Dunia perubatan menyaksikan banyak kejayaan dicapai, membantu memperbaiki kualiti hidup dan jangka hayat manusia.

Penambahbaikan ini banyak didorong kepesatan teknologi serta penerimaan pakar perubatan, dalam menjalankan operasi yang diakui terbukti berkesan dan diterima baik majoriti masyarakat dunia.

Namun demikian di kalangan pihak perubatan sendiri, wujud beberapa teknik perubatan yang bukan saja dikritik, malah disangkal kerana dianggap melawan hukum kejadian manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima teknik perubatan kontroversi, yang membahagikan penerimaan pakar perubatan sedunia kepada pelbagai perspektif berbeza.

1. Keperluan gugurkan janin bayi perempuan ikut budaya

india matikan janin bayi perempuan

Percayakah anda, amalan ini masih diamalkan sehingga ke hari ini?

Semuanya disebabkan masih wujud tanggapan di kalangan sesetengah masyarakat dunia, bahawa menerima cahaya mata lelaki adalah rahmat sementara menimang anak perempuan dianggap bakal membawa kesusahan.

Masyarakat seperti China dan India masih menitik beratkan keperluan untuk sesebuah keluarga memiliki anak lelaki, yang bakal bertindak sebagai pewaris keluarga. Pegangan ini mengakibatkan berlakunya amalan ibu bapa memilih untuk 'mematikan' benih bayi perempuan, bila diketahui jantinanya seawal mungkin.

Di India berdasarkan kajian selama 19 tahun daripada 2000 hingga 2019, penyelidik menganggarkan lebih 9 juta janin bayi perempuan dibunuh, majoritinya melibatkan pasangan ibu bapa beragama Hindu.

Apa yang sedih semuanya berpunca daripada keberkesanan sistem pengimbas bunyi ultra, yang mampu menentukan jantina janin ketika fasa awal kelahiran lagi.

Walaupun India mempunyai undang-undang yang mengharamkan ibu menggugurkan anak disebabkan faktor jantina sejak 1971, malangnya India juga membenarkan wanita yang mengandung menggugurkan anak mereka sebelum usia janin mencecah 24 minggu atas faktor tertentu seperti kesihatan atau anak tak sah taraf. 

Kelonggaran ini membolehkan pakar perubatan di India secara tidak sah membantu wanita di sana menggugurkan kandungan sebaik sahaja diketahui jantinanya, menggunakan pil yang diambil dengan pemantauan pakar perubatan.

Tekanan untuk mendapatkan bayi lelaki serta keengganan keluarga menerima bayi perempuan, telah menyebabkan jumlah kelahiran bayi perempuan menurun teruk dan India bakal berdepan masalah kekurangan kaum wanita di masa hadapan. 

2. Kelahiran Lulu dan Nana

lulu dan nana bayi ubah genetik china

Satu kontroversi yang melanda dunia perubatan dalam tahun 2019, adalah kelahiran dua orang bayi yang diberi nama Lulu dan Nana di China.

Apa yang menarik tentang dua bayi ini, kod genetik mereka telah diubah selepas benih kedua-duanya bersenyawa memberikan mereka perlindungan kepada virus HIV - kerana ayah mereka dikatakan pembawa virus tersebut.

Walaupun tujuan pakar di China bernama He Jiankui mahu membolehkan pasangan yang positif HIV menerima cahaya mata, tindakan beliau mengakses dan mengubah benih bayi itu dikritik banyak pihak.

Penyelidikan yang dijalankan secara sulit melalui persenyawaan luar rahim melibatkan 6 pasangan positif HIV itu terbongkar, memaksa Jiankui mendedahkan hasil kejayaan penyelidikannya kepada umum.

Melalui siaran video, Jiankui memperjelaskan dia berjaya mengubah genetik satu pasangan bayi kembar 'kalis HIV' bernama Lulu dan Nana, lahir dalam bulan Oktober tahun 2018, serta dua orang lagi bayi yang lahir pada tahun 2019.

Tindakan Jiankui itu bagaimanapun jelas melanggar kod etika bidang perubatan dan penyelidikan, mengakibatkan kejayaan beliau mula disanggah dengan kritikan.

Atas perbuatan itu, Jiankui dipecat daripada jawatannya sebagai penyelidik, dipenjarakan selama 3 tahun, didenda kira-kira RM1.6 juta serta tidak lagi dibenarkan menyertai mana-mana kajian berkenaan genetik seumur hidup.

3. 'Kod Perlahan' atau 'Slow Code'

slow code kod perlahan

Dalam situasi di mana pesakit dianggap sudah tiada harapan diselamatkan khususnya berkait keadaan jantung, pakar perubatan terlibat boleh mengkategorikan pesakit sebegini dalam kategori yang dilabelkan sebagai 'kod perlahan' atau 'slow code.'

Terma ini khusus diguna secara sulit bagi pesakit yang memerlukan sokongan hayat jantung atau advanced cardiac life support (ACLS) di mana dikhuatiri sebarang usaha memberi renjatan kepada jantung dengan teknik CPR hanya akan memburukkan keadaan pesakit.

Untuk mengelakkan pihak perubatan didakwa tidak cuba apa yang terbaik demi pesakit, pihak petugas terlibat akan sengaja melambatkan sebarang usaha ketika kecemasan dan ada juga yang terpaksa berpura-pura berlakon cuba menyelamatkan pesakit melalui prosedur olok-olok.

