Oleh pada 08 May 2020 kategori

Isu tuntutan Laut China Selatan sudah berlaku sekian lama - tidak pernah reda, pergolakan antara negara yang melakukan tuntutan seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Taiwan, Singapura, China dan beberapa negara lain lagi.

Keinginan sesebuah negara memperluaskan kawasan taklukĀ  di lautan itu bagi menguasai sumber minyak, perikanan dan jalan maritim merupakan faktor pendorong utama - walaupun sudah diputuskan garis sempadannya di peringkat antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbanding semua negara - hanya China layak dikatakan gemar mengambil tindakan agresif dalam memenuhi tuntutan, berbeza dengan negara lain yang memilih jalan arbitrasi. Satu insiden yang membuktikan keangkuhan China, terjadi pada bulan Februari tahun 1995 apabila mereka menceroboh masuk Filipina dan sehingga kini, tidak pulang-pulang.

Tuntutan atas rekod sejarah

rodrigo duterte xi jinping welcome ceremony

Kerajaan China semasa era People's Republic of China (PRC) sering melihat jauh ke belakang menggunakan hujah sejarah bagi menyokong tuntutan mereka.

Dalam kes tuntutan Kepulauan Spratly misalnya, China menyatakan hak mereka di atas kepulauan itu adalah berdasarkan kepada bukti bahawa orang China sudah pun menduduki dan menggunakan pulau itu sejak tahun 206SM.

Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan China ini, mereka menyifatkan tuntutan China itu karut dan tidak selari dengan pandangan moden dalam menentukan garis sempadan antarabangsa.

Lagipun, realitinya China sebagai sebuah negara republik yang ada sekarang hanya memulakan usaha untuk mewujudkan sebarang kawalan ke atas kepulauan yang menjadi punca konflik, sekitar era 1970 ke 1980-an.

Kes lain seperti kes Pulau Itu Aba atau Pulau Taiping, pulau terbesar di Kepulauan Spratly yang kini diduduki oleh kerajaan Taiwan, turut sama dituntut oleh PRC - membuatkan tuntutan PRC ke atas Spratly menggunakan hujah sejarah semata-mata, menjadi lebih tidak berasas.

Kerajaan Taiwan ketika ini merupakan bekas kerajaan China terdahulu yang telah wujud lebih awal berbanding kerajaan sekarang serta menjadi pengasas sebenar usaha orang China melakar semula garis sempadan Laut China Selatan.

Seandainya hujah sejarah lampau dikemukakan sebagai bukti, Taiwan sepatutnya lebih layak untuk melakukan tuntutan berbanding China, yang sehingga kini tetap tidak mengiktiraf Taiwan namun China dilihat tidak mempedulikan logik ini.

Dalam kes Terumbu Mischief di Filipina pula, apa yang berlaku agak unik kerana tiada siapa menjangka China akan berani mengambil langkah yang sangat drastik menceroboh dan merampas kawasan negara lain secara terbuka.

Menceroboh masuk perairan Filipina

pelantar yang dibangunkan 1995

Pada 2 Februari 1995, kerajaan Filipina dikejutkan dengan satu laporan yang menyebut seorang nelayan warga Filipina ditangkap oleh askar China, dikurung di sebuah pelantar milik kerajaan China yang baru dibina di kawasan Terumbu Mischief.

Hasil siasatan kerajaan Filipina melalui bot peronda dan kapal terbang peninjau menemui sesuatu yang sangat mengejutkan; China telah membina sebuah pelantar menggunakan kayu, lengkap dengan kabin kecil di bahagian Terumbu Panganiban, nama domestik yang digunakan Filipina bagi merujuk kepada kumpulan terumbu Mischief.

Terumbu Mischief menjadi tumpuan nelayan kerana mempunyai sumber perikanan yang luas, membolehkan nelayan di lautan mencari rezeki.

Tidak ada sesiapa pun mampu menjangka ancaman China hadir ke negara itu. Terumbu Mischief yang terletak hampir 200km daripada Pulau Palawan terkibar di atasnya bendera merah China, negara yang lebih 700km jaraknya daripada mereka.

