Kecantikan seseorang individu itu bersifat subjektif. Namun, tidak dinafikan sebahagian daripada kita melihat kulit yang putih itu sebagai sesuatu yang menarik sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mempunyai kulit yang putih mulus - termasuklah penggunaan bahan-bahan kosmetik yang tidak selamat.
Di Malaysia, setiap produk kosmetik juga perlu mendapat kelulusan KKM sebelum dibenarkan untuk dijual secara komersial. Malangnya, masih terdapat pengeluar produk kecantikan yang masih berani menggunakan bahan terlarang. DIharapkan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan kepada pengeluar agar perkara ini dapat dikurangkan pada masa hadapan.
BESARKAN TEKS A- A+
Antara bahan utama krim pencerah ini adalah merkuri. Walaupun ianya mungkin berkesan untuk memutihkan kulit, namun penggunaan bahan ini melebihi kadar yang dibenarkan sememangnya mempunyai kesan sampingan terhadap tubuh badan antaranya kerosakan hati dan buah pinggang.
Mahukah anda kelihatan cantik tetapi akhirnya terpaksa menderita pada usia yang masih muda kerana menggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan merbahaya ini? Adakah ianya berbaloi?
Asia Pasifik lubuk produk pencerah kulit
Mengikut statistik, industri produk pencerahan kulit sahaja bernilai US$8.3 billion pada tahun 2018. Lebih mengejutkan, lebih separuh daripada pendapatan ini datangnya daripada negara-negara di Asia Pasifik. Antara negara yang tertinggi dalam carta ini adalah Filipina.
Di Filipina, "perlumbaan" mendapatkan kulit yang cerah ini telah mewujudkan pasaran yang menguntungkan di mana pusat membeli-belah dipenuhi dengan produk dari krim pemutih dan sabun hingga toner pemutih. Sebilangan besar produk ini, walau bagaimanapun, ditambah dengan merkuri untuk memberikan kesan pemutihan lebih pantas.
Jabatan Pentadbiran Makanan dan Dadah Filipina mengehadkan penggunaan merkuri dalam kosmetik hingga 1mg/kg, kerana tahap merkuri yang melebihi paras itu dianggap tinggi. Namun, pemantauan ke lebih dari 10 kedai di pasar awam di Manila mendapati bahawa kebanyakan mereka menjual krim pemutihan yang dilarang kerana tahap merkuri yang tidak selamat.
Produk-produk ini yang diseludup ke negara tersebut masih dipasarkan secara terbuka di pasar, pusat membeli-belah dan dalam talian. Pengguna di negara tersebut masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap bahaya merkuri terhadap kesihatan dan itulah penyebabnya mereka masih membeli dan menggunakannya.
Populariti glutathione di Filipina
Namun, bagi mereka yang berkemampuan, ada rawatan glutathione dalam bentuk kapsul atau suntikan. Glutathione adalah supplemen tambahan pemutihan yang popular di Filipina. Bahan ini biasanya digunakan sebagai tambahan kepada produk kecantikan lain seperti toner, pembersih dan krim.
Namun, sekiranya penggunaan produk-produk kecantikan ini tidak memberikan hasil yang pantas dan memuaskan, mereka turut akan menyuntik cecair glutathione - bahan kimia yang digunakan dalam rawatan barah - tiga kali seminggu.
Lebih menyedihkan, suntikan cecair glutathione ini hanya dilakukan di rumah. Kadang-kadang, semasa suntikan, urat menjadi rosak. Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang mereka berdegil untuk meneruskan rutin kecantikan itu. Obsesi terhadap bahan ini sememangnya dapat merosakkan hati, sistem saraf dan ginjalnya malah boleh menyebabkan kematian.
Kebanyakan yang terjebak dengan penggunaan bahan ini mengaku mereka menggunakannya kerana ianya memberi kesan lebih ketara dan lebih pantas. Sebagian besarnya juga kerana pengaruh rakan sebaya dan orang sekeliling yang berlumba-lumba mahukan kulit yang putih.
Kematian akibat suntikan glutathione
Kematian disebabkan oleh "ketagihan" penggunaan cecair glutathione bukanlah sesuatu yang jarang didengari. Sejak tahun 2011, Jabatan Pentadbiran Makanan dan Dadah negara Filipina telah memberi amaran mengenai kesan buruk penggunaan glutathione secara sebagai agen pemutih kulit.
Persatuan Dermatologi Filipina juga telah mengeluarkan amaran serupa. Ia telah mendokumentasikan sekurang-kurangnya 69 kes orang yang mengalami komplikasi akibat penggunaan glutathione. Dan pada bulan Februari, seorang wanita meninggal dunia setelah dia diberikan glutathione di sebuah spa di Manila.
Secara umumnya, suntikan glutathione dikategorikan sebagai ubat khusus yang digunakan untuk mengurangkan ketoksikan rawatan kemoterapi dan hanya boleh dibeli dari farmasi berlesen. Malangnya, ia turut dijual secara dalam talian secara terbuka yang kemungkinan diseludup masuk.
Korupsi ahli perubatan
Pada masa kini, korupsi dianggap sebagai aktor utama penggunaan cecair ini secara berleluasa. Lebih membimbangkan, aktiviti ini turut dibayangi oleh individu-individu yang terlibat dalam bidang perubatan sendiri yang melakukannya untuk menjana pendapatan sampingan.
Seorang jururawat yang mahu dikenali sebagai Jhale Taray dan bekerja di hospital kerajaan mengaku melakukan suntikan kepada beberapa orang pelanggan pada hujung minggu untuk menjana pendapatan sampingan. Disebabkan mereka perlu menunggu terlalu lama di hospital, pelanggan-pelanggannya akan memintanya datang ke rumah mereka untuk melakukan suntikan tersebut di rumah mereka sahaja.
Jhale Taray yang juga merupakan jururawat untuk kompetan untuk melakukan suntikan tersebut berpendapat adalah lebih baik baginya memanfaatkan kepakarannya dengan membuat bisnes sampingan kepada pelanggan yang mampu membayarnya.
Malah, bisnes dari rumah ini juga dianggap cukup lumayan. Pada satu hujung minggu, dia mampu melakukan suntikan kepada sehingga 20 orang pelanggan dan memperoleh sekitar 19,200 peso (sekitar RM1.6k), lebih daripada purata gaji sebulan seorang jururawat di hospital kerajaan.
Menurut undang-undang, seorang jururawat sepertinya hanya boleh melakukan suntikan atas pemantauan seorang doktor. Bagaimanapun, dia tidak pernah didakwa kerana tiada seorangpun pelanggannya melaporkan kegiatannya itu kepada pihak berkuasa.
Beberapa klinik dermatologi di seluruh negara itu juga menawarkan rawatan pencerahan kulit mengguna glutathione. Dan disebabkan mereka yang terlibat profesional perubatan, ianya seolah-olah memberi gambaran kepada pengguna bahawa ianya selamat walaupun terdapat amaran kesihatan rasmi sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Kredit: