Filem 'Parasite' atau 'Gisaengchung' yang diarahkan pengarah terkenal Korea Selatan, Bong Joon-ho (filem Snowpiercer) menjadi filem terbaik bagi anugerah Academy kali ke 92, mencatat sejarah menjadi filem luar pertama memenangi anugerah berprestij tersebut.
Memaparkan realiti perbezaan status taraf hidup kelompok yang hidup di Korea Selatan dalam paparan yang bernada komedi, 'Parasite' membawakan budaya hidup warga Korea Selatan ke layar perak dengan berjaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Wujud banyak elemen budaya yang dipersembahkan dalam filem itu unik hanya di Korea Selatan, tidak wujud di negara-negara lain. Berikut adalah 7 budaya baik (dan buruk) yang dipaparkan dalam filem tersebut untuk membuatkan kita lebih mengenali negara popular itu.
1. Perlindungan untuk persiapan perang di kediaman
Dalam salah kejutan yang hanya didedahkan pada pertengahan filem, penonton filem Parasite diberitahu berkenaan kewujudan sebuah bilik bawah tanah rahsia yang dibangunkan sejak awal pembinaan rumah lagi.
Realitinya, agi golongan hartawan di Korea Selatan khasnya di ibu negara mereka iaitu Seoul - pembinaan bilik bawah tanah merupakan satu perkara wajib disebabkan stigma mereka terhadap jiran terdekat mereka iaitu Korea Utara.
Sekiranya berlaku peperangan negara tersebut - satu-satunya jalan yang selamat adalah dengan mendapatkan perlindungan di bahagian bawah tanah rumah mereka dan amalan ini kekal menjadi satu tradisi wajib ada bagi golongan berkemampuan di sana.
2. Apartment semi-bawah tanah
Keluarga Kim yang menjadi watak utama filem 'Parasite' dipaparkan tinggal dalam sebuah unit apartment yang kedudukannya terletak separa bawah tanah.
Rekaan sebegitu agak unik dan layak dikatakan hanya ditemui secara banyak di Korea Selatan; juga berpunca disebabkan oleh rasa bimbang kemungkinan berlakunya perang dengan Korea Utara.
Pada era sekarang, apartment semi-bawah tanah yang hanya mempunyai tingkap kecil bagi membolehkan cahaya masuk, didiami oleh golongan-golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Berikutan kedudukannya yang rendah, limpahan air semasa hujan akan mengalir masuk ke dalam rumah. Ini akan menyebabkan banjir kerap berlaku dalam unit-unit sebegini.
Selain itu, orang dari luar juga boleh melihat apa saja yang kita lakukan apabila kita berada dalam rumah tersebut menyebabkan penghuninya tidak ada ruangan yang benar-benar privasi.
3. Sistem jalinan kompleks bawah tanah
Dua sistem kediaman yang kami sebut di atas, sebenarnya merupakan antara komponen penting sistem perlindungan bawah tanah di Seoul.
Di Seoul sahaja, terdapat 17,501 pusat perlindungan dan 3,321 fasiliti binaan kerajaan yang akan dijadikan penempatan sementara penduduk Seoul sekiranya Korea Selatan diserang musuh mereka.
Kajian terbaru pada tahun 2017 menceritakan kesemua pusat perlindungan bawah tanah sama ada yang milikan persendirian mahupun yang disediakan oleh kerajaan sebagai pusat perlindungan awam, mampu menempatkan kesemua 10.2 juta penduduk Seoul dengan selamat bagi membolehkan mereka lari dari ancaman.
4. Restoran untuk pemandu profesional
Di Korea Selatan, wujud rangkaian restoran yang digelarkan 'gi-sa-sik-dang' atau 'restoran bagi pemandu,' di mana individu yang bekerja sebagai pemandu sama ada kereta persendirian atau teksi boleh menjamu selera pada harga yang sangat berpatutan.
Dibuka 24 jam sehari bagi membantu jadual kerja pemandu teksi, makanan di restoran pemandu dimasak dengan cepat sekiranya pesanan dibuat dalam bentuk ala-carte. Ada juga restoran yang menyediakan hidangan secara bufet.
Trend restoran ini pada mulanya khas untuk membantu golongan pemandu tetapi kini 'gi-sa-sik-dang' menjadi salah satu pilihan terbaik bagi seluruh keluarga menjamu selera dengan hidangan yang murah dan berpatutan.
5. Pemandu 'daeri unjeon'
Budaya meminum arak memang kuat dalam masyarakat Korea Selatan menyebabkan wujud keperluan untuk individu-individu yang mabuk dihantar pulang ke rumah dengan selamat.
Oleh kerana itu pada penghujung era 1990-an dahulu, ahli-ahli perniagaan kaya mula mengupah pemandu yang akan menunggu mereka minum dan menghantar kereta mereka pulang dengan selamat.
Perkhidmatan yang digelarkan sebagai 'daeri unjeon' di Korea Selatan atau 'pemandu pengganti,' berbeza dengan sistem e-hailing moden yang ada sekarang. Seorang pemandu 'daeri unjeon' tugasnya adalah memandu pulang kereta pihak yang mengupahnya selepas pesanan dilakukan agar kereta tersebut sampai ke rumah.
Sama ada pihak yang mengupahnya ada dalam kereta atau tidak semasa kereta dihantar, terpulang kepada pilihan pelanggan.
6. Daging hanwoo
Sekiranya Jepun popular dengan daging wagyu, Korea Selatan pula ada daging hanwoo.
Menjadi salah satu ramuan dalam hidangan yang dimasak dalam 'Parasite', daging hanwoo menjadi antara jenis daging paling mahal bukan setakat di negara asalnya bahkan di seluruh dunia.
Satu kilogram daging hanwoo berharga sekitar RM130 ke RM150, lebih mahal berbanding dengan daging wagyu Jepun daripada jenis potongan yang sama.
Dihasilkan daripada baka lembu yang kecil Korean Brown atau Korean Hanu berwarna coklat, daging hanwoo agak sukar didapati di pasaran antarabangsa. Ini disebabkan permintaan di kalangan penduduk tempatan terlalu tinggi menghalang kuantiti lebih besar untuk dieksport.
7. Budaya meludah
Dalam satu adegan filem Parasite, seorang watak digambarkan cukup suka meludah ke lantai bagi melambangkan kebenciannya kepada sekumpulan lelaki gatal yang gemar mengganggu wanita lain.
Budaya meludah ini adalah sesuatu yang dianggap normal di Korea Selatan walaupun ramai yang tidak gemar kesannya pada alam sekitar.
Dilakukan secara terbuka tak kira jantina dan usia, usaha bagi membendung tabiat ini telah dijalankan oleh pihak berkuasa Korea Selatan yang mewartakan tabiat meludah ditempat awam sebagai satu kesalahan.
Namun amaran dan tindakan saman seakan tidak menakutkan pelaku tabiat jijik ini, agaknya kerana meludah di merata-rata tempat dah jadi satu kebiasaan bagi ramai rakyat Korea Selatan.