Kontroversi melanda Amerika Syarikat sekitar tahun 2012 melibatkan pelakon popular, Cameron Diaz (The Mask, Charlie's Angel).
Dalam kenyataan beliau, Diaz membangkitkan satu isu berkenaan perasaan psikologi wanita apabila dilihat sebagai objek. "Saya rasa, semua wanita mahu dilihat sebagai objek setiap hari," kata Diaz.
Komen beliau mengundang kontroversi tetapi memberi satu perspektif baru berkenaan kajian dalam bidang tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika selama ini kajian membuktikan objektifikasi wanita adalah satu tabiat yang mengundang negatif, mengapa ada yang secara sukarela membenarkannya berlaku?
Trend menggunakan wanita sebagai pelaris
Objektifikasi wanita sebenarnya berlaku dengan kadar menggila dalam era sekarang berikutan perkembangan teknologi, yang memudahkan lagi sebarannya.
Dengan pemaparan mesej yang menggambarkan wanita sebagai bahan pelaris sesuatu produk, trend atau hanya sekadar pelengkap majlis; tidak hairanlah apabila nilai-nilai tradisional wanita kini tidak lagi dipandang berat, digantikan dengan fokus kepada daya penarik serta paras rupa semata-mata.
Kajian psikologi membuktikan jika seseorang itu kerap mengalami objektifikasi, wanita itu sendiri akan mengalami masalah psikologi yang digelarkan sebagai 'objektifikasi sendiri' atau self objectification.
Situasi itu berlaku apabila wanita tersebut akan jadi terlalu mengambil berat berkenaan isu seperti berat badan, paras rupa dan pandangan orang lain terhadap diri mereka sendiri.
Ini yang boleh menyebabkan seseorang itu mula mengalami masalah pemakanan sehingga mengalami penyakit anoreksia, sanggup menahan diri hanya kerana merasa bersalah pada diri sendiri untuk makan.
Berdasarkan kajian juga, seseorang yang mengalami masalah objektifikasi sendiri mempunyai kemahiran lebih rendah dalam bidang matematik disebabkan oleh kesukaran untuk mentafsir logik.
Objektifikasi diri sendiri sebagai penguat diri
Menurut kajian Dr.Juliana Breines seorang penyelidik di Univeristy of Michigan : walaupun objektifikasi diri dilihat sebagai negatif tetapi ada kalanya objektifikasi diri juga mampu memberikan kesan yang positif pada diri seorang wanita.
Wanita yang mempunyai perasaan nilai diri yang tinggi didapati mempunyai moral yang kukuh, asalkan mereka mengekalkan tahap rupa paras yang mereka perlukan untuk mendapatkan kesan positif itu.
Itu yang disebutkan sebagai kesan dua hala yang boleh jadi positif atau negatif.
Keperluan untuk mengekalkan kesan positif itu datang dengan terlalu banyak faktor sampingan sehingga seseorang wanita perlu menghabiskan banyak masa untuk mempersiapkan diri.
Selain itu, satu faktor paling besar berkenaan tabiat seorang wanita dalam menggunakan objektifikasi diri sebagai pemangkin kepada dirinya, adalah usia akan mengubah segalanya. Wajah yang cantik tidak kekal lama dan tubuh badan juga akan beransur-ansur berubah.
Dengan perubahan-perubahan yang berlaku, seseorang wanita akan mula hilang keyakinan terhadap dirinya seterusnya menyebabkan kesihatan mentalnya juga akan mula terjejas.
Solusi kosmetik untuk menambah keyakinan
Apabila berlakunya penurunan nilai kecantikan, cabaran untuk mengekalkan kesan positif berkenaan itu menjadi semakin mencabar.
Besar kemungkinan wanita akan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat mereka.
Tidak hairanlah jika suntikan dan pembedahan menjadi pilihan ramai selebriti seluruh dunia.
Walaupun begitu, akan ada satu takat di mana segala-galanya tidak dapat diselamatkan lagi dan wanita tersebut akan menjunam jatuh sebelum dia mula belajar menerima dirinya yang sebenar.
Pesanan kepada wanita semua, be yourself. Janganlah asaskan keyakinan anda bergantung kepada pandangan orang lain terhadap anda.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel asal Do Women Want To Be Objectified?