Sekiranya anda diberikan satu peluang untuk mengubah nasib anda atau keluarga anda, melalui ganjaran wang tunai - apa yang sanggup anda lakukan bagi mendapatkan wang tersebut?
Bagi ramai warga Filipina, kehidupan susah yang dirasai merupakan satu insentif yang mampu membuatkan mereka berani mencuba apa saja walaupun bunyinya seolah tidak masuk akal sanggup dilakukan manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Sanggupkah anda menjual organ milik anda - bagi mengubah hidup anda? Di Filipina, ramai yang sanggup.
Filipina - antara pengeksport organ utama dunia
Banyak kes-kes ahli masyarakat secara suka rela menjualkan organ milik mereka bagi mendapatkan ganjaran wang tunai telah didokumenkan.
Namun setakat ini hanya di Filipina laporan berkenaan perkara itu berjaya dilakukan secara lebih mendalam, secara sangat terbuka - kerana menjual organ khasnya buah pinggang, sudah menjadi satu perkara biasa bagi beberapa buah kawasan berpendapatan rendah di negara itu.
Tujuannya satu - bagi mendapatkan modal untuk memperbaiki atau memulakan hidup baru. Peluang yang hadir pula jarang dilepaskan mereka yang ditawarkan, kerana mereka tahu tawaran tersebut tidak selalu sampai kepada mereka.
Filipina menjadi antara lima negara paling banyak menyeludup keluar organ melalui pasaran gelap, menyertai beberapa buah negara lain seperti India, Pakistan, China, Mesir dan Colombia.
Usaha untuk mengekang kegiatan ini cuba dilakukan oleh kerajaan Filipina, dengan beberapa pengenalan undang-undang regulasi yang dilihat berjaya merendahkan kadar kes; namun aktiviti ini masih giat berjalan kerana kegiatan ini sudah berakar umbi di kalangan masyarakat miskin Filipina sendiri.
Mereka melihat tidak ada salah untuk mereka mengorbankan diri untuk jangka masa pendek, sekiranya mereka berjaya membawa keluarga keluar dari belenggu kemiskinan.
Tugas besar ejen pencari organ
Agak sukar untuk dikenalpasti siapakah dalang utama di sebalik sindiket penyeludupan organ yang mampu beroperasi di seluruh dunia ini.
Ada pihak menamakan seorang warga Israel bernama Moshe Harel sebagai tokoh utama melicinkan semua organisasi dan sistem penyeludupan organ, daripada peringkat carian penderma sehinggalah kepada pembedahan. Sekiranya itu benar, sehingga kini masih belum tahu siapa pula orang kanannya yang beroperasi di Filipina.
Apa yang kita tahu di kalangan masyarakat Filipina wujud beberapa orang individu yang akan bertindak sebagai ejen, mencari mana-mana individu yang sanggup menjual organ mereka seperti buah pinggang.
Ejen ini memainkan peranan besar mengenalpasti calon yang sesuai, memujuk beliau agar bersetuju sebagai penderma seterusnya menguruskan pergerakan penderma itu pada hari pembedahan untuk mengeluarkan organ - sebelum membayar penderma selepas semuanya selesai.
Setiap ejen biasanya akan mengumpulkan 5 ke 8 orang penderma dalam satu sesi, membawa mereka ke rumah penginapan yang terletak di Manila bagi menunggu giliran pembedahan - bergantung kepada permintaan. Penderma biasanya hadir daripada golongan lelaki disebabkan oleh rasa tanggungjawab mereka mahu menyara keluarga.
Ejen pula perlu menapis calon yang sesuai, mengikut umur dan jenis darah. Penderma organ jenis O sangat dicari mereka, kerana mempunyai risiko lebih rendah akan berlaku komplikasi.
Seorang ejen ditawarkan bayaran sekitar 500 peso (RM41) untuk menguruskan seorang calon penderma, daripada memastikan kehadiran calon bermula daripada ujian pemeriksaan pertama sehinggalah kepada pembedahan seterusnya bayaran akhir.
Ejen hanya akan menerima bayaran setiap kali calon hadir menunjukkan muka. Lebih banyak ujian perlu dijalankan, lebih besarlah potensi ejen untuk buat duit.
