Kredit foto: Instagram Nazim Othman
Susulan beberapa pihak mempertikaikan perceraiannya dengan bekas isteri, Bella Dally, aktor Nazim Othman tampil bersuara berhubung isu itu.
Nazim atau Nushrul Alif Othman, 34, berkata, dia berharap netizen tidak lagi membuat andaian sendiri apabila mereka tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
"Anda barangkali mempersoalkan banyak perkara, meluahkan pendapat serta mencadangkan jalan penyelesaian buat kami.
"Tapi, tak semestinya anda boleh kata apa sahaja seolah-olah anda tahu segalanya.
"Kami yang hidup bersama dan sepakat memilih untuk mengakhiri ini cukup sampai di sini sahaja," kata Nazim.
Kredit foto: Instagram Nazim Othman
Penjelasan itu dibuat pelakon drama rantaian Monalisa ini menerusi Instastory di akaun Instagram peribadinya pada Jumaat.
Dalam pada itu, menurut Nazim, dia pada awalnya ingin berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ingin melihat Bella hidup dengan tenang.
"Saya mahu menyimpan perkara ini seboleh mungkin tapi saya luahkan juga sebab saya mahu dia teruskan hidup dengan tenang dan kejar cita-citanya.
"Apa yang anda tahu hanyalah luaran semata-mata, lebih baik kita biarkan ia sebegitu," tulisnya lagi.
Selebihnya, pelakon ini merakamkan penghargaan atas sikap memahami yang ditunjukkan oleh sesetengah peminat setianya.
"Terima kasih kerana memahami. Semoga Allah merahmati anda juga," katanya.
Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan perpisahan pasangan selebriti ini yang diumumkan pada 1 Ramadhan lalu.
Ia sekaligus menjawab spekulasi liar yang bertebaran apabila kedua-dua mereka dilihat jarang memuat naik foto bersama di laman sosial.