Kiasu.
Perkataan ini kerap disebut dalam konotasi negatif. Mempunyai sifat kiasu dilihat sebagai satu perkara yang dibenci, namun bagi masyarakat Singapura, hendak tak hendak kiasu sudah jadi seperti satu identiti masyarakat mereka.
Kita orang Malaysia juga kerap kali menjadikan 'sifat kiasu' sebagai salah satu kritikan yang dihamburkan apabila melibatkan warga Singapura, tetapi sejauh mana pemahaman kita berkenaan 'kiasu' ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Apa itu kiasu?
'Kiasu' adalah perkataan yang diambil daripada bahasa Hokkien. Sekiranya dibahagikan kedua-dua bait suku kata itu - 'kia' membawa maksud 'takut' dan 'su' pula bermakna 'ketinggalan' atau 'terlepas sesuatu.'
Digabungkan kedua-duanya, 'kiasu' membawa maksud sifat seseorang yang takut dia tak dapat atau terlepas sesuatu. Dalam perspektif positif, sifat kiasu boleh dipandang sebagai seorang individu yang senantiasa berusaha mendapatkan apa yang dia mahukan.
Walau bagaimanapun, dalam sisi negatifnya yang jauh lebih popular - sifat kiasu lebih banyak merujuk kepada seseorang individu yang tamak sehingga sanggup berbuat apa saja untuk memastikan dia dapat apa yang dia mahu.
Menggunakan slanga 'kiasu-ism', ini bererti seseorang yang mempunyai sifat sangat takut akan kegagalan sehingga sanggup melakukan apa saja, tanpa mempedulikan pandangan dan perasaan orang lain.
Terdapat satu lagi perkataan yang mirip dengan 'kiasu' iaitu 'kiasi.' Walaupun bunyinya hampir serupa, kiasi membawa makna berbeza. 'Kia' tetap bermaksud takut sementara 'si' pula membawa makna 'kematian.' Jadi seseorang yang 'kiasi' adalah seseorang yang sangat takut akan kematian berlaku kepadanya, sehingga dia sanggup berbuat apa saja untuk membuatkan dia rasa selamat. Faham kan?
Kesan sifat kiasu pada negara Singapura
Perbincangan berkenaan baik buruk budaya kiasu pada masyarakat Singapura boleh dikatakan berlaku setiap masa, di kalangan mereka. Ini kerana setiap individu mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan kesan sifat kiasu pada pembentukan masyarakat mereka.
Sebahagian daripada yang memandang positif sifat ini menganggap budaya kiasu merupakan satu penggerak yang membolehkan Singapura dibangunkan dengan begitu pantas sehingga mampu menjadi satu-satunya negara maju di Asia Tenggara. Sifat kiasu mendorong warga Singapura untuk berani berebut peluang yang ada serta tidak malu untuk bersaing.
Namun, sifat kiasu ini juga membawa satu kesan psikologi yang sering diperkatakan - perasaan terlalu takut untuk menerima kegagalan atau melakukan sebarang kesalahan. Dalam memupuk budaya kiasu ini, ramai warga Singapura beranggapan melakukan satu kesilapan saja dianggap sebagai satu kesalahan yang sangat besar sehinggakan tidak ramai yang berani mencapah daripada kebiasaan, bila mereka sudah menemui jalan selamat untuk mereka.
Dalam dunia yang lebih mementingkan invovasi dan kreativiti, sifat kiasu dilihat akan menjadi batu penghalang besar pada Singapura untuk terus mengekalkan momentumnya - kerana warga Singapura sangat takut untuk melakukan sebarang kesalahan sehingga merencatkan karier mereka.
Bertanding secara tidak rasmi
Hakikatnya, walaupun sifat kiasu dikatakan mirip dengan masyarakat Singapura sehingga ada yang menyatakannya sebagai budaya negara itu - perangai tersebut sebenarnya turut sama dilakukan oleh semua orang di seluruh negara lain. Bagaimanapun, dalam kaji selidik yang dilakukan, warga Singapura sendiri mengakui sinonimnya mereka dengan budaya 'takut ketinggalan' ini.
Amalan-amalan kiasu yang boleh dilihat setiap hari di Singapura sebenarnya tetap dapat dilihat di negara-negara lain, tetapi mungkin di sana sangat ketara perlakuannya.
