Kemajuan dalam bidang perubatan banyak dipengaruhi oleh penemuan-penemuan baru dan kemajuan dalam bidang teknologi. Secara tidak langsung, kemajuan dalam bidang perubatan ini banyak memberikan manfaat kepada manusia secara global antaranya mengurangkan risiko dan mempercepatkan proses rawatan.
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 penemuan atau ciptaan penting dalam bidang perubatan dalam abad ke 21. Kami percaya, pada masa hadapan kita akan dapat melihat banyak penemuan dan ciptaan menarik yang langsung tidak masuk akal.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Penciptaan anggota badan bionik
Seseorang individu yang kehilangan anggota badan seperti tangan dan kaki boleh mendapat "peluang kedua" untuk hidup hampir seperti manusia lain dengan penggunaan anggota badan palsu atau dalam terma perubatan disebut sebagai prostetik.
Namun dengan kemajuan teknologi, anggota badan prostetik ini boleh berfungsi dengan lebih baik, contohnya mengawal pergerakan tangan prostetik dengan menggunakan minda. Dengan meletakkan elektrod pada pelbagai bahagian tengkorak, seseorang dapat memanipulasi prostetik bioniknya dengan berfikir.
Walaupun teknologi ini masih memerlukan lebih banyak kajian mendalam, terdapat bukti ianya berfungsi untuk membantu sebilangan pesakit membuka dan menutup tangan bionik untuk mengambil dan memanipulasi objek dengan mengawalnya melalui minda mereka.
2. Kemajuan dalam bidang kejuruteraan genetik
Filem fiksyen sains sering menggambarkan bahawa kejuruteraan genetik sering disalahguna dalam menghasilkan penciptaan raksasa. Pada hakikatnya, ia menawarkan kaedah untuk memperbaiki kecacatan dan mutasi kongenital yang mengakibatkan penyakit.
Proses yang paling terkenal untuk mencapai ini adalah CRIPSPR atau "clustered regularly interspaced short palindromic repeats". Penggunaan modifikasi genom CRISPR masih kontroversial, tetapi terbukti berkesan dalam pelbagai aplikasi perubatan.
Penyelidikan bioperubatan menunjukkan bahawa CRISPR dapat merawat barah, progeria, penyakit sel sabit, hemofilia, penyakit Huntington, dan banyak lagi penyakit yang disebabkan oleh gen seseorang. Penyelidikan lebih lanjut kemungkinan akan menghasilkan banyak penemuan dalam merawat pelbagai penyakit, patogen, dan banyak lagi.
3. Hampir dapat merungkai genom manusia
Pada tahun 1990, sebuah projek penyelidikan saintifik antarabangsa memulakan tugas sukar untuk merungkai rahsia yang terdapat pada genom manusia. Ideanya adalah untuk menentukan pasangan asas yang membentuk DNA manusia.
Penemuan ini kemudian akan dipetakan untuk lebih memahami genom manusia yang akan membantu dalam penyelidikan dan rawatan perubatan. Pada tahun 2000, kumpulan "Human Genome Project" telah mengumumkan draf kasar genom manusia. Ini adalah pertama kalinya dalam sejarah bahawa manusia dapat membaca satu set lengkap maklumat genetik manusia.
Kemajuan dalam genomik manusia telah membantu penyelidikan dan rawatan barah dengan penciptaan ubat yang disasarkan kepada sel-sel tertentu. Selain itu, kita sekarang sudah mengetahui asas genetik bagi hampir 5000 keadaan, peningkatan yang ketara berbanding hanya 60 yang kita fahami sebelum kajian mendalam terhadap genom manusia dilakukan.
4. Rawatan lebih baik untuk penyakit AIDS
Selama bertahun-tahun lamanya, HIV adalah virus yang tidak dapat dikalahkan. Apabila menjangkiti seseorang, pesakit itu kemudiannya akan menyebabkan individu tersebut menghidap penyakit AIDS yang akhirnya akan meragut nyawa pesakit.
