Oleh pada 07 Sep 2017 kategori

Boleh kata semua orang suka mengambil swafoto. Ada yang suka selfie setiap hari sambil update gambar profail, ada yang selfie kerana mahu kongsi #ootd, ada pula yang suka duduk paling belakang apabila selfie beramai-ramai sebab tak mahu muka jadi besar.

Tapi kalau mahu berswafoto sekali pun, perlulah kena pada tempat dan masanya. Adakalanya kita menjadi terlalu ghairah untuk bergambar sehingga boleh membahayakan diri sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Baru-baru ini seorang lelaki di India mati apabila mahu berswafoto bersama seekor gajah liar yang sesat. Dia pergi terlalu hampir dengan gajah tersebut sehingga menyebabkan gajah itu terkejut dan berlari mengejarnya. Lelaki itu terjatuh sebelum dipijak gajah tersebut sehingga mati.

Namun itu bukanlah kes pertama kematian akibat selfie. Kami kongsikan 10 lagi kejadian malang lain yang pernah berlaku gara-gara selfie:

#1 Panjat kereta api

mati selfie panjat kereta api

Pada tahun 2014, seorang lelaki dari Sepanyol mati terkena renjatan elektrik setelah memanjat naik ke bumbung sebuah kereta api di Andalusia untuk berswafoto. Kereta api itu tidak bergerak namun kabelnya masih berhubung dan mempunyai arus elektrik berkuasa tinggi. Lelaki itu terpelanting jauh daripada bumbung kereta api tersebut dan mati serta-merta. (Mirror UK)

#2 Dalam kereta

courtney sanford selfie dalam kereta

Courtney Sanford memuat naik satu gambarnya sedang berswafoto di dalam kereta. Dia mengatakan lagu Pharrell William bertajuk "Happy" membuatkan dia berasa sangat gembira. Beberapa saat kemudian, kereta yang dipandunya mengalami kemalangan. Courtney mati akibat kecederaan teruk. (Fox News)

#3 Bom tangan

selfie dengan bom tangan

(Bukan gambar sebenar kejadian)

Dua orang tentera Rusia di wilayah Ural di Siberia berswafoto bersama bom tangan yang hidup. Secara tiba-tiba bom tangan itu meletup tanpa dijangka sehingga menghancurkan badan mereka. Kejadian itu menyebabkan kerajaan Rusia mengeluarkan amaran dan panduan ketika berswafoto agar semua orang lebih berhati-hati.

#4 Tupai comel

tupai selfie serang mengganas

Nampak macam comel dan tak berbahaya. Tapi beberapa ketika sahaja selepas bergambar bersama, si 'comel' itu tiba-tiba mengganas dan menyerang lelaki tersebut. (Sliptalk)

#5 Tangga sekolah

pelajar maut terjatuh tangga akibat selfie

Seorang remaja berusia 14 tahun di Filipina maut apabila cuba mengambil gambar berhampiran tangga di sekolahnya. Dia terjatuh dari tingkat tiga dan meninggal di hospital akibat tulang patah, kecederaan di kepala dan kecederaan buah pinggang berpunca daripada tusukan tulang yang patah. (Philippine STAR)

#6 Pameran seni

Seorang pelawat wanita telah melakukan kerosakan bernilai $200,000 apabila cuba mengambil swafoto bersama barang pameran seni di Los Angeles. Menerusi video rakaman CCTV, wanita itu berdiri sambil membongkok terlalu hampir dengan tiang alas yang mempamerkan ukiran seni seorang artis Hong Kong. Tiba-tiba dia hilang imbangan dan terjatuh sehingga mencipta satu kesan domino menyebabkan keseluruhan baris tiang alas itu jatuh. (CNet)

#7 Jatuh gaung

pasangan terjatuh dari curam tinggi ketika selfie

Sebuah keluarga dari Poland sedang bercuti di Portugal. Mereka berkunjung ke sebuah kawasan pergunungan dan si ibu dan bapa sedang leka mengambil selfie sambil diperhatikan oleh dua anak mereka yang berdiri berhampiran. Pasangan itu tersilap langkah dan terjatuh ke dalam gaung menyebabkan mereka maut serta-merta. (Huffington Post)

#8 Ular orok-orok

selfie ular orok orok bil hospital mahal

Seorang lelaki dari San Diego bernama Todd Fassler cuba menangkap gambar bersama seekor ular orok-orok (rattlesnake) yang dijumpainya. Todd mendekati ular itu terlalu rapat menyebabkan dia diserang ular tersebut. Walaupun Todd tidak menemui ajal, namun bil hospitalnya mencecah hampir $150,000.

#9 Kawah gunung berapi

erri yunanto jatuh ke dalam kawah gunung berapi

Seorang pendaki terjatuh ke dalam kawah sebuah gunung berapi aktif di Indonesia ketika membuat cubaan swafoto di puncaknya. Kematian Eri Yunanto telah menyedarkan pihak Taman Negara terbabit dan pihak pengurusan itu kini telah menyediakan satu kawasan khas di puncak Gunung Merapi untuk menangkap gambar. (Jakarta Post)

#10 Panjat jambatan

selfie maut gadis panjat jambatan

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun membuat percubaan berani apabila mengambil swafoto di atas sebuah jambatan setinggi 30 kaki di Rusia. Semasa berada di puncak, Xenia Ignatyeva tiba-tiba hilang imbangan dan terkena renjatan elektrik apabila dia cuba mencapai satu dawai hidup. Xenia menghembuskan nafas terakhir sebelum badannya sempat jatuh ke tanah. (Mirror UK)

Berbaloikah hilang nyawa atau berhabis wang ratusan ribu semata-mata mahu dapatkan latar belakang selfie yang 'cool'?




Hakcipta iluminasi.com (2017)