Kredit foto: Utusan Online

Malang menimpa usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman apabila siling ruang tamu dan bilik di istananya mengalami kebocoran. 

Rentetan kejadian pada Selasa itu, pengasas D'Herbs ini menanggung kerugian besar apabila perabot dan katil berjenama yang baru dibeli rosak.

"Saya sangat kecewa, rumah itu baru saja buat. Memang belum siap sepenuhnya, tapi saya dah pindah masuk sejak dua minggu lalu.

"Bila jadi kejadian ini, menangis saya. Rugi tu taklah, tapi semua perabot itu saya baru saja beli. Jadi, memang terasalah," katanya memetik laporan portal Sinar Harian.

Difahamkan, kejadian berlaku sewaktu beliau sedang beristirehat di rumah.

"Saya tengah baring main telefon imbit dan Facebook, tiba-tiba saya terkejut bila terdengar bunyi yang kuat.

"Tiba-tiba saja air turun macam air terjun dan ia buat saya panik sebab saya tak tahu suis utama air.

"Sebabkan rumah ini yang terlalu besar, sampai tak ada orang yang nak tolong saya. Sudahnya, saya hanya jerit meminta bantuan," katanya.

Biarpun kecewa, teraju utama filem Badang ini enggan menuding jari kepada mana-mana pihak.

"Saya pun tak boleh nak salahkan sesiapa. Lagipun, rumah saya sangat besar dan ramai kontraktor yang terlibat," katanya.

Sehubungan dengan itu, Aliff sedang dalam proses membuat tuntutan insurans.

Dalam masa sama, beliau mengambil pendekatan untuk tidak melayan kritikan yang dilontarkan netizen menerusi media sosial.

"Masyarakat hari ini hanya pandai mengecam, sedangkan mereka tak berada di tempat saya.

"Tapi saya tak salahkan mereka, cuma saya akui sangat terkejut dan sedih bila perkara ini berlaku," katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)