Ini mungkin salah satu lokasi di Australia dengan pemandangan serta panorama memukau yang tidak dapat dilupakan oleh para pelancong yang datang dan ingin mengabadikan kenangan tersebut dalam gambar. Namun, ada juga pelancong yang sanggup membahayakan nyawa sendiri di sini walaupun sudah berlaku satu tragedi yang meragut nyawa baru-baru ini.
Jambatan Sea Cliff yang ikonik ini terletak sejam perjalanan dari Sydney iaitu di bahagian utara wilayah Illawarra di New South Wales. Ia telah menjadi sebuah destinasi yang menarik minat pelancong sejak muka dibuka pada tahun 2005.
BESARKAN TEKS A- A+
Jambatan yang menelan belanja sebanyak $35 juta itu dibina selepas banyak isu dan aduan diterima berkaitan jalan asal yang melengkung di sepanjang cenuram-cenuram dramatik di kawasan itu. Jatuhan batuan yang membahayakan nyawa para pemandu kerap terjadi yang kemudian menyebabkan penutupan jalan selama berbulan-bulan untuk membersihkan jalan.
Struktur menakjubkan yang sering dipaparkan di iklan komersial televisyen ini juga mempunyai laluan pejalan kaki yang tidak kurang hebat pemandangannya. Walau bagaimanapun, pemandangan indah yang mengagumkan ini tidak cukup untuk menghalang sesetengah pelawat daripada menelusuri jalan ini sehingga menjejaki kawasan tebing semata-mata untuk menangkap gambar yang 'lebih' sempurna.
Jatuh terhempas hanya kerana sekeping gambar
Nyawa seorang lelaki muda berusia 20-an telah diragut selepas terjatuh dari tebing di lokasi popular ini pada 29 September 2018. Lelaki yang berasal dari Sydney itu sedang berjalan bersama rakan-rakannya mendaki tebing paling hujung di Clifton yang tidak mempunyai sebarang penghadang sebelum dia duduk dan tiba-tiba tergelincir sepanjang 20 meter. Dia kemudian jatuh terhempas ke bawah sedalam 40 meter lagi ke atas hamparan jalan raya yang lama. Akibat jatuh dari ketinggian lebih 60 meter itu, dia mati serta-merta di tempat kejadian.
Dikhabarkan lokasi rahsia itu terkenal di kalangan pengguna media sosial kerana wujud satu trek pejalan kaki tidak rasmi di sepanjang tebing yang menghadap Jambatan Sea Cliff tersebut.
Apa yang mengejutkan, tidak sampai 24 jam selepas lelaki itu mati, warga tempatan mendapati terdapat seramai empat orang pengunjung lain bergerak menuju ke lokasi kematian yang sama dan 10 orang yang lain berada berhampiran pinggir tebing tersebut.
Menurut akhbar Sydney Morning Herald, seorang penduduk tempatan berasa kesal dengan senario itu. Dia cuba menjerit dengan mengingatkan pengunjung itu tentang kejadian lelaki mati pada hari sebelumnya namun mereka hanya mentertawakannya dan tidak mengendahkan amaran tersebut.
Ia adalah satu hujung minggu yang menakutkan bagi penduduk di wilayah itu. Apatah lagi dengan kejadian seorang lelaki lain yang mati lemas di Pantai Stanwell Park sebelumnya.
Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada lelaki yang terjatuh dari cenuram itu sedang sibuk mengambil selfie, jika dilihat daripada akaun-akaun Instagram para pelawat ke lokasi itu, jelas menunjukkan yang mereka tidak kisah mengambil risiko untuk mengambil gambar yang paling menarik.
"Selficide"
Berita ini menjadi tular selepas para saintis mendesak kerajaan seluruh dunia untuk meletakkan papan tanda "zon larangan selfie" di lokasi-lokasi tarikan pelancong selepas satu kajian terbaru mendapati aksi swafoto telah meragut sebanyak 259 nyawa di seluruh dunia antara tahun 2011 hingga 2017.
Menurut The Sun, antara punca-punca biasa kematian akibat selfie adalah mati lemas, mati dilanggar kenderaan dan mati akibat jatuh dari tempat tinggi.
Dr. Agam Bansal dari Institut Sains Perubatan India memberitahu, sememangnya pengambilan swafoto pada zahirnya adalah tidak memudaratkan. Namun, tingkah laku manusia yang tidak terkawal semasa mengambil selfie itulah yang paling berbahaya.
Manusia, terutama sekali anak muda, perlu diberikan pendidikan dan pendedahan tentang tingkah laku berisiko serta tempat yang berisiko tinggi supaya tidak mengambil selfie di situ.
Kawasan larangan swafoto ini perlu diisytiharkan di kebanyakan destinasi pelancongan khususnya kawasan perairan, puncak gunung dan di atas bangunan pencakar langit supaya banyak nyawa dapat diselamatkan daripada insiden kematian akibat selfie.
Rujukan:
1. The Sun