Oleh pada 02 Jun 2023 kategori

Industri animasi di Malaysia pada ketika ini, sudah layak dikatakan mampu menyaingi produk luar negara sehinggakan kita boleh dianggap pendahulu industri rantau ini.

Ditunjangi beberapa judul supra-popular yang mendapat tayangan di serata dunia, kemampuan tenaga mahir kita dalam menghasilkan karya yang menarik dan diterima ramai sukar untuk dinafikan. Apa yang kita berjaya buat juga dijadikan acuan negara-negara jiran dalam membangunkan industri sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun apa yang dapat anda saksikan adalah hasilnya. Realitinya, proses pembikinan di belakang tabir animasi baik yang kurang ternama atau popular belaka berdepan banyak isu, kontroversi dan kekangan yang hanya diketahui individu dalamannya.

Berikut adalah 5 sebab kenapa kehebatan industri animasi Malaysia, sebenarnya boleh juga dikatakan indah khabar dari rupa.

1. Masalah gaji tenaga mahir masih ciput

industri animasi

Dalam banyak-banyak isu, isu gaji merupakan isu paling hangat yang mengekang perkembangan industri kita ke tahap lebih tinggi. Ini kerana tangga gaji pekerja mahir bidang animasi Malaysia sebenarnya masih serupa saja dengan 2 atau 3 dekad dahulu.

Masih ada beberapa syarikat animasi ternama di Malaysia menggajikan animator atau juruanimasi dengan gaji RM2,000 sebulan! Yang kurang ternama, anda rasa berapa agaknya gaji mereka?

Kita tahu syarikat animasi memang memerlukan kos yang tinggi untuk beroperasi, tetapi malangnya majoriti syarikat memilih untuk menurun atau merendahkan kos dengan menawarkan kadar gaji yang sebenarnya tidak lagi layak dianggap setimpal dengan keperluan kerja yang ditagih.

Malaysia boleh terus berbangga dengan animasi tahap dunia, tetapi jika pembikinnya kerap menjamah mee segera - penulis tak nampak apa kehebatannya.

2. Tidak ada laluan jelas dalam karier

kekangan industri animasi

Sesuatu yang sangat jelas berlaku dalam industri kreatif amnya bukan saja industri animasi, adalah berkenaan ketiadaan laluan karier yang baik dan konsisten untuk seseorang kekal dalam industri mampu terus kekal dalam industri sebagai pekerja.

Ini kerana industri kreatif seakan-akan lebih mengutamakan golongan muda, dengan kumpulan pekerja yang semakin berusia segelintir akan diserap ke dalam skop pengurusan dan majoritinya pula diminta beredar keluar dengan bermacam cara.

Keperluan industri kreatif di Malaysia boleh dikatakan kurang sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga, disebabkan oleh waktu kerja yang tidak menentu. Ada kalanya seseorang perlu berada di studio 16 jam sehari bagi menyiapkan tugasan.

Bidang kreatif ni, satu masalahnya adalah tukang komennya ramai. Minta tukar itu, minta tukar ini, seolah menukarnya mudah. Tu yang sampai 16 jam sehari kena kerja.

Kekangan sebegini menghalang seseorang yang dah berkeluarga membahagikan masa antara tugasan dengan waktu berkualiti di rumah, dengan efektif.

Bila situasi ini kekal, industri yang ada pun kerap menyaksikan penggantian tenaga kerja berpengalaman kepada tenaga kerja muda yang masih perlu dibimbing...menyebabkan kita kehilangan kemahiran yang telah dibentuk sekian lama.

3. Tenaga kerja mahir dikorban demi penjimatan kos

industri kreatif tenaga kerja

Selain kekangan skop kerja yang berat bagi individu berkeluarga, kos gaji juga kembali menjadi isu yang membelenggu golongan pekerja lebih berusia.

Tidak banyak syarikat animasi di Malaysia mampu menawarkan kadar gaji yang benar-benar seiring dengan perkembangan pengalaman dan kemahiran seseorang, dari mula dia bekerja pada usia 23 tahun sebagai contoh - sehingga menghampiri usia pencen.

Ada siling gaji yang sangat ketara pada tangga gaji pekerja mahir industri animasi Malaysia, yang biasanya mula tidak seiring bila mereka berumur 30-an. Tidak ada pekerja yang mahu menyaksikan gajinya kekal pada satu takuk, tidak naik secara tahunan.

Apa yang biasanya berlaku, syarikat akan mula melepaskan pekerja ketika tangga gaji mereka mencecah RM3,500 ke RM4,500 bagi 'memberi laluan' kepada pekerja lebih muda.

Peruntukan gaji yang sudah dikosongkan itu pula mampu menggaji dua orang pekerja 'fresh grad' yang boleh dikerah untuk memenuhi pelbagai skop kerja berbanding seorang pekerja lebih tua yang sudah dianggap pakar dalam bidangnya.

