Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza & New Straits Times
Susulan gurauan hos Nabil Ahmad di Gegar Vaganza musim keempat (GV4), penyanyi Hazami menafikan dirinya berkecil hati, malah tidak menyifatkan usikan itu sebagai melampau.
Menurut penyanyi dan komposer berusia 42 tahun ini, ia hanyalah salah faham disebabkan peminatnya yang bersikap terlalu 'protective'.
“Disebabkan jarang muncul di televisyen, peminat tidak biasa melihat situasi seperti itu dan mereka ingat saya dibuli," katanya menurut laporan portal Harian Metro.
Hazami mengulas aksi Nabil menyentuh lehernya di konsert pertama GV4 yang dianggap segelintir pihak sebagai gangguan seksual.
Kredit foto: Beautifulnara
Sementara itu, penyanyi lagu Mungkir Bahagia ini berkata, hubungannya dengan Nabil begitu rapat dan telahpun berkawan baik sejak dahulu.
"Hubungan saya dengan Nabil rapat kerana kami saling mengenali sejak 12 tahun lalu. Kalau kami bukan rakan rapat, tidak mungkin Nabil berani buat sebegitu," dedahnya.
Malah, dia menganggap situasi yang terjadi di pentas itu sebagai melucukan kerana ia adalah lawak yang hanya difahami oleh dirinya, Nabil, hos Jihan Muse dan juri Datuk Ramli MS.
"Nabil pun sudah minta maaf di belakang pentas selepas selesai acara. Namun, saya tidak mengambil hati kerana GV4 adalah program hiburan.
“Saya juga tidak mahu salahkan sesiapa kerana isu terbabit," akuinya.
Sementara itu, beliau berharap agar kontroversi itu dilupakan dan meminta penonton terus bergembira menonton GV4.
"Saya sudah menjelaskan situasi itu kepada pengikut di Instagram. Bagi saya, ia hanya perkara kecil berbanding fitnah individu tidak bertanggungjawab yang membuat berita palsu saya sudah meninggal dunia seperti sebelum ini," ujarnya.
Sumber berita: Harian Metro