Trend masyarakat tua, melibatkan peningkatan jumlah individu yang berusia lebih 65 tahun semakin menampakkan kesannya di seluruh dunia, termasuklah juga negara kita.
Individu-individu yang lahir semasa zaman yang digelarkan sebagai 'baby boomers' di antara tahun 1946 hingga 1964, kini sedang melalui penuaan yang berada di fasa penghujung. Berikutan peningkatan konsisten jumlah individu lebih 65 tahun di negara kita sejak tahun 1970, dianggarkan pada tahun 2040 seramai 6 juta orang individu Malaysia akan tergolong dalam kumpulan usia atas 65 tahun.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini bermakna dalam tempoh 70 tahun, angka ini akan meningkat 3 kali ganda daripada 2 juta orang yang direkodkan pada tahun 1970.
Statistik sebenar masyarakat tua negara kita
Pada 1970, peratusan individu tua yang berusia lebih 65 tahun berada pada kadar 6.6% daripada jumlah keseluruhan populasi, dengan 44.5% lagi adalah individu berumur bawah 14 tahun.
Ketika ini berdasarkan kaji selidik tahun 2017, berlaku kenaikan ketara dalam peratusan golongan tua mencecah 6.2% dengan penurunan drastik golongan berusia bawah 14 tahun kepada 24.1%. Ramalan penyelidik menjangkakan peratusan di antara golongan tua dan golongan muda akan menjadi hampir setara dalam tempoh 20 tahun.
Dianggarkan pada 2040, individu berusia 65 tahun ke atas akan mewakili 14.5% keseluruhan populasi masyarakat kita dan golongan muda pula akan berada pada tahap 18.6%. Ramalan ini dibuat berdasarkan statistik yang telah diselidik dan wujud kenaikan serta penurunan yang konsisten, sekiranya tidak ada sebarang langkah dilakukan untuk mengubahnya.
Negeri paling tua di Malaysia
Negeri mana di dalam negara kita yang layak dikatakan tua? Untuk memahami statistik ini kita perlu mengetahui apakah syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu, sebelum label 'tua' layak diberikan pada sesebuah negeri.
Untuk layak dikategorikan sebagai negeri tua, sesebuah negeri itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya 14 peratus penduduk berusia lebih 65 tahun, berbanding jumlah keseluruhan populasi. Setakat ini tidak ada lagi mana-mana negeri dalam Malaysia layak dikatakan sudah jatuh menjadi negeri tua.
Bagaimanapun, negeri mana yang paling tua dalam negara kita? Menurut kajian, negeri paling tua di negara kita adalah negeri Perak yang mencatatkan 11.9% jumlah keseluruhan penduduk melebihi 65 tahun, diikuti oleh Perlis (11%), Pulau Pinang (10.2%) dan Melaka (9.7%). Jadi amat jelas di sini walaupun tidak ada lagi negeri yang layak dikatakan 'negeri tua', Perak, Perlis dan Pulau Pinang hampir mencecah had yang ditakrifkan.
Bagi statsitik anggaran negeri mana mempunyai jumlah warga tua paling ramai, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan angka melebihi 340 ribu orang, diikuti oleh Perak (280 ribu orang), Johor (270 ribu orang) dan Sarawak (210 ribu orang).
Isu masyarakat tua yang bakal menggigit kita semua
Anda pasti tertanya-tanya, kenapa isu ini mendapat perhatian ramai pihak yang masih cuba mencari jalan penyelesaiannya? Kita ambil contoh di Perak. Sebagai negeri paling tua dalam Malaysia, beban kewangan untuk menampung kos perubatan golongan berusia lebih 65 tahun meningkat secara mendadak.
Kos perbelanjaan perubatan di Perak dalam merawat warga tua telah meningkat hampir 3 kali ganda dalam tempoh 10 tahun, daripada RM1.4 juta pada tahun 2004 kepada RM3.9 juta pada tahun 2014. Majoriti peruntukan itu digunakan dalam membekalkan ubat mengawal hipertensi, penyakit jantung serta kencing manis.
Tiga penyakit itu saja menelan hampir 54.6% daripada jumlah keseluruhan peruntukan perbelanjaan warga tua di Perak sahaja. Kenaikan itu pula tidak mendadak kerana dibantu oleh subsidi kerajaan yang berjaya menurunkan kos perubatan.
Dari segi kewangan, 19% daripada golongan tua di negara kita langsung tidak mempunyai sebarang bentuk sumber pendapatan. Majoriti yang mempunyai pendapatan pula sebenarnya bergantung dengan wang yang disalurkan anak-anak (52.9%) semata-mata dengan purata RM386.29 diterima warga tua, setiap bulan.
Kesimpulan
Bagaimana hendak menangani isu ini yang pastinya akan timbul kelak?
Langkah seperti kewajipan tabungan dalam KWSP sedikit sebanyak membantu, tetapi tetap tidak mencukupi.
Sebaik-baiknya, pastikan anda menyiapkan diri anda untuk menghadapi hari tua anda. Simpan aset untuk dijadikan pelaburan, seperti rumah, tanah dan simpanan dalam bentuk dana. Wujudkan janaan pendapatan dalam bentuk pasif, di mana sejumlah wang dilaburkan untuk pendapatan semula dalam bentuk jangka masa panjang.
Pendidikan anak-anak adalah pelaburan paling berbaloi untuk anda bersedia di kemudian hari, kerana jelas majoriti warga tua ketika ini masih mengharapkan pemberian tunai daripada anak setiap bulan.
Jadi mulakan menyimpan, kerja dengan lebih gigih dalam mengumpul aset serta pastikan anak-anak anda berjaya dalam pelajaran mereka.
Rujukan
Population Ageing in Malaysia (PDF)
Measuring Poverty Amond Elderly Malaysians (PDF)