Oleh pada 04 Dec 2017 kategori

Fikir dahulu sebelum berswafoto.

Itulah mesej serius yang ingin disampaikan oleh dua gerakan yang telah bekerjasama selama beberapa tahun mengamati tabiat "Mat Saleh" dari negara barat yang menjadi sukarelawan. Mereka ini seringkali gemar dilihat sebagai "hero" yang membantu manusia yang memerlukan di negara-negara mundur dan berpendapatan rendah.

Dua gerakan iaitu Radi-Aid, sebuah projek Dana Bantuan Pelajar dan Akademik Antarabangsa dari Norway (SAIH) dan Barbie Savior, sebuah akaun parodi Instagram, melancarkan sebuah kempen yang memberi panduan kepada anak-anak muda yang mahu mengembara atau menyertai misi kemanusiaan di negara dunia ketiga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut tukang kempen, anak-anak muda yang ghairah mengambil selfie ini kebiasaannya tidak sedar bahawa gambar dan kapsyen yang ditulis boleh menyebabkan stereotaip dan meragut maruah serta privasi subjek gambar.

Sebagai contoh, sekeping selfie yang dianggap biasa bersama kanak-kanak Afrika misalnya boleh disalah tafsir dengan idea bahawa bantuan dan campur tangan dari negara Barat sahaja yang boleh menyelamatkan dunia.

Kerjasama antara Radi-Aid dan Barbie Savior pernah menghasilkan satu video viral yang berunsurkan satira dan jenaka pada tahun 2016 berjudul "Who Wants to be a Volunteer?" sehingga mendapat lebih daripada sejuta tontonan.

Barbie Savior pula melalui akaun Instagram dengan lebih 120,000 pengikut itu sering memuatnaik fotografi sukarelawan secara olok-olok dengan mencipta imej popular yang diedit dengan Photoshop menggunakan wajah Barbie. Salah satu gambar terbarunya mempunyai kapsyen yang tertulis, "Adakah anda tahu 112% manusia yang tinggal di Afrika tidak mempunyai kemudahan tandas?"

barbie savior pantang larang selfie bersama orang susah negara mundur 2

Cara kita berkomunikasi tanpa batasan kini menunjukkan betapa dunia amat memerlukan panduan seperti ini. Dengan begitu mudah seseorang boleh menekan butang muat naik dan terhasillah koleksi gambar yang memaparkan orang miskin kelihatan sentiasa pasif serta tidak berdaya berbanding terinspirasi atau berkuasa. Manusia sebenarnya perlu berfikir sejenak jenis kisah bagaimanakah yang mereka ingin sampaikan.

Berikut 10 panduan yang disenaraikan oleh laman web Radi-Aid:

  1. Tanya diri sendiri, "Apakah tujuan saya berkongsi gambar ini? Adakah semata-mata hanya kerana mahukan likes?"
  2. Dapatkan persetujuan daripada orang yang berada di dalam gambar ataupun penjaganya. Jika mengalami masalah komunikasi kerana bahasa berbeza, gunakan khidmat jurubahasa.
  3. Kenali nama orang dan nama tempat yang diambil dalam gambar.
  4. Tawarkan satu salinan kepada orang yang berada dalam gambar.
  5. Elakkan kapsyen dengan tanggapan yang terlalu umum. Sertakan teks informatif seperti nama, keterangan dan sebagainya.
  6. Hormati budaya dan tradisi di tempat dan negara orang.
  7. Tanya diri sendiri, "Jika gambar saya yang diambil dalam keadaan begini, adakah saya akan berasa gembira?"
  8. Elakkan lokasi atau situasi yang sensitif seperti hospital dan klinik. Jika anda selamba ber-selfie bersama seorang kanak-kanak yang sedang terlantar kesakitan, anda sebenarnya amat tidak sensitif dengan keadaan tersebut.
  9. Jangan sesekali melabelkan diri sebagai hero dalam gambar.
  10. Elak menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi dan hapuskan stereotaip.

Menurut presiden SAIH, Beathe Ogard dan pengasas Barbie Savior, Emily Worrall, mereka tidak mahu panduan ini membuatkan anak-anak muda tawar hati untuk memuat naik gambar di media sosial. Mereka hanya mahu pengambil-pengambil gambar ini merenung dan berfikir sebelum berkongsi apa-apa di Internet. Minta izin daripada subjek sebelum gambar dimuat naik dan tonjolkan kelainan kepada para followers.

barbie savior pantang larang selfie bersama orang susah negara mundur

Jika anda membuat kerja sukarela dan tinggal bersama keluarga berpendapatan rendah dalam keadaan yang daif, jadikan ia sebagai satu peluang untuk membanteras stereotaip. Minta izin untuk berkongsi nama dan kisah peribadi hidup mereka yang digarap melalui kapsyen secara panjang lebar di media sosial.

jangan selfie swafoto di hospital bersama orang yang sedang sakit

Akhir sekali, jika seorang kanak-kanak kelihatan teruja apabila anda mengeluarkan tablet atau telefon pintar dan meminta anda untuk menangkap gambar bersama, ia tidak bermakna perbuatan itu adalah okey untuk dilakukan. Kanak-kanak masih belum pandai membuat keputusan seperti itu.

Jadi, fikir sejenak sebelum anda memuat naik... Adakah mereka akan masih gembira melihat gambar itu di Internet 20 tahun kemudian?

Rujukan:

1. Radi-Aid

2. Instagram Barbie Savior




Hakcipta iluminasi.com (2017)