Dalam sudut positif, seorang yang kiasu berusaha mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk keluarga mereka. Anak-anak mereka perlu dihantar ke sekolah terbaik. Ramai warga Singapura sanggup membelanjakan ribuan dollar untuk mendidik anak setiap bulan. Pelajar di Singapura dididik sejak kecil untuk menjadi terbaik dengan penanda aras yang cukup tinggi diletakkan pada mereka sejak kecil lagi.
Namun, kesan daripada 'tekanan' ini, setiap individu yang tinggi tahap kiasunya lebih gemar memilih untuk 'bertanding' setiap masa. Ibu bapa yang mengetahui anak jirannya telah menyertai kelas bermain instrumen piano sebagai contoh, akan berusaha untuk 'mengalahkan' jirannya dengan mendaftar anak mereka belajar piano dan biola.
Punca sifat kiasu adalah pendidikan dan dasar kerajaan
Andai ditanya mengapa sifat kiasu ini sangat menular dalam masyarakat Singapura, banyak pihak bersetuju sifat ini sebenarnya datang daripada sistem pendidikan mereka yang terlalu kompetitif sejak mula lagi.
Masyarakat Singapura bersetuju budaya kiasu ini berpunca daripada pemimpin-pemimpin mereka terdahulu yang menerapkan nilai kiasu ini, kerana mereka pun mempunyai sifat sama. Oleh kerana itulah negara Singapura sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dalam semua bidang; lihat saja bagaimana nilai KDNK Singapura yang setanding negara maju dan usaha mereka menjadi yang terbaik dalam semua perkara.
Bagaimanapun dalam kajian yang dijalankan pada 2015 (pautan PDF), penyelidik Professor Cheng Chi-Ying daripada Singapore Management University mendapati kiasu memberikan impak kepada tahap kreativiti seseorang. Ini kerana apabila seseorang itu mengamalkan sifat kiasu, dia akan lebih cenderung untuk kekal dengan apa yang dia sudah biasa lakukan setiap hari.
Selain itu, gesaan daripada pemimpin Parlimen Singapura, Kuik Shiao-Yin supaya kerajaan Singapura memperkenalkan langkah-langkah agar sifat dan budaya kiasu dapat dikurangkan kesannya dalam masyarakat mereka, juga telah diutarakan pada tahun 2016. Beliau berpendapat mentaliti sebegitu menjadi penghalang kepada kemajuan berterusan Singapura, serta melahirkan apa yang beliau takrifkan sebagai 'grantrepreneurs' - individu peniaga yang meniaga untuk tender dan geran kerajaan.
Ada apa dengan kiasu?
Sekiranya disenaraikan tabiat-tabiat kiasu yang dapat dilihat setiap hari di Singapura, kebanyakannya tidaklah jauh bezanya dengan apa yang dapat dilihat di negara kita.
Budaya 'chup' tempat makan menjadi salah satu masalah 'kiasu-ness' paling ketara di sana selain daripada keengganan berkongsi meja makan, sekiranya meja lain telah penuh.
Sifat enggan memberikan tempat duduk dalam tren pada warga tua atau wanita mengandung juga kerap berlaku di Singapura, kerana masih ramai yang menganggap tempat duduk itu adalah hak mereka yang datang lebih awal. Remaja masih lagi duduk di kafe selama mana mungkin untuk mendapatkan rangkaian wi-fi percuma tanpa mempedulikan keperluan orang lain.
Pendidikan anak-anak sudah disebutkan serba sedikit di bahagian awal, tetapi tidak ramai yang tahu di Singapura ramai ibu bapa yang sanggup menyewa rumah di kawasan lain yang mempunyai sekolah terbaik, semata-mata untuk memastikan anak mereka dapat belajar di situ.
Ini kerana pemilihan sekolah bergantung kepada alamat pelajar itu menetap. Walaupun begitu, di Malaysia juga ada ibu bapa yang sanggup menipu alamat semata-mata untuk memastikan anak mereka dapat masuk ke sekolah kluster atau sekolah yang terkenal dengan pencapaian baik setiap tahun.
Melihat dan membaca sendiri apa yang dikatakan budaya kiasu Singapura, tak salah rasanya kalau dikatakan sifat-sifat itu turut sama dilakukan oleh warga Malaysia. Sekiranya warga Singapura kerap diketawakan apabila sanggup beratur panjang bagi mendapatkan barangan percuma, lihat diri kita balik dan persoalkan adakah kita pernah melakukan perkara serupa.
Adakah ada kiasu-ism dalam diri kita, rakyat Malaysia? Mesti ada. Semua orang ada. Sebagai individu, tak kelihatan begitu nyata. Bila dah jadi budaya seperti di Singapura, lainlah ceritanya.