Cakap-cakap orang berkenaan faktor makanan yang mampu menjadikan seseorang itu berkecenderungan songsang sering saja dikongsikan, walaupun kita sendiri tidak jelas tentang kesahihan perkara tersebut.

Ini berpunca daripada persepsi kita yang secara automatik mengatakan perkara itu logik memudahkan kita menerima pendapat tersebut, tanpa usul periksa. Oleh sebab itu, kami cuba merungkaikan serba sedikit benarkah dakwaan makanan mampu membuatkan seseorang itu jadi gay yang cukup popular.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 mitos tentang lima jenis makanan penyebab gay paling banyak disebarkan dan kebenaran tentangnya.

1. Produk soya boleh buat anak lelaki jadi lembut?

produk soya gay

Tidak diketahui dari mana datangnya pendapat ini, tetapi wujud beberapa insiden yang menyebabkannya popular. Antaranya adalah pendapat seorang pendakwah Kristian pada tahun 2006 yang bernama Jim Rutz yang menyalahkan bahan seperti tauhu, sebagai penyebab gay dalam tulisannya. Selain itu seorang rabbi Yahudi bernama Abraham Benjamin Silberberg yang mem'fatwa'kan pengharaman terhadap produk berasaskan soya.

Kedua-duanya percaya hormon estrogen yang ada pada soya akan menyebabkan lelaki menjadi lebih lembut dan perempuan pula matang terlalu cepat. Benarkah dakwaan ini? Ada asasnya. Ini kerana kacang soya memang mempunyai kandungan estrogen versi tumbuhan yang tinggi digelarkan phytoestrogens.

Kajian yang dijalan pada tahun 1980-an semasa pengenalan susu formula bayi berasaskan soya telah pun dijalankan. Dalam kajian yang dijalankan berpuluh tahun lamanya, bayi yang dibesarkan dengan formula berasaskan soya didapati tidak mempunyai perbezaan dengan bayi lain, selepas mencapai umur 20-an daripada segi orientasi seks, saiz kemaluan dan juga tahap kesuburan. (rujukan)

2. Ayam yang disuntik hormon boleh jadikan anda gay?

makan ayam cucuk jadi gay

Sama seperti produk soya, ayam yang diternak dan disuntik dengan hormon yang dibuat berdasarkan kepada hormon estrogen. Dakwaan ini sebenarnya sudah berusia lebih 60 tahun lamanya dan masih lagi berlegar-legar sehingga kini. Kajian yang dijalankan juga mendapati masih ramai orang percaya perkara ini berlaku.

Memang benar perkara itu pernah berlaku pada era 1950-an di mana ayam jantan muda akan disuntik dengan hormon, bagi menambahkan saiz badan mereka. Kaedah ini kekal digunakan sehingga era 1970-an sebelum pembiakan secara genetik yang menghasilkan ayam lebih gemuk dan besar, menggantikan teknik suntikan ini dan terus kekal digunakan sehingga kini. Bagaimanapun, kontroversi mula timbul selepas satu laporan media di Puerto Rico pada tahun 1985, menyebabkan perkara ini popular kembali.

Ini kerana laporan tersebut mengatakan terlalu ramai gadis remaja di Puerto Rico matang dari segi seksual terlalu cepat - akibat makan ayam.

Presiden Bolivia, Evo Morales pada tahun 2010 juga mendakwa perkara ini benar dan menyalahkan homoseksualiti adalah disebabkan ayam yang dimakan. Suntikan hormon ini tidak lagi diamalkan, tidak dibenarkan serta tidak lagi diperlukan dalam industri ayam daging kerana pembiakan secara genetik, yang membesarkan baka ayam jauh lebih mudah dan cepat. (rujukan)

3. 'Fast food' mempengaruhi kadar homoseksual dunia?

fast food penyebab lgbt

Dalam sebuah laporan kajian yang dikeluarkan oleh seorang penyelidik bernama Rita Strakosha pada tahun 2017, cuba mengaitkan tabiat pemakanan produk-produk 'fast food' dengan peningkatan kadar homoseksualiti di kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, pendapat beliau yang diterbitkan sendiri tidak mendapat sokongan penyelidik lain - kerana tidak ada bukti saintifik mengatakan pendapatnya ada kebenaran.

