sisa angkasa milik china yang jatuh

Stesen angkasa pertama milik China, Tiangong-1 dijangkakan akan terhempas ke bumi tidak lama lagi. Penyelidik menjangkakan Tiangong-1 akan mula memasuki ruang atomosfera bumi pada awal bulan April dan meramalkan jatuhan sebenar akan berlaku dalam julat di antara 24 Mac 2018 hingga 19 April 2018.

Menurut kenyataan Aerospace Corporation, ada kemungkinan partikel-partikel kecil daripada stesen angkasa tersebut akan terselamat semasa jatuhan dan diramalkan akan mendarat di permukaan bumi. Aerospace Corp. memberi amaran berkenaan sejenis bahan berbahaya bersifat toksik yang dinamakan 'hydrazine' yang dikatakan menjadi punca sebenar kebimbangan mereka berkenaan jatuhan stesen Tiangong-1 ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hydrazine

bekas hydrazine

Hydrazine yang disimpan di dalam stesen angkasa Tiangong-1 mempunyai sangat sangat toksik serta sangat tidak stabil sekiranya disimpan dalam bentuk anhydrous - yakni tidak berair. Jadi, hydrazine ini perlu senantiasa disimpan dalam bentuk cecair setiap masa.

Apa yang menakutkan - walaupun sudah banyak kali objek-objek dijatuhkan dari angkasa ke bumi tanpa mengakibatkan kehilangan nyawa, Tiangong-1 adalah kes pertama di mana penyelidik terpaksa berhadapan keadaan yang unik akibat wujudnya hydrazine.

Tiangong-1 menyimpan jumlah hydrazine yang agak banyak. Diramalkan hydrazine yang tersimpan berkemungkinan besar tidak akan hancur sepenuhnya semasa jatuhan dan individu yang berada di lokasi jatuhan, diminta tidak memegang atau cuba menghidu gas yang terhasil selepas jatuhan. Hydrazine merupakan sejenis bahan kimia bersifat karsinogen yang mampu menyebabkan kanser pada manusia.

Ramalan lokasi jatuhan

tiangong 1 bakal jatuh di malaysia

Walaupun Malaysia disebut-sebut mempunyai kebarangkalian menjadi lokasi jatuhnya sisa Tiangong-1, kita boleh menarik nafas lega kerana kini kawasan Asia sudah tidak lagi tersenarai sebagai tempat berpotensi berisiko.

Kawasan utara China, Timur Tengah, Itali tengah, utara Sepanyol, kawasan utara Amerika Syarikat, New Zealand, sebahagian daripada Amerika Selatan atau selatan Afrika kini dilabelkan sebagai kawasan paling berkemungkinan besar mengalami jatuhan stesen tersebut.

Bagaimanapun, ramalan-ramalan ini mungkin berubah berikutan keadaan cuaca angkasa yang sukar diramalkan. Keadaan cuaca angkasa memberi pengaruh besar pada kelajuan turunnya Tiangong-1 jadi penyelidik tetap mengatakan realiti sebenar jatuhnya Tiangong-1 ini hanya akan diketahui satu minggu sebelum tarikh jatuhan sebenar.

Pernahkah perkara seumpama ini berlaku?

serpihan besar dari skylab di australia

Sukar untuk dipercayai, tetapi perkara seumpama ini pernah berlaku beberapa kali. Antara kes yang paling popular adalah kejatuhan Skylab milik NASA pada tahun 1979. Skylab dibina bagi mempunyai jangka hayat operasi selama 9 tahun di angkasa namun, NASA terlepas pandang tentang sistem yang akan mengawal kejatuhannya selepas Skylab tamat beroperasi.

Skylab kehilangan altitud sambil mengorbit bumi dan diibaratkan seperti sebiji peluru 77 tan yang tidak mampu dihala ke mana-mana lagi. Pada 11 Julai 1979, ketika Skylab semakin menghampiri bumi - jurutera NASA melancarkan letupan roket Skylab untuk mengubah trajektori jatuhan yang diharapkan akan membawa Skylab jatuh di Lautan Hindi.

Perancangan mereka berjaya namun ada bahagian-bahagian yang terselamat dalam jatuhan, menimpa beberapa bahagian di barat Australia. NASA amat bernasib baik kerana tidak ada sesiapa cedera atau nyawa terkorban dalam insiden tersebut.

Bagi menenangkan mana-mana individu yang risau, harus diingatkan peluang anda untuk terkena serpihan yang jatuh dari angkasa adalah sangat rendah, dengan peluang anda dipanah petir atau memenangi loteri sebenarnya jauh lebih tinggi.

Bagaimanapun, ada seorang individu saja pernah merasai serpihan dari angkasa jatuh ke tubuhnya, dalam sejarah penjelajahan angkasa zaman moden.

Satu-satunya manusia pernah terkena serpihan dari angkasa

lottie williams manusia terkena serpihan dari angkasa

Pada tahun 1997, seorang wanita bernama Lottie Williams sedang bersenam pada waktu pagi di sebuah taman di Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau dapat melihat ada sesuatu yang terbakar di angkasa yang semakin menghampiri lokasi mereka sebelum bebola api itu hilang. Lottie meneruskan senaman ringannya sebelum merasai sesuatu memukul bahunya lalu jatuh di atas tanah, dengan bunyi seakan-akan besi.

Serpihan sepanjang 6 inci itu dikutip oleh Lottie dan disimpan kerana dia merasa pelik dengan kejadian tersebut. Harus diberitahu, Lottie bernasib baik kerana serpihan yang terkena pada bahunya sangat ringan dan nipis. Pada mulanya dia menyangkakan itu adalah serpihan bintang yang jatuh, jadi Lottie mula menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat lanjut.

US Space Command mengesahkan apa yang menimpa Lottie secara ringan itu sebenarnya adalah serpihan roket Delta II yang diketahui jatuh pada malam tersebut ke beberapa kawasan, termasuk kawasan di mana Lottie bersenam. Lottie mengakui dirinya agak kecewa setelah mengetahui perihal sebenar objek yang terkena padanya.

Bagaimanapun, Lottie seharusnya merasa bangga jugalah menjadi satu-satunya manusia setakat ini yang diiktiraf terkena serpihan yang jatuh dari angkasa dan terselamat. Rekod itu terus kekal sehingga ke hari ini.

Adakah ada kemungkinan akan wujud dakwaan individu-individu lain yang senasib dengan Lottie Williams tidak lama lagi? Kita tunggu dan lihat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)