Anda mungkin menganggap situasi ini adalah amalan biasa, tetapi ingin kami tegaskan di sini untuk pekerja berusia yang sudah mahir ini - mereka biasanya akan terjun ke dalam bidang-bidang berbeza, menyebabkan pengalaman yang telah mereka ada tidak lagi dipraktikkan ke dalam bidang yang seiring kepakaran mereka.

4. Animasi adalah satu risiko besar

kiraan bajet animasi

Perlu kami tegaskan, syarikat animasi memang memerlukan kos yang tinggi. Ini kerana proses menghasilkan animasi memerlukan kos yang besar dan kos ini perlu dikeluarkan terlebih dahulu pemilik syarikat secara berisiko.

Ini kerana ada 50-50 kemungkinan animasi yang sudah dihasilkan (biasanya dalam bentuk pilot atau satu episod pertama) tidak diterima oleh penyiar atau pembeli.

Anda kenal judul-judul animasi yang dah berjaya dijual, tetapi ada beratus, mungkin ribuan lagi yang telah terhasil tetapi tidak ada pembelinya. Situasi ini berlaku kerana begitulah cara industri kita bekerja.

Bagi syarikat yang belum ada nama, hendak tak hendak prototaip karya mereka perlu disiapkan terlebih dahulu memerlukan penggajian ramai tenaga kerja dalam bidang animasi, audio, video, suntingan dan sebagainya. Kosnya mungkin boleh menelan belasan atau puluhan ribu tanpa ada jaminan pelaburan itu dikembalikan.

Untuk syarikat terkenal, prosesnya sudah menjadi mudah disebabkan reputasi dan kredbiliti yang ada. Apa yang perlu dibuat adalah sesi pitching idea kepada bakal pembeli, tanpa perlu memenuhi kriteria lebih ketat.

5. Tak banyak syarikat mampu menawarkan faedah yang komprehensif

manfaat tiada pada penggiat industri

Sebut tentang manfaat menyertai sesebuah syarikat, biasanya yang akan kedengaran adalah manfaat klinik, perubatan, cuti rehat, insurans, elaun perjalanan dan parkir, waktu kerja fleksibel dan sebagainya.

Ada tak syarikat animasi di Malaysia yang menawarkan manfaat yang benar-benar boleh dianggap komprehensif dalam menjaga kebajikan tenaga kerja? Jika ada, beritahu kami ya.

Sudahlah majoriti syarikat tidak mampu menawarkan manfaat yang menyeluruh, pekerja juga diletakkan dalam situasi waktu kerja tidak fleksibel seperti yang sudah kami sebutkan di atas, cuti yang boleh ditarik bila-bila dan ada kalanya caruman KWSP pihak majikan tidak dibayar....kerana pekerja dah setuju sejak mula.

Jika anda bandingkan status seorang pekerja industri animasi Malaysia dengan buruh kasar, ada ketikanya kedudukan kedua-dua kategori tidak jauh bezanya.

6. Kita hargai karya tetapi kita tak nak membayarnya

jualan cetak rompak berleluasa

Hentam majikan studio animasi di Malaysia memang best. Yang tukang tontonnya pun, ada perangai mereka juga.

Kalau kita tanya apa animasi terbaik Malaysia yang ada, mesti tiap-tiap orang dah ada jawapannya yang berbeza-berbeza. Kita sebagai masyarakat cakna tentang hebatnya animasi kita, tetapi sayangnya penghargaan kita ada ketikanya tidak disalur ke dalam cara sepatutnya.

Tidak dapat dinafikan kutipan tiket filem animasi tempatan hebat-hebat, tetapi kita sendiri turut dapat menyaksikan bagaimana mudahnya karya-karya animasi kita dijaja secara cetak rompak.

Sama ada melalui saluran strim video internet atau jualan memori USB yang mengandungi ribuan episod dan filem karya anak tempatan kita, masih ramai di antara kita tidak melihat ada keperluan untuk kita membayar penat lelah pengkarya Malaysia. Ramai nak tonton, tetapi nak yang free saja.

Dah la tonton free, ramai yang siap download secara haram pula!

Macam manalah studio nak konsisten gajikan pekerja lebih berusia, tambah bilangan tenaga kerja supaya mereka tak perlu kerja lebih masa dan kurangkan risiko pelaburan mereka - kalau kita tak benar-benar hargainya.

Tapi yang kita takut juga kalau sokong berhabis-habisan sampai keuntungan studio naik berlipat ganda, gaji juruanimasi di Malaysia tetap tak naik, dikekalkan pada takuk sama oleh majikan yang melihat gaji ciput harus dijadikan standard utama industri tangga gaji animator Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)