Oleh pada 26 Feb 2018 kategori

Kredit foto: mynewshub.cc

Aktres Amyza Aznan menegaskan dia tidak mempunyai isu dengan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman susulan komen yang dilontarkan terhadap usahawan kosmetik itu.

Kata Amyza, kritikan itu bukanlah bersifat serangan peribadi, sebaliknya hanyalah teguran santai daripada persepsi seorang anak seni yang telah menjadikan bidang itu sebagai karier.

Bahkan, teguran Amyza adalah khusus untuk video usahawan tersebut yang merintih kerana bakatnya tidak diterima penonton.

“Saya kritik kerana tahu betapa susahnya ingin bergelar pelakon ataupun anak seni. Ramai pelakon yang menerima kritikan pedas, tetapi boleh mengambilnya dari sudut positif.

“Tidak menyentuh isu filem Badang atau lakonan beliau. Saya hanya mual kerana beliau memberontak minta dihargai dengan bakat lakonan dia yang pada pandangan saya, tidak meluakkan duit beliau pun. Jadi, jangan cepat melenting kerana kita perlu menjaga kualiti dan imej industri hiburan juga,” jelas Amyza seperti dilaporkan portal Kosmo.

Menurutnya lagi, sesetengah individu sememangnya dilahirkan dengan bakat semulajadi sebagai pelakon, bagaimanapun sesetengahnya pula adalah sebaliknya.

“Kalau sudah mencuba beberapa kali namun tidak berhasil, mungkin bakat bukan cenderung ke arah itu,” kata aktres yang sudah menghambakan diri dalam bidang seni sejak 20 tahun lalu.

Pelakon siri komedi popular Mat Despatch ini juga menasihatkan agar Aliff berlapang dada dalam menerima kritikan orang ramai.

“Beliau harus bersikap profesional. Saya tiada masalah dengan filem lakonannya (Badang) namun belajarlah terima kritikan dan pandangan orang lain," pinta pelakon berusia 42 tahun ini.

Terdahulu, Aliff meluahkan rasa kecewa apabila lakonannya dalam filem adiwira Badang dihentam teruk netizen. Lantas, rakan selebriti tampil bersuara dan antara yang mendapat perhatian ialah Amyza.

“Aku benci orang berduit kaya raya ni menggunakan platform seni untuk empayar bisnes dia orang. Ini tempat kami cari makan. Bisnes kami, dia tidak layak sebab tiada bakat langsung,” tulis Amyza.

Kenyataan Amyza itu diluahkan dalam status pengarah Shahrulezad Mohameddin berhubung tindakan Aliff yang 'sentap' selepas bakat lakonannya dikutuk penonton.

Sumber berita: Kosmo




Hakcipta iluminasi.com (2017)