Kredit foto: Kosmo
Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman terkesan apabila filem lakonan Datuk Seri Aliff Syukri, Badang dihentam teruk netizen.
Kata Sajat, 32, Aliff nyata sudah memberikan yang terbaik. Justeru sebagai rakan, dia sentiasa berada di belakang menyokong kerjaya seni beliau.
"Saya dah tonton filem Badang, lakonan Aliff bagus. Saya pun turut bersedih apabila dia dikecam. Tapi iyalah, mulut orang tak boleh nak ditutup.
"Soal kecaman dan kritikan, kami sudah biasa. Saya kena kecam, dia kena kecam. Dalam hal ini, nasib kami sama.
"Apa yang boleh saya kata, tak semua orang suka apa yang kita buat, yang penting kita bekerja dengan jujur dan ikhlas," katanya kepada Mstar Online.
Sajat membuat kenyataan sewaktu majlis kenduri kesyukuran dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang berlangsung di Wisma Nur Sajat, di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Majlis itu antara lain dimeriahkan dengan kehadiran anggota keluarga dan 80 anak-anak tahfiz Az Zahra, Pinggiran Subang.
Sementara itu, Sajat menyeru agar netizen tidak terus menjadikan mereka sebagai sasaran kecaman.
Sajat berkata, masyarakat tidak sepatutnya menilai seseorang hanya berdasarkan gaya hidup yang dipamerkan di media sosial.
"Jangan kecam sangat sayang. Kalau anda kecam sekalipun, kami tetap macam ini. Kecaman dan kata-kata negatif tiada kesudahan, lebih-lebih lagi zaman media sosial ini.
"Kadang-kadang apa yang kita buat ada sebabnya, jadi masyarakat di luar jangan cepat melatah dan semudah itu menghakimi hidup orang lain.
"Sejujurnya, hati saya ini sudah berkecai tetapi saya gagahkan juga demi meneruskan kehidupan. Sehinggakan, ada yang gelar Sajat sebagai Ratu Kecaman," ujarnya.
Mengenai perkembangan kerjaya seni, Sajat bakal terbit dengan single terbaharu berjudul Makhluk Penggoda dalam tempoh terdekat ini.
Sumber berita: Mstar