Beberapa tahun kebelakangan, aritificial intelligence (AI) atau kepintaran buatan telah menjalani penambahbaikan pesat - membolehkan AI mengambil alih bidang tertentu secara tidak rasmi sehingga menimbulkan kontroversi di serata dunia dek kebolehannya.

Jika anda seorang peminat filem, pasti anda pernah menonton filem yang memaparkan situasi masyarakat dunia tatkala AI mencapai satu tahap tinggi, mampu mengambil alih dunia.Adakah ini masa depan kita? Hanya Dia yang tahu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang kita tahu, keupayaan AI zaman sekarang sudah masuk ke fasa yang dianggap sudah mampu menggugat dan menyaingi kemahiran manusia dalam beberapa bidang khusus.

Dalam masa sama, ada beberapa jawatan atau profesion diramal tak dapat diganti AI. Adakah anda kumpulan bertuah yang sedang menjawat jawatan dalam bidang ini? Berikut 6 jawatan kalis kepintaran buatan buat masa sekarang. 

1. Pengurusan sumber manusia

mungkinkah ai ganti hr sumber manusia

Kami beranggapan keperluan untuk mengendali urusan pentadbiran melibatkan pekerja akan kekal selamat.

Ini kerana tugas pegawai sumber manusia atau human resources (HR) sebagai orang tengah dalam meditasi konflik, isu pejabat serta hubungan majikan-pekerja memerlukan penyeliaan seorang manusia.

AI masih belum menggantikan penelitian manusia dalam topik pengurusan sebegini, walaupun ramai golongan pekerja merasakan pegawai HR biasanya kurang adil serta lebih menitikberatkan belah majikan dalam semua isu.

2. Pengaturcara komputer/perisian

robot ai bakal ganti kerja manusia

Siapa nak bangunkan AI kalau tiada orang membangunkannya?

Oleh kerana itulah kategori pembangun perisian atau pengaturcaraan bukan saja diramal tidak terkesan dengan AI, bahkan semakin berkembang keperluannya bila penggunaan AI semakin meningkat.

Setakat ini pada pembacaan penulis belum ada lagi sistem AI yang mampu membangunkan algoritma sendiri, bagi membentuk logik mengawal perjalanan sesuatu arahan bersifat digital.

Tetapi sudah ada AI yang membantu pembangunan perisian yang sedang dibangunkan, khususnya dalam menyaring data dan memecahkan informasi kepada bentuk yang lebih tersusun.

3. Petugas kebajikan

ai sebagai pekerja kebajikan

Gerak kerja kebajikan biasanya melibatkan badan kerajaan dan bukan kerajaan, bertanggungjawab menjalankan aktiviti sosial berfokuskan kumpulan sasaran tertentu.

Sama ada menjaga kebajikan orang tidak bernasib baik seperti anak yatim atau pelarian perang, makhluk hidup lain seperti binatang peliharaan terbiar atau menjalankan kempen kesedaran tentang kepentingan hutan, tugas sebegini diramal sukar untuk diganti dengan AI dan mesin.

Namun persoalannya adakah orang ramai akan memilih profesion sebegini? Kita semua tahu pendapatan individu dalam kelompok ini biasanya mendapat imbuhan rendah dengan kerja susah perlu menangani masalah-masalah pihak ketiga.

4. Juruteknik pelbagai bidang

ai bakal ganti juruteknik

Robot dan kepintaran buatan mungkin sudah boleh membantu membina mesin lain, berdasarkan pengaturcaraannya.

Namun juruteknik berpengetahuan dan berkemahiran menyelenggara mesin dan jentera dalam bidang masing-masing, dikatakan bakal menjadi antara pekerjaan paling diperlukan.

Tak kiralah anda duduk dalam bidang apa sekalipun baik mekanik, elektrik, perpaipan dan sebagainya; bidang profesion ini dilihat pilihan yang selamat kerana kemahiran sentuhan tangan yang diperlukan.

