Dengan perubahan teknologi yang ada disertakan sekali dengan era Revolusi Industri 4.0, perkembangan kemampuan AI dan bermacam lagi teknologi lain - bidang pekerjaan yang melibatkan tenaga manusia sering dibincangkan, dengan aspek prospek masa depan serta keberkesanan jawatan tertentu menjadi subjek utama.

Walaupun kapasiti pekerjaan memang tidak dinafi telah banyak digantikan dengan sistem automasi, masih banyak sebenarnya jawatan-jawatan di negara kita yang dikategorikan sebagai jawatan kritikal serta memerlukan tenaga mahir - bagi mengisi kekosongan yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jawatan apakah yang dianggap kritikal keperluannya di negara kita setakat tahun 2019? Jom kita pelajari serba sedikit tentang jawatan-jawatan ini bagi memudahkan anda merangka masa depan anda dan mungkin juga prospek karier anak-anak anda.

59 Jawatan bersifat kritikal untuk diisi

jawatan bidang kejuruteraan

Sebanyak 59 jawatan dalam 18 sektor dikategorikan sebagai jawatan-jawatan bersifat kritikal, berikutan permintaannya yang tinggi tetapi tiada tenaga kemahiran yang cukup dalam menampung permintaan.

Oleh itu, 59 jawatan ini dikumpulkan dan disenaraikan bagi membolehkan masyarakat kita mendapatkan panduan kerjaya yang lebih tersusun, berdasarkan kepada input dan maklum balas institusi pendidikan, ahli akademik, pakar industri serta penggerak dalam industri sendiri.

Untuk menyenaraikan kesemuanya, mungkin memerlukan artikel yang terlalu panjang - jadi kami senaraikan 10 pekerjaan popular yang ada, informasi berkenaan jawatan itu serta sebab dan hujah kenapa jawatan-jawatan tersebut dianggap kritikal.

1. Pakar pembentukan dan perancangan polisi

perangkaan polisi

Tiga sektor perniagaan iaitu industri takaful, insurans, pembinaan dan komunikasi menyatakan kekurangan individu yang mempunyai kemahiran dalam perancangan polisi, dengan setiap jawatan kosong yang dibuka memerlukan sehingga 6 bulan hanya untuk diisi berikutan ketiadaan calon yang sesuai.

Jawatan ini dianggap jawatan berpangkat senior, sesuai untuk individu berpengalaman yang telah pun bekerja lebih 5 tahun, telah pun disenaraikan sebagai jawatan kritikal sejak tahun 2016.

2. Pengurus perkhidmatan perniagaan

pengurusan sumber manusia

Merangkumi beberapa aspek berbeza berdasarkan keperluan antaranya perkhidmatan perniagaan, pembangunan perniagaan, pengurusan operasi dan perancangan operasi - jawatan ini sangat sukar diisi berikutan keperluan yang agak tinggi bagi calon.

Ada syarikat yang meletakkan keperluan calon untuk memiliki lesen Suruhanjaya Sekuriti sebagai syarat utama dan ada juga yang memerlukan semua calon jawatan ini mempunyai sijil ACCA, sijil perakaunan yang berprestij.

3. Pegawai penyelidikan dan pembangunan

bidang penyelidikan dan pembangunan

Amat kritikal dalam sektor pembuatan, ketiadaan tenaga kerja dalam jawatan ini telah pun dilaporkan sejak 2016 dan sehingga kini masih lagi dianggap kritikal.

Dilaporkan sebagai kritikal sejak 2016, dua industri utama yang sangat memerlukan tenaga kerja dalam jawatan ini adalah sektor petrokimia, apabila majoriti pemain industri sektor ini melaporkan bahawa mereka memerlukan tempoh sehingga 6 ke 24 bulan - hanya untuk mengisi satu kekosongan jawatan.

Selain petrokimia, pakar penyelidikan dalam pembuatan plastik dan penyelidikan juga sangat ditagih industri.

4. Pengurus komunikasi dan maklumat

pegawai komunikasi

Disenarai sejak tahun 2016, tugas seorang pengurus komunikasi dan maklumat merangkumi skop yang agak besar antaranya pengurusan ICT, data, rangkaian komputer, multimedia kreatif dan pelbagai lagi sektor berbeza namun kekurangan individu tetap menyebabkan permintaan terhadapnya gagal diisi.

Majoriti perniagaan dalam industri menyifatkan calon yang cuba mengisi jawatan ini jumlahnya amat sedikit serta ketiadaan kemahiran yang diperlukan daripada segi pengalaman dan teknikal.

5. Juru geologi

geologi peluang kerjaya

Malaysia kekurangan geologis yang berkemahiran dan pola penurunan tenaga mahir ini telah pun berlaku secara konsisten, tahun ke tahun. Walaupun jawatan ini dibuka kepada pekerja berstatus muda sekalipun - dilaporkan tidak ramai yang hadir mencuba nasib.

Memerlukan masa daripada 3 ke 6 bulan untuk mengisi satu jawatan geologis secara purata, laporan menyebut tentang kekangan dalam usaha mengisi jawatan ini berpunca daripada keengganan calon untuk bekerja dalam lombong, khasnya melibatkan aktiviti perlombongan arang asli di seluruh negara.