Terdapat ubat antivirus yang dapat diambil oleh pesakit tetapi jumlahnya banyak dan masing-masing mempunyai kesan sampingan. Ini menyukarkan pesakit untuk konsisten mengambil ubat tersebut mengikut jadual dan akhirnya menyebabkan virus itu menang. Perkara ini mula berubah pada tahun 2006 dengan penghasilan ubat diberi namal Atripla.
Pada tahun 2017 dan 2019, dua ubat baru Juluce dan Dovato dikeluarkan, secara drastik meningkatkan pilihan rawatan untuk pesakit. Kedua ubat ini memungkinkan setiap pesakit dengan HIV berubat secara berkesan dengan hanya satu dos ubat, membantu mengurangkan jumlah pesakit HIV yang menghidap AIDS sambil mengurangkan kos perawatan kesihatan secara drastik.
5. Rawatan lebih baik untuk pesakit masalah jantung
Sebelum abad ini, bantuan rawatan yang diberikan doktor sangat sedikit sekali untuk pesakit yang mengalami serangan jantung. Rawatan biasanya terdiri daripada memberikan morfin dan lidokain, yang dipercayai dapat mencegah degupan jantung yang tidak teratur.
Sebilangan besar pesakit dahulu tidak pulih, tetapi pada hari ini, kematian akibat penyakit jantung telah menurun sebanyak 40%. Sebilangan besar kejayaan ini disebabkan oleh penciptaan ubat-ubatan baru termasuk Lipitor, Mevacor, Crestor dan Simvastatin yang semuanya berfungsi untuk melambatkan perkembangan aterosklerosis (penumpukan plak dan bahan berlemak di arteri).
Pesakit serangan jantung kini dirawat dengan sangat berbeza daripada yang sebelumnya. Hari ini, semuanya berkaitan dengan kepantasan. Sebaik sahaja pesakit tiba di hospital, darah beku dapat dibuang dengan ubat-ubatan. Pengaktif plasminogen tisu yang direkayasa secara genetik (tPA) dapat memecahkan gumpalan darah seterusnya memulihkan aliran darah.
6. Terapi kanser yang bersasar
Selama bertahun-tahun lamanya, kaedah utama untuk merawat pesakit barah adalah melalui terapi kemoterapi dan radiasi. Walaupun kaedah ini sering berfungsi, rawatan ini akan menyerang sel-sel barah dan juga sel-sel yang sihat. Selama sedekad yang lalu, teknik baru telah dikembangkan yang memungkinkan untuk merawat barah dengan lebih berkesan.
Terapi baru yang disasarkan berupaya menghilangkan banyak kesan sampingan berbahaya dari terapi kemoterapi dan radiasi dengan hanya menyerang sel barah tanpa membahayakan sel yang sihat. Terapi yang disasarkan ini berfungsi dalam beberapa cara, tetapi sebahagian besarnya mereka melakukan perkara berikut:
- Mereka mengenal pasti dan membunuh sel barah secara langsung
- Mereka mengganggu penyebaran sel barah, menyekat sel yang bertanggungjawab untuk pertumbuhan tumor
7. Penyelidikan & aplikasi sel stem semakin melonjak
Penggunaan sel stem dalam penyelidikan bukanlah sesuatu yang baru kerana teknologi untuk memperolehnya dari embrio sudah dibangunkan pada awal 1980-an. Sejak itu, teknologi telah berkembang dengan pesat membolehkan lebih banyak aplikasi penyelidikan dan rawatan perubatan menggunakan sel stem dilakukan pada abad ke-21.
Rawatan menggunakan sel stem terbukti boleh merawat penyakit dan mengubat masalah yang berpunca daripada keadaan genetik. Dalam satu kajian, sel sumsum tulang yang dimanipulasi ditransplantasikan kepada 2 kanak-kanka lelaki berusia tujuh tahun.
Rawatan ini berjaya menghentikan perkembangan penyakit otak maut yang disebut "adrenoleukodystrophy" terhadap kana-kanak tersebut. Penyelidikan ke atas aplikasi lain juga menunjukkan potensi besar, menunjukkan terapi sel stem adalah mempunyai potensi besar dalam bidang perubatan pada masa depan.
Kredit: