Sehingga artikel ini ditulis, hampir 2.5 juta orang di seluruh dunia telah menghembuskan nyawa yang terakhir disebabkan oleh jangkitan Covid-19.

Angka itu bagaimanapun tidak menceritakan sepenuhnya tentang susah payah petugas perubatan dalam melawan pandemik yang masih melanda kita, setakat ini belum nampak tanda noktahnya.

Keperluan pasukan perubatan dalam memberikan keutamaan kepada mangsa serangan virus corona, mengakibatkan ada beberapa kumpulan lain perlu dikorbankan dalam memastikan jangkitan dapat diurus dengan lebih baik. Berikut adalah lima kaedah kejam yang terpaksa dipilih.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Perlu mengabaikan rawatan kepada warga tua

warga tua terpaksa dipinggirkan

Di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Belgium dan Sepanyol telah dilaporkan berlaku situasi di mana kluster-kluster kes melibatkan pusat jagaan orang-orang tua tidak diberikan rawatan yang sepatutnya.

Petugas perubatan didakwa enggan membawa pesakit-pesakit warga emas ini ke hospital, sebaliknya hanya mula memberikan rawatan tahap minima seperti suntikan morfin untuk melegakan kesakitan.

Ada juga kes di mana waris kepada pesakit sudah diberitahu lebih awal bahawa ibu atau bapa mereka terpaksa dibiarkan meninggal dunia berdasarkan kondisi, dikekalkan di bawah pusat jagaan; disebabkan oleh keutamaan yang perlu diberikan kepada kapasiti katil hospital, bagi diisi pesakit yang tahap kemungkinan sembuhnya lebih tinggi.

2. Pesakit terpaksa dibiarkan berseorangan semasa di hospital

pesakit covid berseorangan

Majoriti hospital mengguna pakai SOP ketat untuk setiap petugas perubatan yang bertugas merawat pesakit Covid-19.

Pemakaian pakaian pelindung diri dan topeng muka mengambil masa yang panjang untuk dikenakan, dengan keperluan untuk menyalin pakaian perlindungan setiap kali menemui pesakit yang berbeza dikenakan bagi mengelakkan jangkitan antara pesakit berlaku.

Ini mengakibatkan majoriti petugas perubatan terpaksa melakukan rawatan dalam bentuk yang ringkas serta sangat minima kadar interaksi, mengakibatkan ramai pesakit dibiarkan saja bersendirian sepanjang masa bagi melindungi diri mereka sendiri; terasing daripada petugas dan ahli keluarga.

3. Memutuskan siapa yang patut disembuhkan

pesakit covid 19 diusung petugas

Bagi negara-negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 sehinggakan ketiadaan fasiliti yang mencukupi, ada negara yang mengamalkan dasar untuk membenarkan pihak hospital memilih kes-kes pesakit mana yang diramal masih dapat diselamatkan.

Untuk kumpulan pesakit yang tidak bernasib baik kebiasaannya warga tua atau individu yang sudah pun mempunyai sakit kritikal, pihak hospital dikatakan akan mula meminimakan rawatan yang diberikan kepada mereka agar fokus dapat dialihkan kepada pesakit lain.

Dalam beberapa kes lebih menyayat hati, ada pesakit yang ditarik balik sistem sokongan hidup mereka agar dapat digunakan pesakit lain yang kemungkinan untuk sembuh lebih tinggi.

4. Pesakit penyakit lain tidak diberikan rawatan

dying alone covid mati sendirian

Fokus lebih yang ditagih daripada petugas perubatan dalam merawat pesakit Covid-19, memerlukan petugas-petugas yang ada mengalihkan perhatian mereka daripada tugas hakiki mereka - khasnya bagi negara yang terjejas teruk.

Beberapa negara melaporkan wujudnya dasar untuk mereka memberikan fokus penuh kepada pesakit Covid-19 di hospital, sehinggakan berlakunya kematian melibatkan kes bukan Covid-19 akibat keengganan hospital menerima kes-kes itu.

Di India misalnya, berlaku kes seorang wanita pesakit buah pinggang meninggal dunia selepas hospital enggan menerima kes itu. Dalam beberapa kes di Amerika Syarikat pula, pembedahan perpindahan organ yang sepatutnya sudah dijadualkan terpaksa ditangguhkan.

Di United Kingdom sendiri, pesakit-pesakit kanser dilaporkan berdepan kesukaran mendapatkan rawatan bagi merawat penyakit mereka ekoran fokus khas diberikan kepada pesakit Covid-19.

5. Tidak dapat merawat individu OKU 

do not resuscitate order uk

Untuk beberapa bulan kebelakangan ini, disebabkan oleh kadar jangkitan yang kembali meningkat beberapa pusat perubatan di United Kingdom didedahkan sudah mula mengeluarkan arahan agar petugas perubatan menyaring pesakit Covid-19 yang ada, bergantung kepada potensi tahap kesembuhan mereka.

Bagi sesetengah pesakit yang kronik serta berstatus kurang upaya mental, mereka diletakkan dalam kategori pesakit yang tidak akan cuba dibantu seandainya hilang kesedaran diri tanpa mereka sedar keputusan ini dibuat untuk mereka.

Pendedahan bulan Jun tahun 2020 melibatkan arahan hospital untuk tidak menyelamatkan pesakit Covid-19 kurang upaya mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana arahan yang dikeluarkan jelas melanggar etika dan kod perubatan yang mewajibkan pesakit atau waris pesakit dimaklumkan lebih awal tentang sebarang keputusan yang akan dibuat pihak hospital berkenaan status penarikan balik rawatan, sekali dengan status pesakit ketika itu serta implikasi kepada mereka.

Lebih menyedihkan, laporan terbaru merekodkan arahan tersebut masih diamalkan, walaupun berdepan kritikan serta cemuman orang ramai - terus kekal menjadi salah satu kaedah yang diguna pakai di UK dalam menangani beban pihak perubatan yang semakin kritikal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)