Oleh pada 25 Feb 2018 kategori

Kredit foto: deenamik.com

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menjawab kenyataan aktres Amyza Aznan yang menuduhnya cuba mengganggu periuk nasi pelakon profesional.

Pengasas D'Herbs ini mempersoalkan mengapa kehadirannya dalam industri lakonan dipertikaikan sedangkan dia tidak pernah berdengki dengan rezeki selebriti yang terjun ke bidang keusahawanan.

"Saya tidak pernah pula mengeluarkan kenyataan apabila ada artis menceburi bidang kosmetik. Saya seorang yang profesional dan boleh bekerjasama dengan ramai selebriti antaranya Rozita Che Wan, Wak Doyok dan Fasha Sandha dalam bidang yang sama.

"Tidak pernah pula saya merasakan mereka mengganggu periuk nasi saya! Saya percaya rezeki Allah itu luas," katanya dalam wawancara bersama portal Mstar Online berlangsung di pejabatnya di Kota Damansara pada Jumaat.

Beliau menjawab kenyataan Amyza yang dilontarkan di ruangan komen Facebook pengarah Shahrulezad Mohameddin.

Dalam kenyataan Amyza mengatakan Aliff tidak sepatutnya 'memperalatkan' bidang seni sebagai ruang untuk meraih publisiti perniagaan.

Bahkan Amyza menganggap Aliff tidak layak menjadi pelakon dan penyanyi kerana jelas tidak mempunyai bakat langsung.

Sementara itu, Aliff berkata, perbuatan mengganggu periuk nasi itu lebih sesuai digunakan sekiranya dia membayar pihak produksi untuk menggugurkan nama mereka bagi memberi laluan kepadanya berlakon.

"Hakikatnya tidak begitu, mereka (pihak produksi) datang menawarkan saya watak utama biarpun saya sudah menjelaskan saya tidak mahir berlakon tambahan lagi untuk membawa watak seorang hero.

"Namun begitu lakonan saya dalam satu episod drama Misteri Jenazah ia mendapat 'rating' tertinggi dalam keseluruhan drama tersebut. Ini membuktikan saya mempunyai bakat,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff menyatakan keengganannya untuk membalas komen rakan artis sekiranya ada di kalangan mereka yang memanggilnya 'sampah' dan seperti menutup periuk nasi para pelakon.

Begitupun, Aliff menganggap artis yang sudah berusaha berpuluh tahun dalam bidang lakonan tetapi masih tidak berjaya, itu hanya petanda rezeki mereka tiada di situ.

Filem Badang lakonan Aliff antara lain dibintangi Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapor dan Fareez Fauzi.

Kini masih di pawagam sejak tayangan 15 Februari lalu.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)