Kredit foto: Instagram Azri AF9
Penyanyi Salma memohon agar netizen berhenti membuat spekulasi tentang tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap suaminya, Mohammad Azri Abdullah pada Jumaat.
Hakikatnya, kata Salma atau Salmah Asis, 27, kebenaran sebenar hanya diketahui oleh pihak keluarganya, justeru tidak memerlukan tanggapan orang luar yang akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Allah sebaik-baik perancang. Mengaku tidak semestinya bersalah. Kami sekeluarga lebih mengenalinya.
“Sebelum ada komen yang tidak baik selepas ini, saya minta jasa semua lebih baik berdiam. Jangan buat andaian atau spekulasi yang membawa fitnah," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Azri, bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan, mengaku bersalah mencelup kedua-dua tangan anak perempuan tirinya ke dalam air panas dalam kejadian yang berlaku dua tahun lalu, sebelum dihukum penjara selama 14 hari serta didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dua hari lalu.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah pada hari sama, iaitu hari pertama perbicaraan kes itu sepatutnya dijalankan.
Mahkamah memerintahkan beliau dipenjara bermula hari tersebut serta bakal dihukum penjara dalam tempoh enam bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Dalam pada itu, Salma berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk menyekat akaun media sosial mana-mana individu yang cuba memanjangkan isu berkenaan dengan meninggalkan komen memburuk-burukkan keluarganya.
Kredit foto: Instagram Azri AF9
“Dosa tanggung sendiri dan saya takkan segan untuk mem’block’ anda jika menambah-nambah atau memburukkan lagi keadaan kami sekeluarga.
“Saya sayang anda semua, terima kasih,” katanya.
Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berusia 11 tahun itu dengan mencelup kedua-dua tangannya ke dalam air panas di pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, jam 8 pagi pada 5 Mei 2016.
Selepas hukuman diberikan, Azri, ibunya dan Salma termasuk anggota keluarga lain berpelukan di dalam kandang tertuduh sambil menangis teresak-esak.