Beliau yang berkelulusan psikologi klinikal daripada Universiti Albanian percaya diet seseorang yang tinggi dengan karbohidrat boleh mengubah kecenderungan seksualiti seseorang, kerana golongan homoseksual didapati mengamalkan tabiat pemakanan yang berbeza dengan individu heteroseksual.

Makanan-makanan dan minuman fast food pada beliau, mampu menyebabkan perubahan itu disebabkan oleh kesan gula dan lemak yang ada dalam setiap produk. Tulisan itu yang diterbitkan sendiri oleh Strakosha dalam laman web beliau mendapat kritikan bukan saja daripada kumpulan saintis lain, malahan daripada komuniti LGBT yang merasakan kajian itu ditulis hanya untuk memburukkan mereka. (rujukan)

4. Air paip punca anak jadi homoseksual?

botol air pencemar

Jangan terkejut pula kalau ada pendapat mengatakan air kosong pun mampu menjadikan seseorang itu homoseksual. Pendapat ini pula sudah banyak kali diutarakan oleh pemimpin-pemimpin haluan kanan di Eropah, yang mengkritik pergerakan golongan LGBT di negara mereka.

Salah satu pendapat yang paling kontroversi di Eropah pada tahun 2017, melibatkan seorang pemimpin wanita Britain bernama Susan King, yang menyalahkan bekalan air di negara mereka sebagai punca ramai homoseks muncul kebelakangan ini.

Pada pendapat beliau, bukti yang perlu diberikan perhatian adalah perubahan pada jantina ikan dan katak yang berubah, disebabkan jumlah hormon yang terlalu tinggi dalam air yang datang daripada sisa bahan plastik yang kita buang.

5. BPA - Tuduhan yang mungkin ada asasnya

bpa bahan beracun

Berkait dengan hujah Susan King di atas, kajian berkenaan bahan plastik yang mengandungi BPA menjadi penyebab kecenderungan seksualiti songsang, memang telah pun dilakukan. Kajian ke atas bahan BPA atau Bisphenol A mendapati wujudnya kandungan estrogen dan hormon lain yang sangat tinggi dan apabila produk-produk mengandungi BPA ini dibuang, hormon-hormon ini boleh mencemarkan bekalan air kita.

Ini bermakna dakwaan Susan King ada benarnya. Persoalannya, adakah hormon itu terbukti mampu mengubah seksualiti seseorang? Setakat ini belum dapat dibuktikan lagi pada manusia, tetapi pada haiwan perubahan telah pun dibuktikan ada.

Kajian ke atas bahan BPA mendapati tikus-tikus jantan yang diberikan bahan tersebut mempunyai masalah untuk mengenalpasti jantina mereka dan tikus betina pula mempunyai perubahan pada sistem peranakannya.

Pada manusia pula walaupun belum dibuktikan BPA mampu menyebabkan ke-gay-an, bahan tersebut memberi kesan pada otak dan tingkah laku individu muda seperti kanak-kanak. Janin yang terdedah kepada BPA melalui ibunya juga didapati mempunyai kecacatan pada otak dan kelenjar prostat. Nasib baiklah bahan BPA ini sudah pun diharamkan dan tidak lagi digunakan dalam proses pembuatan produk plastik. (rujukan)


Kami tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dalam artikel ini, kerana kami percaya setiap perkara perlu dinilai dengan adil dan seimbang - termasuklah pendapat dan tuduhan yang popular dan sering kali dikongsikan kita. Jadi kami biarkan anda buat keputusan sendiri saja ya? Tak setuju? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen.

Rujukan

Time




Hakcipta iluminasi.com (2017)