Tujuannya daripada perspektif pihak petugas, mereka sudah sedar risiko kepada pesakit lebih tinggi jika cuba diselamatkan. Namun pihak waris tetap mahu melihat petugas kesihatan mencuba yang terbaik, bagi memastikan hayat pesakit terpelihara.

Kerana itulah ada dalam sesetengah kes unik, petugas perubatan akan mengkategorikan pesakit di bawah 'kod perlahan.'

Pandangan pakar perubatan sedunia dalam isu ini nyata tidak sama. Ada yang menyifatkan tindakan sengaja melengahkan rawatan ke atas pesakit yang sudah tiada harapan, dianggap tidak beretika.

Ada juga pihak melihat tindakan sebegitu, sebenarnya lebih bersifat perikemanusiaan kerana enggan menyeksa pesakit serta tetap berusaha menjaga hati waris walaupun realitinya mereka sekadar berpura-pura.

4. Arahan LR atau DNR Order

arahan larangan resusitasi do not resuscitate

Jika 'slow code' diaplikasikan bagi melindungi kedudukan petugas perubatan daripada sebarang tindakan saman, arahan DNR atau 'do not resuscitate order' adalah pilihan yang boleh ditentukan sendiri pesakit.

Kita di Malaysia menggelarkan situasi ini sebagai Larangan Resusitasi (LR).

Tujuan arahan ini adalah untuk menghindarkan sebarang usaha pemulihan berbentuk CPR dijalankan kepada pesakit ketika jantungnya sudah terhenti membolehkan pesakit meninggal dunia, atas persetujuan pesakit sendiri. Majoriti negara membenarkan LR dilakuka, atas bermacam sebab.

Ada pesakit yang mahu LR kerana sudah tak tahan merana, bimbang akan berlaku kecederaan lain semasa proses mengepam jantung dijalankan. Ada yang gusar kos perubatan yang perlu ditanggung pihak keluarga semakin menaik dan semua usaha hanya membawa kepada penamat yang sama.

Ada juga negara membenarkan LR dikeluarkan atas saranan pihak perubatan sendiri, bergantung kepada situasi yang dirasakan sesuai. 

Situasi LR ini membuka perbincangan besar kerana melibatkan bermacam aspek. Ini kerana ada pihak melihat keizinan untuk menandatangani LR ibarat sengaja memilih untuk mati, tanpa ada usaha atau ikhtiar melawannya.

Mereka yang positif melihat LR yang dipersetujui pesakit ibarat pesakit sendiri mengaplikasikan hak mereka untuk menentukan usia nyawa mereka tanpa campur tangan pihak lain.

Dalam aspek agama Islam, ada fatwa membenarkan keputusan ini dibuat - asalkan keputusan yang dibuat, diambil berdasarkan kepada pandangan mereka yang arif yakni pakar perubatan, tentang situasi sebenar seorang pesakit.

Anda bagaimana? Apa pandangan anda sekiranya salah seorang ahli keluarga anda yang uzur bersetuju untuk memberikan kebenaran LR ketika di hospital? 

5. Adik-beradik penyelamat

adik beradik penyelamat savior sibling

Kami yakin tak ramai sedar kewujudan teknik perubatan kontroversi yang dikenali sebagai 'savior baby' atau 'savior sibling' ini, diterjemahkan 'adik-beradik penyelamat' benar-benar diamalkan di seluruh dunia? 

Prosedur yang sangat kontroversi ini memerlukan usaha pakar perubatan mewujudkan seorang bayi lain dalam lingkungan adik-beradik yang sama, dengan tujuan pengambilan organ bayi tersebut bagi menyelamatkan kakak atau abangnya yang mempunyai masalah penyakit. 

Banyak kes sebegini sudah berjaya dijalankan prosedurnya.

Kisah seorang bayi perempuan di India bernama Kavya Solanki yang dilahirkan melalui persenyawaan luar rahim untuk menyelamatkan abangnya Adam, seorang penghidap talassemia yang memerlukan tulang rawan baru adalah antara kes terbaru yang dilaporkan.

Begitulah juga dengan nasib Megan Matthews, seorang kanak-kanak dari UK yang menerima organ adiknya Max, selepas Max dilahirkan secara persenyawaan dalam tabung uji di luar rahim serta menjadi janin yang melepasi proses saringan kelayakan pakar perubatan.

Apa yang menimbulkan kontroversi berkenaan teknik ini adalah prosesnya.

Dalam kes Kavya sebagai contoh, dia adalah 1 daripada 18 janin yang disenyawakan dan didapati sesuai untuk pemindahan organ kepada abangnya selepas itu. Jadi janinnya diselamatkan, sebelum dimasukkan ke dalam rahim ibunya bagi membolehkan kandungan itu membesar secara normal.

17 lagi janin yang disenyawakan tetapi didapati tidak sesuai, anda rasa apa berlaku kepada janin-janin tersebut? Kami pun tak tahu dan kalau boleh kami tak nak tahu.

Selain faktor tersebut, keperluan untuk melakukan pemindahan organ juga perlu dilakukan ketika seorang bayi penyelamat seperti Kavya atau Max masih kecil.

Apabila mereka sudah mencapai berat minima yang dirasakan cukup, bayi-bayi ini akan dibedah untuk dikeluarkan organ mereka bagi membantu menyelamatkan adik-beradik mereka yang lebih tua.

Menakutkan bukan bagaimana sains mampu membantu memperbaiki banyak perkara, tetapi dalam masa yang sama tetap membuatkan kita gementar dengan kemampuan yang kita ada?

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)