Berapa harga buah pinggang anda?
Menurut siasatan yang dijalankan, harga tawaran untuk buah pinggang agak berbeza-beza mengikut negara asal pendermanya.
Di negara maju misalnya, seseorang itu mampu menerima bayaran sehingga $20,000 (RM80,500) sekiranya setuju menjualnya. Bagi negara seperti Filipina di mana pendermanya berdepan tekanan hidup, harga yang ditawarkan jauh lebih rendah hanya sekitar $1,200 ke $1,800 (RM4,800 ke RM7,200).
Sindiket berani menawarkan harga rendah sedemikian rupa kerana mereka tahu penderma tidak ada banyak pilihan lain. Angka yang ditawarkan juga dilihat sama dengan hasil kerja mereka selama setahun dua, jadi bagi segelintir masyarakat Filipina - kesusahan ini dilihat berbaloi dengan pengorbanannya.
Sindiket juga bijak mencari golongan pembeli, memaparkan iklan-iklan ringkas di laman web serta media sosial dalam usaha memancing individu yang telah lama menderita kerosakan buah pinggang.
Mereka yang perlu menjalani dialisis sekian lama, dilaporkan sanggup berbuat apa saja untuk sembuh.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya sindiket, mewujudkan hubungan yang teratur dalam mendapatkan rantaian penderma organ dari negara seperti Filipina serta pembeli dari negara-negara lebih maju dan membangun, yang mampu menampung kos pembelian organ dan pembedahan yang bukan kecil-kecil anak amaunnya.
Setiap tahun dianggarkan 70,000 pembedahan pemindahan buah pinggang dilakukan di seluruh dunia, 10,000 daripadanya berjaya dengan menggunakan buah pinggang yang dibeli dalam pasaran gelap.
Jalan keluar atau jalan lebih sempit?
Dalam siasatan yang dijalankan, jarang sekali ditemui individu yang menjual organnya benar-benar berjaya mengubah perjalanan hidupnya.
Walaupun majoriti mereka berjaya memperbaiki kehidupan melalui pembelian rumah atau memulakan perniagaan hasil dana jualan organ mereka, keseronokan dan kebahagiaan yang mereka rasakan hanya sementara.
Lama kelamaan selepas duit habis dibelanjakan, golongan penderma ini sedar usaha mereka mengorbankan diri mereka tidak membawa hasil yang diharapkan.
Lebih malang, ada di antara penderma ini yang mengalami masalah kesihatan selepas pembedahan ke atas mereka dijalankan. Disebabkan oleh tabiat makan dan hidup yang tidak sihat, ada juga penderma-penderma ini yang mula mengalami masalah terhadap satu-satunya buah pinggang mereka yang tinggal.
Berleluasanya masalah ini di Filipina mendorong beberapa pihak bangun menyuarakan cadangan untuk kerajaan Filipina sendiri, mewujudkan sistem ganjaran rasmi berbentuk wang tunai bagi menggalakkan penderma menderma di saluran yang betul.
Kajian besar-besaran yang dijalankan sejak tahun 2009 menunjukkan wujud keterbukaan di kalangan masyarakat Filipina dalam menerima konsep tersebut, asalkan ganjaran yang diberikan setimpal dengan pengorbanannya.
Ada yang menyuarakan pandangan bahawa penderma seharusnya diberikan pilihan, sama ada balasan berbentuk wang tunai, tanggungan kos sara hidup atau bantuan biasiswa pendidikan.
Namun sehingga kini belum ada perubahan berlaku di Filipina.
Oleh sebab itulah penjualan organ, khasnya buah pinggang terus dilihat oleh segelintir warga miskin di Filipina - sebagai jalan keluar paling mudah untuk mereka mengecapi kebahagiaan.
Malangnya tidak ramai sedar kebahagiaan itu rata-ratanya tidak akan kekal lama dan mereka pula sudah tidak lagi sempurna tanpa nampak hasilnya. Jadi mereka tegar menjustifikasikan tindakan mereka; ada nyawa telah diselamatkan, hasil susah payah pengorbanan mereka.