Lapan kapal milik China mengelilingi kawasan itu - sesetengahnya lengkap dengan kelengkapan perang.

Tersentak, kerajaan Filipina pada ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Fidel Ramos, bertindak agresif menghantar beberapa buah kapal serta jet pejuang sebagai.

Dalam kenyataannya kepada media, Ramos menyifatkan : "walaupun Filipina mengharapkan agar konflik itu selesai secara aman, Filipina perlu bersedia menghadapi kemungkinan lebih buruk."

Filipina melakukan bantahan secara rasmi kepada China dan di sinilah kelicikan China benar-benar terpapar untuk dilihat semua.

Tidak takut dengan ancaman Filipina

tentera filipina china pencerobohan

Bantahan yang dilakukan oleh Filipina bagaimanapun seakan dipermainkan oleh China.

Pada awalnya China menafikan wujudnya usaha untuk mereka menguasai Mischief Reef - menganggap apa yang berlaku di luar pengetahuan mereka.

Apabila kerajaan Filipina mengeluarkan bukti bergambar, kerajaan China mula bermain wayang menyalahkan pihak persatuan nelayan yang disertai rakyat mereka membina pelantar itu bagi membolehkan nelayan China berteduh - 700km dari China! Berang dengan tindak-tanduk China, Filipina mengeluarkan arahan agar pelantar itu dirobohkan dan China keluar daripada kawasan tersebut.

Apa pula alasan China? Beijing dilaporkan menganggap perobohan pelantar itu hanya akan menyebabkan rasa marah di kalangan golongan nelayan China serta orang China, kerana mereka semua percaya Mischief Reef adalah milik negara China yang sepatutnya dipertahankan.

Semakin berani, China menawarkan tawaran 'menarik' kepada Filipina - akan membuka pelantar yang telah dibina itu untuk kegunaan nelayan Filipina, termasuklah mana-mana kumpulan nelayan negara lain.

Melihat reaksi China yang banyak bermain wayang serta tidak telus ke atas apa yang berlaku, penganalisis zaman itu menyimpulkan bahawa China berani menceroboh masuk Filipina, kerana mereka tahu Filipina tidak mempunyai kekuatan untuk menyerang balas seandainya berlaku konfrontasi bersenjata.

Mereka tidak takut dengan Filipina.

Pertemuan dua pemimpin negara

jiang zemin filipina mischief reef terumbu china

Insiden yang berlaku mendapat reaksi pelbagai negara khasnya negara Asia Tenggara serta Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat Filipina, disebabkan oleh perjanjian antara Filipina dan Amerika Syarikat pada tahun 1951; mewajibkan kedua-dua negara saling bantu membantu seandainya salah satu antara mereka diserang.

Selepas beberapa perbincangan secara diplomatik dijalankan bagi mencari titik tengah, Filipina dan China bersetuju untuk berunding secara baik bagi menyelesaikan masalah pencerobohan terbuka itu.

Pada bulan November tahun 1996 hampir 2 tahun selepas pencerobohan China ditemui, Presiden China (ketika itu) Jiang Zemin melakukan lawatan rasmi ke Filipina menjadi pemimpin utama negara itu ke situ. Tidak diketahui apa yang dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu.

ramos jiang zemin lawatan filipina

Apa yang kita ketahui, hasil lawatan itu memulakan gerakan lebih besar China dalam membangunkan Terumbu Mischief. Projek di situ mula membangunkan sebuah bangunan yang dipercayai pusat kawalan tentera, barak dan jeti sepanjang 300 meter. Filipina sekali lagi melakukan bantahan tanpa mendatangkan sebarang hasil.

Melihat reaksi Filipina yang agak lemah, China meneruskan langkah agresif mereka membina sebuah tempat mendarat helikoter, pusat kawalan jeti dan pusat pemancar.

