Dalam zaman yang serba canggih ini, bangunan dan kediaman yang tinggi mencucuk langit boleh dilihat di mana-mana sahaja di bandar-bandar besar.

Dan untuk memudahkan aktiviti harian manusia, teknologi lif diaplikasikan dalam bangunan-bangunan tinggi ini. Namun, penggunaan lif sebenarnya boleh memberikan kemudaratan kepada manusia.

Seperti yang anda tahu, terdapat kemungkinan untuk lif mengalami kegagalan dan jatuh secara bebas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

melompat dalam lif jump inside elevator

Dan terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa jika anda berada dalam sebuah lif yang sedang jatuh dalam keadaan bebas (free fall), anda boleh melompat pada saat yang tepat apabila lif tersebut menghentam lantai.

Tindakan ini dikatakan dapat menyelamatkan nyawa anda, atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tahap kecederaan yang dialami.

Ia kedengaran seperti sesuatu yang sangat cool untuk dilakukan, tetapi adakah ia benar?

Lif yang jatuh secara bebas

aplikasi jatuh bebas oleh spaceshot di genting highland

Sebuah lif dikatakan berada dalam keadaan jatuh bebas selepas "dibebaskan" daripada kesan atau kawalan peralatan dan sistem yang bertanggungjawab terhadap ke atasnya.

Dengan kata mudah, lif yang jatuh secara bebas adalah sesuatu yang sangat menyeramkan.

Sebuah lif bergerak melalui tingkat-tingkat yang berbeza dalam sesebuah bangunan dengan bantuan beberapa sistem keselamatan.

Sistem keselamatan ini mengekalkan lif di tempatnya dan menghindarkan pengguna daripada sebarang kecelakaan.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kerumitan teknikal tertentu, sistem ini mungkin berhenti berfungsi secara tiba-tiba (walaupun kebarangkalian kejadian itu sangat rendah). 

Dan jika anda tidak bernasib baik dengan berada dalam lif yang sedang jatuh menjunam ke Bumi, apa yang akan berlaku? 

Berdiri tegak dalam lif yang jatuh bebas 

berdiri pegun dalam lif jatuh bebas

Memandangkan lif jatuh dalam keadaan bebas, satu-satunya daya yang menyumbang kepada kejatuhan lif tersebut adalah daya graviti.

Oleh itu, lif tersebut akan bergerak ke bawah dengan pecutan 9.8 s-2, iaitu nilai pecutan standard disebabkan oleh graviti.

Dan disebabkan anda berada di dalam lif ini, anda juga akan bergerak ke bawah pada halaju yang sama.

Perlu diketahui bahawa ini hanya berlaku jika anda berdiri dalam keadaan pegun dalam lif yang sedang jatuh bebas.

Melompat sebaik sahaja lif menghentam tanah 

bolehkah anda selamat dengan melompat dalam lif yang jatuh bebas

Seperti persoalan yang dinyatakan di atas, ketika lif sedang jatuh bebas, apa yang akan berlaku jika anda melompat tepat-tepat sebelum lif tersebut menghentam tanah?

Adakah ini akan membantu menyelamatkan anda daripada kecederaan?

Jawapannya adalah TIDAK.

Untuk lebih memahami, kita perlu melihat faktor-faktor yang terlibat dalam situasi ini.

Pertama sekali, adalah mustahil untuk kita mengetahui di tingkat berapa kita berada ketika mengalami jatuh bebas.

Dan cuba bayangkan jika berlakunya gangguan bekalan elektrik, bagaimana anda tahu masa yang tepat untuk melompat?

Malah, sekalipun berlakunya keajaiban di mana anda melompat pada saat yang tepat, adakah anda tidak mengalami sebarang kecederaan?

Tidak, kerana anda tetap akan mengalami kecederaan dan tahap kecederaan ini bergantung kepada ketinggian anda jatuh.

Semakin tinggi anda jatuh, semakin tinggi pecutan dan kesan impak, yang akan meningkatkan tahap kecederaan yang anda alami.

Mengapa melompat tidak membantu apa-apa?

lompat dalam lif yang jatuh bebas

Pertama sekali, daya di mana anda menghentam tanah bergantung kepada momentum anda. Momentum adalah hasil daripada jisim dan halaju.

Jika lif itu jatuh untuk tempoh yang lama, maka kecederaan yang akan dialami adalah lebih teruk.

Semakin panjang tempoh jatuh bebas = lebih tinggi momentum = lebih teruk kecederaan. 

Juga, jika anda melompat betul-betul sebelum lif menghentam tanah, anda akan menyebabkan kecederaan teruk pada kepala kerana kepala anda akan terhantuk pada siling lif tersebut.

Dan ini akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.

Sekiranya anda berjaya melompat pada masa yang tepat ketika impak berlaku, anda hanya akan mengubah halaju anda dalam jumlah yang sangat sedikit.

Perubahan halaju ini tidak memberikan kesan yang begitu ketara dari segi tahap kecederaan yang anda akan alami.

Jadi, idea bahawa melompat pada waktu yang tepat ketika lif menghentam tanah dalam situasi jatuh bebas untuk mengelakkan kecederaan berlaku adalah sesuatu yang mustahil.

Ini kerana kebarangkalian untuk ini berlaku sangat lah tipis dan anda pastinya tetap akan mengalami kecederaan.

Namun jangan bimbang, kerana kemungkinan untuk anda berhadapan dengan situasi ini sangatlah tipis. 

Rujukan:

1. The Physics VAN (University of Illinois at Urbana-Champaign)

2. ScienceABC

3. Live Science

4. Discovery.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)