Kredit foto: Instagram @amaris.official & Instagram @datoserivida
Demi menghentikan spekulasi yang bertebaran, apatah lagi selepas kehadirannya dalam majlis Datuk Seri Vida kebelakangan ini yang menimbulkan pelbagai reaksi, pelakon Putra Amaris tampil memberi jawapan berhubung dakwaan terpalit.
Muhammad Amran Ismail atau nama komersialnya, Amaris, 33, meminta agar hubungan baiknya yang kembali terjalin dengan Vida tidak disalahtafsir kerana ianya tidak lebih daripada sekadar rakan perniagaan.
Tambahnya, dia kini memegang tanggungjawab mengendalikan bahagian pemasaran termasuk perniagaan diusahakan usahawan kosmetik itu.
"Saya tak mahu bahaskan mengenai perkara ini. Cukuplah jika mereka tahu kami tidak mempunyai apa-apa hubungan selain daripada rakan sekerja.
"Selain itu, saya membantu sekolah tahfiz di Ipoh milik beliau agar ia terus beroperasi.
"Saya banyak membantu dari segi marketing untuk mempromosikan produk beliau. Dalam masa sama dia sangat berbesar hati untuk mengajar saya cara berniaga," katanya kepada portal Mstar.
Beliau memberi kenyataan sewaktu menghadiri sidang media Majlis Pelancaran lagu rasmi Starlela & Tour Star Vendors Sabah Mega Fest 2019 yang berlangsung di Red Box The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi kenyataan sama, Amaris memohon agar semua pihak tidak melemparkan dakwaan negatif membabitkan isu berhenti kerja sebelum ini.
Kredit foto: Instagram @amaris.official
"Saya berhenti bekerja dengan Vida sebelum ini adalah kerana mahu membantu perniagaan keluarga. Waktu itu ayah saya baharu meninggal dunia. Saya terpaksa membantu ibu menguruskan perniagaan ayah yang sudah lebih 20 tahun.
"Mungkin apa yang berlaku sebelum ini adalah kesilapan diri saya sendiri dan untuk itu saya ingin memohon maaf.
"Saya tak mahu sebarang tuduhan jahat dikaitkan dengan Vida kerana dia seorang yang sangat baik terhadap saya," katanya.
Sumber berita: Mstar