Jatuh katil adalah sesuatu yang agak menyakitkan mereka yang pernah mengalaminya walaupun jarak jatuhan kita tak sampai dua kaki.
Bagaimana pula seandainya anda jatuh dari pesawat yang sedang terbang di udara? Agaknya bagaimanalah rasa kesakitan yang akan melanda kita ya?
Tetapi tahukah anda dalam sejarah, memang ada individu-individu yang jatuh dari tempat tinggi terselamat, walaupun mendarat tanpa bantuan payung terjun. Berikut adalah lima individu yang selamat serta rekod jarak jatuhan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
5. Bear Grylls (4,900 meter)
Individu paling terkenal dalam senarai ini, nama Bear Grylls pasti dikenali peminat aktiviti lasak.
Seorang pengacara yang terkenal dengan aktiviti-aktiviti ekstrimnya, Bear merupakan antara individu yang terselamat dalam jarak jatuhan tinggi tanpa bantuan payung terjun.
Karier beliau dalam tentera British berakhir dalam insiden tahun 1996, selepas satu sesi latihan terjunan dengan bantuan payung terjun berakhir tragedi. Sesi latihan yang diadakan di Zambia menyaksikan payung terjun Bear tidak terbuka dan beliau jatuh dari ketinggian 4,900 meter.
Bear jatuh terhempas ke bumi, meretakkan 3 tulang belakang menghilangkan kelayakan beliau untuk terus menjadi anggota elit tentera British.
4. Nicholas Alkemade (5,490 meter)
Seorang petani, Nicholas Alkemade yang lahir pada tahun 1922 memilih untuk menyertai angkatan tentera Britain ketika perang dunia kedua bermula. Dia menamatkan latihan dan mula bertugas sebagai penembak bersama Skuadron RAF115.
Selepas berjaya menamatkan operasi pengeboman di Berlin pada 22 Mei 1944, pesawat yang dinaiki Nicholas ditembak menyebabkan badannya mula terbakar.
Nicholas yang ketika itu masih mengawal turet gagal menyelamatkan payung terjun daripada dibakar memaksa dia sendiri yang pada ketika itu sudah mula dijilat api, terjun dari ketinggian hampir 6 kilometer.
Pengsan, Nicholas membuka matanya 3 jam kemudian dalam sebuah hutan dikelilingi oleh salji tebal. Nasibnya baik kerana dia jatuh di atas kawanan pokok pain muda yang menyerap impak kejatuhannya.
Patah kaki tidak dapat berjalan, Nicholas membunyikan wisel untuk menarik perhatian sebelum diselamatkan/ditangkap pasukan Gestapo Jerman yang pada awalnya langsung tidak percaya kisahnya. Hanya selepas siasatan dilakukan, terbukti kisah ajaib Nicholas benar-benar berlaku.
Nicholas selamat menjalani kehidupan biasa selepas itu dan meninggal dunia pada 22 Jun 1987 ketika berusia 64 tahun.
3. Alan Magee (6,700 meter)
Tanggal bulan Januari tahun 1943, tentera Amerika Syarikat mengarahkan pesawat B-17 milik mereka mengebom beberapa lokasi yang dikuasai tentera Jerman yang terletak di Perancis.
Pesawat itu yang membawa Sarjan Alan Magee ditembak musuh dan mula terbakar, menyebabkan kesemua petugas terpaksa melompat keluar. Alan yang cemas, gagal mengenakan payung terjun sebelum terjun begitu saja pada ketinggian 6,700 meter.
Dia hanya sempat berdoa sebelum pengsan, jatuh ke bumbung kaca sebuah stesen keretapi, tersangkut pada bahagian wayar keluli yang digunakan sebagai struktur penyokong siling bangunan tersebut.
Ironinya - dia diselamatkan oleh tentera Jerman yang bertindak pantas menghantar dia untuk mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan Jerman. Alan mengalami kecederaan patah kaki kanan serta beberapa kecederaan lain - layak dikatakan paling ringan dalam senarai artikel ini.
2. Ivan Chisov (7,000 meter)
Ivan Chisov merupakan seorang anggota tentera berpangkat Leftenan yang bertugas sebagai jurunavigasi pesawat pengebom milik tentera Soviet.
Pada bulan Januari tahun 1942, pesawat yang dinaikinya diserang oleh tentera Jerman memaksa kesemua anak kapal menyelamatkan diri sebelum terhempas termasuklah Ivan.
Dengan payung terjun di belakang, Ivan merancang untuk melambatkan bukaan payung bagi mengelakkan dirinya dikesan namun tekanan udara menyebabkan dia hilang kesedaran diri - mengakibatkan dia jatuh begitu saja dari jarak 7,000 meter dari permukaan tanah.
Dalam keadaan pengsan Ivan jatuh, ditemui masih hidup dengan kecederaan teruk pada bahagian tulang belakang dan pinggang. Selepas pulih daripada rawatan, Ivan mahu kembali bertugas di medan perang namun tentera Soviet menukarkan dia ke jawatan jurulatih navigasi.
Ivan meninggal dunia pada tahun 1986 pada usia 70 tahun.
1. Vesna Vulovic (10,150 meter)
Seorang peramugari yang cantik, Vesna Vulovic yang pada ketika kejadian berusia 22 tahun memegang rekod dunia sebagai manusia yang terselamat jatuh daripada jarak kejatuhan paling tinggi.
Dia merupakan satu-satunya individu yang terselamat dalam insiden sabotaj sehingga mengakibatkan letupan pesawat JAT Flight 367 berlaku pada 26 Januari 1972. Apa yang menarik berkenaan kisah ini, Vesna sepatutnya tidak bertugas dalam penerbangan tersebut yang berlepas dari Sweden ke Serbia.
Letupan yang berlaku disebabkan oleh bom yang disembunyikan dalam bagasi yang berjaya diseludup masuk, mengakibatkan kapal terbang itu patah tiga mengorbankan kesemua anak kapal dan penumpang kecuali Vesna.
Dia jatuh pada ketinggian 10,150-10,160 meter, patah tulang bekalang, tempurung kepalanya retak, patah kedua-dua kaki dan lumpuh di bahagian pinggang ke bawah.
Koma selama 27 hari dan menerima rawatan selama 16 bulan, Vesna berterima kasih kepada individu yang menemuinya yang tahu selok belok rawatan kecemasan yang menyelamatkan nyawanya.
Usia Vesna panjang. Dia meninggal dunia ketika berusia 66 tahun pada 23 Disember 2016, sempat meneruskan karier sebagai petugas pejabat syarikat penerbangan sama dan berjaya memulihkan fungsi kakinya serta masih tidak takut untuk menaiki pesawat.