Oleh pada 15 Jan 2018 kategori

Adakah orang Filipina dikategorikan sebagai orang Latin? Soalan ini mungkin bermain di minda sesetengah orang atau mungkin rakyat Filipina sendiri. Mungkin lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi menjawab persoalan ini. Namun berdasarkan huraian Dr. Barbara S. Gaerlan, seorang tenaga kerja profesional dari sebuah universiti di Amerika Syarikat, mungkin boleh diambil kira sebagai jawapan yang logik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Barbara S. Gaerlan, Ph.D., Penolong Pengarah di UCLA Center for Southeast Asian Studies

Jawapan kepada soalan ini boleh jadi "ya" atau "tidak" atau mungkin juga "ya dan tidak". Ia adalah pendapat peribadi tentang bagaimana seseorang itu mengenalpasti diri mereka sendiri. Bagaimana seseorang itu mendefinisikan perkataan "Hispanic" boleh menjadi sesuatu yang penting dalam membuat keputusan.

Biro bancian Amerika Syarikat mendefinisikan "Hispanic" sebagai orang yang berketurunan Latin atau Sepanyol.  Ini merujuk kepada orang-orang yang nenek moyang mereka berasal dari Sepanyol dan/atau negara-negara Amerika Latin yang lain, yang menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi. Berdasarkan hujah ini, orang Filipina mungkin bukan orang Latin, memandangkan mereka berasal dari negara Asia, dan hanya sedikit rakyat Filipina yang bercakap menggunakan bahasa Sepanyol di rumah mereka.

keluarga filipina dahulu kala

Bahasa yang paling banyak digunakan adalah bahasa Filipina yang dipanggil Tagalog, dan juga Bahasa Inggeris (hasil daripada penjajahan Amerika pada tahun 1898 hingga 1946 dan masih mengekalkan hubungan rapat dalam beberapa bidang seperti politik, ekonomi dan ketenteraan). Dan berdasarkan bancian Amerika Syarikat, orang Filipina dipisahkan dan diletakkan dalam kategori Asia Amerika.

Jadi bagi sesiapa yang mementingkan kriteria-kriteria ini, dan yang memilih untuk menentukan identiti orang Filipina berdasarkan evolusi negara tersebut pada abad ke-20, jawapannya adalah "tidak."

Sebaliknya, definisi yang berbeza untuk "Hispanic" mungkin boleh memberikan jawapan yang berbeza. Orang Filipina boleh dikira sebagai "Hispanic" jika seseorang itu mengutamakan definisi yang mengatakan mana-mana negara yang pernah dijajah oleh Sepanyol adalah "Hispanic" berdasarkan pengaruh yang mereka bawa, tidak mengambil kira di mana lokasi mereka di dunia dan juga status penggunaan bahasa mereka pada masa kini.

Sepanyol menjajah Filipina pada tahun 1565 dan memerintah seluruh negara tersebut sehingga tahun 1898 (333 tahun) - tempoh masa yang lebih panjang daripada penjajahan ke atas beberapa negara Amerika Latin yang lain. Untuk meneliti sejarah Filipina selama 333 tahun tersebut, pengetahuan tentang bahasa Sepanyol adalah penting bagi para pengkaji.

Walaupun tidak banyak penghijrahan berlaku dari Sepanyol ke Filipina berbanding ke negara Amerika Latin, sesetengah orang Filipina mungkin boleh mendakwa mereka berketurunan Sepanyol. Penghijrahan dari Sepanyol ke Filipina agak meluas selepas Suez Canal dibuka pada tahun 1869. 

Berdasarkan fakta ini sesetengah orang Filipina boleh menganggap diri mereka adalah "Hispanic."

Malah pada hari ini, Filipina dilihat terus mempamerkan pelbagai ciri-ciri yang diwarisi dari budaya Sepanyol: agama Katolik Roman dan warisan kebudayaan yang berkaitan, nama-nama yang mirip dengan nama orang Sepanyol, tradisi muzik Sepanyol, banyak kosa kata Sepanyol yang dimasukkan ke dalam bahasa-bahasa asli Filipina, dan sebagainya. Orang-orang yang mementingkan sejarah dan budaya seperti ini boleh menjawab "ya," orang Filipina adalah "Hispanic"

Kesimpulannya, sejarah dan asal-usul Filipina ini mungkin diakui kerumitannya, dan hanya boleh menjawab "ya dan tidak" jika disoal dengan persoalan ini, berdasarkan beberapa fakta dan warisan tentang "hispanic" yang boleh dipercayai. Tetapi, warisan dan budaya ini mungkin akan luput di telan zaman, sekurang-kurangnya hanya di Filipina.

Rujukan: www.latinlife.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)