Dalam pertemuan seterusnya wakil pemimpin kerajaan kedua-dua negara di Manila, China diminta agar menghentikan pembinaan yang sedang berlaku serta merobohkan semua struktur yang sudah dibangunkan.

Kali ini reaksi China lebih keras. Mereka menolak permintaan Filipina seterusnya mengumumkan kebenaran yang diberikan untuk nelayan Filipina menggunakan fasiliti yang telah diumumkan terlebih dahulu - telahpun ditarik balik.

Perubahan politik dunia akibat pencerobohan ini

duterte xi jinping filipina china

Begitulah situasinya untuk beberapa puluh tahun selepas itu, di mana Filipina membantah tetapi China terus dengan gelagat mereka.

Situasi ini kekal sehingga kini walaupun pada bulan Julai tahun 2016, Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa mengisytiharkan tindakan China membina struktur di Terumbu Mischief adalah satu bentuk pencerobohan dan Filipina adalah tuan punya kawasan itu yang sah.

Pada ketika keputusan itu diumumkan, China telah pun selesai membina sebuah landasan kapal terbang dan dua buah hangar bagi menempatkan pesawat, pusat kawalan radar dan beberapa buah fasiliti lain.

Dalam satu langkah yang mengejutkan dunia pada bulan Oktober tahun 2016 tidak lama selepas keputusan mahkamah itu diumumkan; Presiden Filipina sekarang, Rodrigo Duterte menyatakan bahawa kerjasama antara Filipina dan Amerika Syarikat akan mula dihentikan dalam bidang ketenteraan dan ekonomi.

Duterte melakukan pengumuman itu selepas menghadiri beberapa perjumpaan dengan pimpinan China di Beijing, sambil menyifatkan bahawa Filipina sedia bekerjasama sepenuhnya dengan China dan juga Russia bagi mewujudkan orde kuasa dunia yang baru bebas dari pengaruh Amerika Syarikat.

Terumbu Mischief ketika ini

mischief terumbu reef filipina

Ketika ini, Terumbu Mischief yang terletak dalam kawasan Filipina menjadi markas terbesar China di Laut China Selatan walaupun kawasan itu bukan milik mereka.

Laporan media pada tahun 2017 menyatakan ada kemungkinan kawasan itu bakal digunakan untuk menempatkan peluru berpandu, membolehkan jaringan pertahanan China di kawasan Asia Tenggara diperluaskan.

Pada bulan November tahun 2019, kerajaan China melancarkan pesawat 'aerostat' yang akan melakukan tinjauan udara di kawasan tersebut, sama seperti apa yang telah mereka lakukan di sekitar selat berdekatan Taiwan; bagi memastikan sebarang bentuk aktiviti pencerobohan di situ dapat dikesan.

Sebuah aerostat mampu mengesan sebarang bentuk objek bergerak sama ada di udara atau daratan dalam radius 300 km keseluruhannya.

presiden filipina rodrigo duterte dan jeneral tentera

Lantaran daripada pengumuman pada tahun 2016, kerajaan Filipina sekali lagi melalui Presiden Duterte mengumumkan penamatan kerjasama tentera mereka dengan tentera Amerika Syarikat secara rasmi pada Februari 2020, membubarkan Perjanjian Lawatan Tentera 1998 antara kedua negara itu yang dimeterai sebenarnya untuk membolehkan Amerika Syarikat mengawal pengaruh China di Terumbu Mischief.

Langkah ini dipercayai bakal menjurus kepada pembubaran sepenuhnya perjanjian tahun 1951; menamatkan kebergantungan Filipina kepada Amerika Syarikat seterusnya menjadikan China sebagai sekutu kuasa dunia baru negara kecil Filipina.

Apa yang dibimbangkan, Filipina dilihat bakal menjadi pusat utama operasi China dalam meluaskan pengaruh mereka secara ketenteraan di benua Asia Tenggara.

Rujukan

Manila Sees China Threat On Coral Reef

Incident at Mischief Reef : Implications for the Philippines, China and the United States (pautan PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)