereka tanpa halangan mula berasa yakin bahawa tidak ada mana-mana angkatan tentera yang dapat menghalang kemaraan mereka. Ini menyebabkan langkah-langkah risikan awal atau intipan tidak dilakukan terlebih dahulu, dek keyakinan mereka yang memuncak untuk berhadapan dengan mana-mana tentera.
Berjaya menguasai wilayah Bordeaux dalam peperangan yang digelarkan peperangan Sungai Garonne, tentera Islam seramai 80,000 orang yang diketuai oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi berjaya mengalahkan tentera Aquitani yang diketuai Duke Odo of Aquitaine pada tahun 732.
Duke Odo berjaya melarikan diri, sebelum mengambil keputusan untuk menyerahg diri dan memohon bantuan musuh ketat mereka sendiri ketika itu iaitu Charles Martel. Sementara itu, Abdul Rahman al-Ghafiqi dan tenteranya terus mara ke pekan Tours tanpa menyedari rancangan yang sudah diaturkan Duke Odo dan Charles Martel.
Kealpaan tentera Islam mengundang bala
Charles tahu satu-satunya cara untuk mengalahkan tentera Muslim yang jumlahnya jauh lebih besar daripada angkatannya, adalah dengan bermain taktik psikologi. Sedang dalam perjalanan ke Tours, Abdul Rahman mendapati pasukan perang Charles Martel sudah pun menunggu mereka di kawasan tinggi.
Namun Charles tidak melakukan sebarang serangan besar-besaran. Ekoran daripada tahap keyakinan yang terlalu tinggi dengan kekuatan tentera mereka, Abdul Rahman tidak dapat menganggarkan kekuatan sebenar tentera Charles Martel. Selama 6 hari pasukan tenteranya menunggu di laluan tersebut, cuba mendapatkan maklumat tentang tentera yang menghalang mereka.
Angkatan tentera Charles tidak berdepan sebarang masalah kerana bekalan makanan yang mencukupi telah disediakan. Cuaca yang sejuk mula menyebabkan keadaan tentera Islam menjadi kelam-kabut dan inilah yang diharapkan berlaku oleh Charles. Dia mahu mendesak Abdul Rahman supaya menyerang mereka yang sudah bersedia. Tenteranya dikerahkan bersembunyi di dalam hutan, dilindungi pokok bagi melemahkan kebolehan tentera berkuda Abdul Rahman.
Kekalahan tentera Islam yang dijangkakan
Ekoran daripada persiapan yang kurang rapi disebabkan terlampau yakin dengan kemampuan mereka, pasukan perang Abdul Rahman mula berdepan situasi sukar. Suhu sejuk memaksa mereka hidup dalam suasana sukar. Bekalan makanan dan minuman juga tidak mencukupi.
Beberapa siri serangan mudah dipatahkan tentera Charles yang berada di kawasan tinggi, walaupun perlu berhadapan askar-askar kavalri berkuda. Secara senyap, beberapa orang pengintip Charles berjaya menyusup masuk ke dalam kem tentera Islam, membebaskan tawanan perang seterusnya menyebabkan kekecohan timbul.
Ini menyebabkan pasukan-pasukan kecil tentera Abdul Rahman yang sudah mara ke depan terpaksa berpatah balik, dalam melindungi kem mereka. Dalam kekecohan yang timbul kerana kebanyakan tentera Islam perlu berpatah balik, Abdul Rahman al-Ghafiqi berjaya dikepung dan dibunuh tentera Charles Martel. Walaupun menerima berita menggembirakan itu, tentera Charles tetap tidak berganjak terus mempertahankan kedudukan mereka - tidak mengambil kesempatan untuk terus menyerbu ke arah tentera Islam yang sudah kehilangan panglima mereka.
Bagai anak ayam hilang ibunya
Disebabkan ketiadaan panglima, pasukan perang tentera Islam tidak lagi mempunyai hala tuju yang jelas jadi keseluruhan pasukan yang masih tinggal berkumpul semula. Menyedari risiko yang bakal dihadapi, Charles mengarahkan agar tenteranya bersedia untuk menghadapi serangan besar-besaran.
Walaupun begitu, selepas mengawasi selama satu malam tidak berlaku sebarang serangan mengejut. Keesokan paginya, tinjauan Charles ke kawasan kem tentera Islam mendapati mereka telah pun berpatah balik - tidak lagi mahu meneruskan penaklukan mereka ke Tours.
Kemenangan Charles Martel dalam pertempuran Tours, mempertahankan kedudukan mereka serta mengorbankan jeneral perang Abdul Rahman al-Ghafiqi bukanlah penamat kepada misi penaklukan orang Islam ke atas kawasan tersebut. Bagaimanapun kemenangan itu dilihat sebagai titik bermulanya orang Eropah bersatu melawan kedatangan tentera Islam, tidak lagi memberikan kemenangan mudah pada misi besar-besaran Empayar Umayyah ini.
Pada tahun 738, Charles Martel meletakkan dirinya sebagai pemangku kepada raja dinasti Merovingian yang telah meninggal dunia iaitu Raja Theuderic IV. Dalam tempoh 3 tahun sebelum kematiannya, Charles berjaya menyatukan beberapa kawasan lain ke dalam empayarnya sebelum meninggal dunia pada tahun 741.
Sebelum meninggal, Charles sempat membahagikan wilayah-wilayah di bawah penguasaannya kepada anak-anak beliau, sehinggakan salah seorang anaknya yang bernama Pepin the Short berjaya membina dinasti pemerintahannya sendiri yang dinamakan sebagai Dinasti Carolingian, sempena nama Charles dalam bahasa Latin iaitu 'Carolus.'
Dinasti ini kekal memerintah sehingga tahun 840, melahirkan maharaja terkenal Perancis yang juga cucu kepada Charles Martel yang bernama Charles I atau lebih dikenali dengan nama Charlemagne, maharaja yang berjaya menyatukan bahagian barat dan timur Eropah.
Penghapusan pengaruh kuat Islam dari bumi Eropah
Gagal menguasai keseluruhan Eropah selepas tewas di Tours yang memulakan zaman penyatuan masyarakat Eropah, tentera Islam menghentikan misi meluaskan empayar mereka dan kekal menguasai Andalusia selama beratus tahun serta melalui pelbagai jenis dinasti pemerintahan.
Ekoran perpecahan yang berlaku di kalangan kerajaan Islam sendiri yang bertapak di situ, lama-kelamaan wilayah-wilayah mereka kembali dikuasai orang Eropah dengan kebangkitan empayar Sepanyol sekitar abad ke 15.
Pengaruh Islam di Eropah berjaya dihapuskan sepenuhnya pada awal abad ke 17 selepas Raja Philip III, pemerintah Sepanyol membenarkan arahan rasmi untuk mengusir keluar lebih 300,000 orang Islam berketurunan Moriscos dari tanah Sepanyol yang terus berdegil untuk menerima ajaran Kristian. Mereka yang diusir terpaksa mencari perlindungan dengan kerajaan Islam di negara seperti Turki dan juga Maghribi.