Dalam filem, babak pertarungan udara di antara dua atau lebih dua pesawat tempur seringkali ditayangkan berakhir dengan salah satu juruterbang terpaksa meninggalkan pesawatnya, ditembak keluar dari kokpit dengan peralatan kerusi penendang atau ejector seat.

Babak itu pada pandangan penulis - memang nampak 'cool' serta penuh impak keperwiraan, apatah lagi seandainya pesawat yang dinaiki sebelum itu meletup sebaik sahaja kerusi dilancarkan dan juruterbang selamat mendarat dengan sempurna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Itu dalam filem, bolehlah! Realitinya tahap kecederaan yang akan dialami juruterbang yang perlu menggunakan kerusi pelancarnya sangat jauh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam kisah fiksyen dan lebih menyedihkan;

Majoriti antara petugas tidak lagi akan dibenarkan berkhidmat selepas itu.

Beza dunia nyata dengan fiksyen

kerusi pelancar pesawat bahaya risiko

Setakat majoriti filem yang ditonton penulis, belum pernah lagi penulis dapat melihat kesan sebenar penggunaan ejector seat dipaparkan dengan realistik. 

Sekiranya kita tahu apa kesan sebenar penggunaannya kepada juruterbang, pasti ramai yang akan tersengih selepas ini melihat hero bukan saja terselamat bahkan masih mampu bertarung selepas mendarat.

Secara statistiknya, penggunaan kerusi pelancar atau ejector seat adalah pilihan yang BENAR-BENAR-BENAR terakhir akan digunakan oleh juruterbang, ketika dalam penerbangan. Ini bukanlah disebabkan bimbang risiko pesawat terbakar dengan mereka masih di dalamnya - tetapi disebabkan impak pelancaran yang berlaku kepada tubuh juruterbang.

Tekanan yang terhasil daripada pelancaran juruterbang itu selalunya berakhir dengan kurang gembira bagi mereka yang perlu memilihnya - 60% daripada juruterbang yang selamat dilancarkan keluar akan mengalami masalah retak pada tulang belakang akibat perlu menahan hentakan yang berlaku.

Kuat ke tekanan yang berlaku tu? Sangat kuat. 

Semua juruterbang yang duduk atas kerusi pelancar akan berhadapan tekanan 18G yang menyamai 18 kali berat badan anda. Jika dibandingkan dengan tekanan yang dirasai pemandu kereta Formula 1, seorang pemandu secara maksima merasai sekitar 2 ke 6G bergantung kepada situasi.

Kelajuan mereka ditembak keluar daripada kokpit pula dianggarkan sekitar 140 ke 160m/s pada kadar maksima dan faktor kelajuan inilah yang menjadi punca utama kecederaan yang akan dialami juruterbang.

Kenapa terjadi kecederaan tulang belakang?

kecederaan leher dialami juruterbang

Semasa dilancarkan, tulang belakang seseorang juruterbang yang sepatutnya renggang antara satu sama lain akan mula menjadi rapat akibat tekanan yang terhasil dari bawah tempat duduk mereka.

Dua bahagian utama tulang belakang yang menyerap impak terhasil adalah lengkungan lumbar dan lengkungan thoracic. Ekoran daripada impak yang sukar diramal, tahap kecederaan yang berlaku juga boleh jadi berbeza-beza mengikut situasi yang dihadapi biasanya dikategorikan kepada tiga kategori berbeza. 

Yang pertama dan paling kerap terjadi adalah kecederaan tulang belakang dalam pelbagai peringkat, kedua adalah trauma pada bahagian tubuh yang terjejas dan yang ketiga adalah kecederaan pada bahagian kepala.

Kecederaan tulang belakang paling kerap berlaku pula adalah jenis 'anterior wedge compression fractures' yang dikategorikan sebagai satu simptom kecil, berlaku akibat mampatan tulang belakang yang terjadi secara mendadak. 

Salah satu kes unik melibatkan kecederaan ini melibatkan seorang juruterbang, telah menyebabkan dia kehilangan ketinggiannya sebanyak 1 inci hasil daripada perubahan yang berlaku pada susunan tulang belakang beliau.

Dalam temuramah bersama juruterbang itu yang terselamat, dia menyifatkan impak yang perlu ditanggung semasa dia dan 3 tiga lagi kru penerbangan beliau dilancarkan daripada pesawat pengebom B-1 yang sedang terbang di Lautan Hindi - adalah satu pengalaman paling ganas pernah dirasainya.

Impak dan kecederaan yang perlu bagi mengelak kematian

kerusi pelancar martin baker

Walaupun mempunyai risiko yang tinggi mengakibatkan kecederaan kepada juruterbang, tahap individu yang terselamat nyawanya disebabkan penggunaan kerusi pelancar juga tinggi sekitar 92%.

Kematian pula berlaku disebabkan oleh faktor seperti terlambat mengaktifkan pelancar, berlaku pelanggaran semasa dilancarkan atau lebih malang - penyelenggaraan kerusi pelancar yang tidak dibuat baik, menyebabkan ada kerosakan padanya sejak awal.

Ini kerana peralatan pada kerusi itu cukup kompleks rekaannya yang sangat bergantung kepada ketinggian pesawat dan jumlah kerusi pelancar yang ada.

Sekiranya ada dua atau lebih kerusi dalam satu pesawat, setiap kerusi dikalibrasi untuk menembak juruterbang atau penumpang kepada sudut-sudut berbeza, bagi memastikan mereka tidak bertembung.

Semua kerusi selepas diaktifkan  akan melancarkan individu di atasnya setinggi satu ke dua meter. Apabila tiba pada ketinggian itu, roket yang dipasang di bawah tempat duduk akan aktif secara automatik memacu mereka 100 kaki ke atas. Kesemua proses ini berlaku tak sampai 3 saat.

Selepas tiba pada ketinggian itu, payung terjun kecil akan terbuka bagi menstabilkan kedudukan kerusi sebelum individu itu tiba pada ketinggian sekitar 10,000 kaki dari aras bumi, diukur menggunakan barometer terpasang pada kerusi - yang akan mengaktifkan payung terjun besar seterusnya membolehkan juruterbang dan kerusi dipisahkan.

Apa yang akan berlaku selepas itu sangat bergantung dengan kemahiran juruterbang atau penumpang itu mengendalikan jatuhan mereka, bagi meminimakan kecederaan dan impak yang bakal mereka alami.

Biarlah rugi asal terselamat

pesawat juruterbang risiko kecederaan ejector seat

Ada juga kes di mana juruterbang hilang kesedaran diri selepas dia mengaktifkan kerusi - terapung dan berpisah dengan kerusi dalam situasi tidak sedar. 

Sedar-sedar dia dah ada di atas tanah, dalam keadaan selamat serta bangun berjalan. Hanya selepas pemeriksaan mendapati juruterbang itu mengalami beberapa jenis kecederaan berbeza di kedua-dua tangan dan kaki serta tulang belakang. 

Kami ingatkan sekali lagi - kerusi pelancar adalah jalan terakhir yang akan diambil juruterbang, sekiranya perlu.

Dengan mengaktifkan kerusi itu, mereka bukan saja melepaskan kawalan ke atas pesawat yang mereka pandu bahkan akan menyebabkan kecederaan jangka masa panjang kepada tubuh sediri. Hanya dalam filem penggunaannya tidak memberikan impak besar kepada penggunanya. 

Realitinya jelas jauh berbeza.

Rujukan

Injuries sustained by aircrew on ejecting from their aircraft 

How Things Work: Ejection Seats




Hakcipta iluminasi.com (2017)