Kemampuan tangan manusia menyelenggara sesuatu pun telah menjadi bidang kemahiran yang berkembang seiring dengan kemajuan tamadun manusia.

AI pula dalam bidang sebegini dilihat akan mampu membantu memudahkan proses diagnosis yang perlu dilakukan juruteknik, dalam mencari ralat atau kerosakan, selain memudahkan pengurusan aliran kerja dalam menyelesaikan masalah teknikal yang oleh pasukan terbabit.

5. Rawatan mental

bidang sakit mental ai

Apa saja bidang berkait mental manusia tidak boleh lari daripada campur tangan manusia.

Khususnya dalam bidang psikiatri, di mana seseorang yang benar-benar berpengatahuan perlu menggalas tanggungjawab menangani masalah mental yang dihadapi seorang pesakit. 

Selain itu tugas-tugas jawatan yang berkait dengan psikologi, seperti penasihat dan jurukaunseling juga dikategorikan tidak mampu diganti dengan AI. 

Cabaran dalam bidang ini yang telah dikenalpasti - adalah untuk memastikan kita manusia, tidak terjebak mencipta kebergantungan sepenuhnya kepada AI sehingga membiarkan AI mentafsir tahap mental kita. Masalahnya, perbuatan sebegini sebenarnya sudah berlaku kepada kita.

Ramai di antara kita gemar mendiagnosis diri sendiri berdasarkan informasi di internet, untuk 'mengenalpasti' apa jenis masalah mental yang kita ada sehinggakan ramai yang percaya mereka ada penyakit mental tanpa bertemu pakar bidangnya.

Jika informasi di internet sudah mampu mempengaruhi sebahagian kecil daripada kita, sukar untuk kami bayangkan apa akan berlaku kalau AI pula diberi peluang mentafsir masalah mental berdasarkan tanda-tanda yang kita rasa kita ada. 

6. Pembedahan

telesurgery pembedahan jarak jauh ai

Dunia perubatan menyaksikan perkembangan pesat dalam dua dekad ini, khususnya dalam bidang pembedahan jarak jauh atau telesurgery, bermula daripada kejayaan pembedahan jarak jauh pertama pada tahun 2001.

Menggunakan kemahiran doktor mahir dari lokasi berbeza berhubung melalui internet mengendalikan jari-jari robotik yang akan melakukan pembedahan pada tubuh pesakit, tahun 2022 menyaksikan banyak teknologi baru diiktiraf dan diperkenalkan bagi tujuan pembedahan, daripada pembedahan membuang batu karang sehinggalah pembedahan usus.

Namun setakat ini, teknologi yang dibangunkan hanya terhad kepada mod telesurgery, tanpa benar-benar ada sistem pembedahan manusia berasaskan AI sepenuhnya yang boleh membedah sendiri secara automatik tanpa manipulasi tangan pakar.

Kecuali satu.

John Hopkins University telah berjaya membangunkan sistem robotik berasaskan AI yang mampu menjahit semula tisu terbuka selepas pembedahan tanpa perlu tangan manusia menggerakkannya.

Dalam eksperimen bulan Januari 2022 itu menggunakan tisu khinzir, AI yang dibangunkan telah berjaya mencantumkan tisu dalam pembedahan laparoskopik, yang dianggap antara kategori pembedahan yang cukup rumit kerana memerlukan cantuman semula usus yang sempurna dilakukan.

Kejayaan itu dilihat detik penting dalam dunia perubatan, diramal menjadi bukti pembedahan automatik sepenuhnya yang dipandu oleh AI boleh menjadi kenyataan.

Cuma ke mana agaknya arah dunia perubatan di masa depan? Itu sukar diramal. Kami yakin ini sangat bergantung dengan permintaan yang ada.

Kami tinggalkan anda dengan satu soalan;

Jika anda perlu dibedah dan anda diberikan pilihan, yang mana pilihan anda : pembedahan jarak jauh telesurgery dikawal pakar atau sistem pembedahan diselia AI sepenuhnya yang telah diyakini selamat untuk pembedahan anda? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)