Sejak Kebelakangan ini, kita sering berhadapan dengan situasi di mana negara kekurangan bekalan barangan keperluan asas seperti minyak masak, tepung gandum, telur dan banyak lagi.
Lebih membebankan lagi, harga barangan keperluan asas ini semakin meningkat dari masa ke masa sehingga memberi kesan kepada golongan yang berpendapatan rendah.
Malah, keadaan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi turut dirasai di bahagian lain di seluruh dunia. Jika kenaikan harga dan kekurangan barangan keperluan asas ini berterusan, ia mungkin akan menyebabkan berlakunya krisis makanan dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Krisis makanan adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar kebuluran, kekurangan nutrisi sekaligus mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit. Berikut adalah beberapa penyebab utama yang menyebabkan berlakunya krisis makanan dunia.
1. Kekurangan Akses Tanah Perladangan
Makanan biasanya ditanam atau dihasilkan dari tanah. Walau bagaimanapun, tidak ramai orang mempunyai tanah sendiri atau mampu untuk mempunyai akses kepada tanah yang boleh diusahakan. Tanah adalah sumber utama petani untuk menjana pendapatan.
Malah, semakin banyak tanah yang diusahakan secara tradisi oleh keluarga petani telah diambil atau dibeli oleh pihak kerajaan dan pelabur besar bagi tujuan pembangunan.
Dengan kekurangan tanah serta petani untuk mengusahakannya, bekalan makanan akan menjadi terhad dan ini akan menyebabkan harganya melambung tinggi.
2. Konflik, Keganasan dan Peperangan
Konflik, keganasan dan peperangan yang berlaku akan memberi kesan negatif kepada pengeluaran dan bekalan sesebuah negara. Kebanyakan negara yang mengalami pergolakan menunjukkan kekurangan bekalan makanan yang tinggi.
Sebagai contoh, sebanyak 5.5 juta rakyat Syria menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan asas disebabkan konflik yang berlaku di sana. Keadaan ini dijangka akan berterusan walaupun selepas beberapa tahun tamatnya perang.
Konflik terbaru antara Rusia dan Ukraine yang merupakan pengeluar besar gandum dan jagung dunia pula telah menyebabkan bahan mentah itu mengalami kenaikan harga mendadak di pasaran dunia.
3. Perubahan Iklim dan Bencana Alam
Perubahan iklim yang semakin teruk secara asasnya mempengaruhi pertanian. Para petani berhadapan kesan perubahan iklim ini apabila musim hujan tiba lebih awal dan kemarau berlarutan lebih lama.
Bekalan air tawar juga semakin berkurangan akibat kenaikan paras laut dan kejadian cuaca esktrem yang lain. Tambahan lagi, perubahan iklim turut menyumbang kepada kekerapan berlakunya bencana alam lain seperti kemarau, banjir, ribut dan taufan.
Bencana alam seperti ini boleh memusnahkan keseluruhan tanaman dan tuaian dalam sekelip mata. Ia memberi kesan besar terutamanya kepada komoditi petani kecil di luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian untuk jualan dan makanan harian mereka.
4. Peraturan Perdagangan yang Tidak Adil
Cara syarikat besar menjalankan perniagaan dengan pengeluar makanan tempatan tidak selalunya adil atau memberi ganjaran setimpal kepada petani untuk nilai hasil tuaian serta buruh mereka.
Petani kecil-kecilan tempatan biasanya sukar mendapatkan kontrak untuk membekalkan hasil tuaian dan sering kali terpaksa menjualnya pada harga yang lebih rendah kepada syarikat besar atau pemborong.
Lebih teruk lagi, syarikat gergasi dari luar membanjiri pasaran makanan tempatan dan menyukarkan petani berskala kecil untuk memasarkan hasil mereka. Ketidakstabilan ini boleh menyebabkan petani kecil beralih kepada bidang pekerjaan yang lain.
Jika berlakunya gangguan bekalan dunia dan negara lain mula menyekat pengeksportan makanan ke luar, ia akan menyebabkan berlakunya krisis makanan.
5. Bahan Api Bio
Bahan api bio atau biofuelbiasanya dihasilkan daripada tumbuhan seperti jagung dan tebu. Permintaan penggunaan bahan api bio semakin meningkat demi menangani masalah perubahan iklim. Malangnya, semakin banyak ladang makanan telah ditukarkan menjadi tanaman untuk bahan api bio ini.
Keadaan ini menyebabkan hasil tanaman ini sebagai makanan semakin berkurangan dan pada masa sama turut menyebabkan harga bijirin ini meningkat.
Permintaan biofuel yang meningkat juga menjadi punca kepada peningkatan penebangan hutan seperti yang berlaku di Malaysia dan Indonesia. Penebangan hutan berlebihan boleh menyebabkan bencana alam seperti banjir yang memusnahkan hasil tanaman makanan.
6. Pembaziran Makanan
Setiap tahun, nilai makanan yang dibuang adalah bernilai berbilion-bilion dolar dan kebanyakannya berlaku di negara maju. Sebagai contoh, ketika pandemik Coronavirus, petani membuang makanan bernilai berbilion-bilion apabila pasar raya dan restoran yang sebelum ini membeli hasil tani ditutup.
Tahap pengeluaran yang jauh lebih besar berbanding permintaan menyebabkan berlakunya pembaziran apabila makanan yang tidak laku atau buruk terpaksa dibuang.
Kebanyakan pasaraya pula hanya mahu membeli dan menjual sayur-sayuran yang cantik sahaja kepada pengguna. Ini menyebabkan hampir separuh daripada hasil tuaian yang tidak menepati standard terpaksa digunakan untuk kegunaan lain atau dibuang.
7. Ketidakstabilan Ekonomi
Inflasi dan kejatuhan ekonomi sesebuah negara boleh menjejaskan akses ramai orang untuk mendapatkan makanan. Ketidakstabilan ekonomi turut menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan serta mata pencarian.
Walaupun makanan masih ada di pasaran tetapi kebanyakan orang akan mendapatinya terlalu mahal. Nilai matawang yang jatuh menyebabkan sesebuah negara itu terpaksa membeli bekalan baja, makanan atau bahan mentah lebih mahal dari negara luar.
Ketidakstabilan ekonomi ketika pandemik coronavirus telah menyaksikan ramai orang kehilangan pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk menampung keperluan asas keluarga seperti makanan.