6. Juru matematik, statistik dan aktuari

iluminasi universiti teknologi maklumat komputer at684

Anda suka dengan nombor? Sekiranya anda suka, cubalah untuk menyertai kursus sains aktuari atau sains matematik di universiti kerana permintaannya besar. Negara kita memerlukan saintis data dalam jumlah yang ramai selain daripada individu berkemahiran dalam sains aktuari, yang mampu melakukan ramalan dan telahan hanya berdasarkan statistik.

Bagaimanapun, keperluan untuk menyertai jawatan-jawatan dalam sektor ini agak tinggi - memerlukan seseorang memiliki sijil Certified Public Accountant (CPA), Approved Actuaries Certification dan juga sijil kelulusan daripada Fellow of Society of Actuaries.

Dalam menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 dan pembangunan teknologi IoT, saintis data amat diperlukan dan prospek kerjaya dalam bidang ini dikatakan sangat cerah.

6. Jurutera industri/mekanikal/elektrikal/elektronik

bidang jurutera

Jurutera industri meliputi banyak sektor perniagaan tetapi 3 sektor yang sangat kritikal memerlukan kemahiran jurutera industri adalah sektor pembuatan, perhubungan dan pengangkutan - dengan permintaan terhadap jurutera pengeluaran, jurutera kilang dan jurutera pembangunan proses menjadi keutamaan.

Diletak dalam jawatan kritikal sejak tahun 2016, jawatan ini tetap berdepan masalah dalam mendapatkan calon yang berwibawa kerana kebanyakan calon yang hadir temuduga gagal mencapai standard yang diperlukan.

7. Pendidik peringkat awal kanak-kanak

prospek pendidikan awal kanak kanak

Tidak disenaraikan dalam mana-mana jawatan kritikal sebelum ini, pendidikan peringkat awal kanak-kanak diisytiharkan sebagai jawatan kritikal baru bagi tahun 2019 - selepas kebanyakan syarikat melaporkan kegagalan mereka mendapatkan calon yang sesuai, atas beberapa sebab.

Majoriti masalah berpunca daripada ketiadaan calon yang mencukupi semasa temuduga dan bagi mereka yang datang pula, didapati tidak berkemahiran seperti yang dikehendaki serta memohon gaji yang dikatakan terlalu besar. Apa yang menakutkan - disebabkan oleh ketiadaan calon yang sesuai serta permintaan gaji yang tinggi, banyak syarikat melaporkan keperluan untuk mereka menggajikan pekerja yang mempunyai kelulusan rendah dalam menampung keperluan yang ada.

8. Juruakaun

perakaunan prospek cerah

Pada pandangan kami, memang sejak dahulu lagi negara kita menghadapi masalah dalam memenuhi permintaan jawatan kosong melibatkan pekerja mahir perakaunan. Keperluan pensijilan yang tinggi sedikit sebanyak menyukarkan jawatan ini diisi, kerana seseorang juruakaun memerlukan beberapa kelulusan tambahan yang perlu diambil.

Situasi diburukkan lagi sekiranya industri perbankan diambil kira, kerana syarat-syarat ketat Bank Negara memerlukan juruakaun melalui pelbagai jenis kursus tambahan, khasnya apabila melibatkan sistem perbankan Islam yang menyebabkan kekurangan ini semakin kritikal.

9. Juruanalisis Kewangan

sains matematik

Dianggap sebagai satu jawatan kritikal yang wajib diisi dalam sektor perbankan, kebanyakan syarikat menyatakan kesukaran yang tinggi dalam mendapatkan calon yang sesuai untuk jawatan ini - dengan tempoh 3 ke 6 bulan bagi mengisi satu jawatan.

Sesetengah syarikat pula meletakkan syarat agar calon mempunyai sijil kelulusan CFA sebelum boleh dilantik, selain daripada keperluan untuk mampu membaca dan menterjemah bahasa asing seperti Jepun, Jerman dan Russia.

10. Pembangun perisian/aplikasi

programmer pengaturcara aplikasi perisian

Walaupun mempunyai keperluan yang pelbagai seperti kemahiran dalam .net, C++, Java, PHP dan pembangunan secara am - jawatan pembangun perisian terus kekal sebagai salah satu jawatan kritikal di Malaysia sejak tahun 2015.

Selain itu, keperluan jawatan yang berbeza-beza mengikut trend dan perubahan teknologi juga menjadi salah satu punca kenapa jawatan ini kritikal; bagi tahun 2019, pembangun perisian yang mahir dalam pengaturcaraan Python mendapat permintaan tinggi tetapi tetap gagal diisi dengan baik.


Selain daripada 10 jawatan yang disenaraikan, ada beberapa jawatan lain yang kekal kritikal dalam tempoh 4 tahun sebelum seperti juru rangkaian komputer dan juru teknik mekanikal,

Beberapa jawatan yang sebelum ini dianggap tidak kritikal mula dikategorikan sebagai kritikal, seperti jururawat, ahli farmasi, pengajar vokasional, pembangun web, penulis, juru kerja kayu, juruteknik kejuteraan sivil, chef, penyambut tetamu, tukang kimpal besi, juru mesin pertanian dan tukang jahit.

Kami harap perkongsian ringkas ini dapat menjadi panduan kepada anda, dalam merancang perjalanan karier anda.

Rujukan

CRITICAL OCCUPATIONS LIST 2018/2019 Talent Corp




Hakcipta iluminasi.com (2017)