Adakalanya kita yang hidup aman damai di tanah air ini menjadi manusia alpa. Kita kurang bersyukur dan sering mengeluh tentang pelbagai perkara. Kita terlalu memikirkan kesempurnaan hidup sendiri sehingga tidak mengendahkan hakikat bahawa ramai lagi orang yang lebih buruk taraf kehidupan mereka.
José Ibarra berusia 41 tahun dan mempunyai segulung ijazah sarjana. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian PhD dan bertugas sebagai seorang profesor di Central University of Venezuela.
BESARKAN TEKS A- A+
Bunyinya seakan-akan seorang lelaki yang segak dan berkemampuan dari segala aspek, bukan? Namun, tahukah anda, krisis ekonomi di Venezuela menyebabkan beliau tidak mampu langsung untuk membayar upah membaiki tapak kasutnya?
Pada bulan Jun yang lalu, satu tweet Prof. Ibarra menjadi tular di media sosial selepas memuat naik sekeping gambar kasut hitamnya dengan tapak yang koyak. Beliau menulis:
Saya tidak malu untuk memberitahu perkara ini: setiap hari saya ke UCV memakai kasut ini untuk mengajar. Gaji saya sebagai seorang profesor tidak cukup untuk menukar tapak kasut yang baru.
Ibarra memperolehi gaji bulanan sebanyak 5.9 juta bolivar (sekitar USD1.70 di pasaran gelap) namun beliau memerlukan 20 juta bolivar iaitu bersamaan hampir empat bulan pendapatan hanya untuk membaiki tapak kasutnya.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan kadar inflasi meningkat sehingga 1,000,000,000% di Venezuela. Menurut Prof. Ibarra, seluruh negara terpaksa membuat perubahan besar dalam kehidupan harian mereka di situ.
Ketika mula bekerja sebelum ini, beliau mampu untuk membeli sebuah rumah dengan pendapatan lama. Kini, ketidakmampuan untuk menukar tapak kasut membuatkan profesor yang mempunyai empat pangkat universiti dan bakal bergelar Dr. itu berasa sangat kecewa dengan situasi yang menimpa.
Hendak membaiki tapak kasut pun tidak mampu, apatah lagi membeli sepasang kasut baru. Pendapatan Prof. Ibarra kini tidak membolehkannya untuk membeli baju ataupun sekilo daging.
Dengan berkongsikan gambar kasut lamanya, Prof. Ibarra berharap beliau mampu membuka mata dunia tentang keadaan di Venezuela hari ini.
Sejak tweetnya menjadi tular, beliau telah menerima pelbagai jenis sumbangan berbentuk kasut baru dan lama, pakaian, wang dan juga mesej yang memberikan sokongan moral. Lantaran itu, beliau telah memulakan satu pergerakan iaitu "Shoes for Dignity" untuk membantu orang lain yang menghadapi nasib serupa.
Menurut Prof. Ibarra, sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada ahli akademik lain untuk membeli makanan kerana ramai antara mereka yang hilang berat badan dan pengsan akibat tidak cukup makan. Beliau sendiri telah mengalami penurunan berat badan sehingga 15kg.
Pihak IMF telah membuat perbandingan situasi yang melanda Venezuela dengan krisis ekonomi di Jerman pada tahun 1923 dan juga Zimbabwe pada tahun 2000. Mereka berpendapat ekonomi Venezuela akan merudum sebanyak 18% pada tahun ini dan 5% pada tahun 2019.
Kemiskinan di negara itu telah memberi kesan besar kepada 87% daripada jumlah penduduk pada tahun 2017.
Walaupun ramai rakyat - termasuk profesor universiti - telah berpindah ke luar negara untuk memulakan kehidupan baru yang lebih baik, Prof. Ibarra memilih untuk tinggal di situ kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk negara kesayangannya itu.
Sumber: