Kita sering mendengar kisah bagaimana pekerja-pekerja kilang yang bekerja dalam sektor elektronik, menghadapi tekanan yang dahsyat daripada pihak majikan seperti golongan pekerja di China yang dimangsakan, sehingga ada yang sanggup membunuh diri dek tertekan.
Walaupun begitu tidak banyak pendedahan tentang apa yang sebenarnya benar-benar berlaku dapat diterbitkan, berikutan tindakan pihak kilang dan majikan meletakkan pelbagai syarat dalam perjanjian kontrak dengan pekerja; membolehkan kebanyakan cerita buruk ini ditutup.
BESARKAN TEKS A- A+
Siasatan demi siasatan cuba dilakukan banyak pihak dengan laporan paling lengkap setakat ini, yang dikatakan berjaya mendapatkan gambaran sebenar telah selamat dilaporkan oleh SACOM HK atau Students & Scholars Against Corporate Misbehaviour pada tahun 2018.
Laporan itu berjaya menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku kepada golongan pekerja yang mereka kategorikan sebagai 'iSlaves', berikutan ketidakadilan yang dilakukan kepada mereka.
Penyiasatan ke atas syarikat Pegatron Corp., salah satu pembekal terbesar bagi jenama gergasi elektronik dunia Apple Inc. melibatkan 3 buah kilang gergasi di Suzhou, China pasti akan mengejutkan anda.
Apa syarat memohon pekerjaan di kilang elektronik?
Calon pekerja yang ingin bekerja di kilang syarikat gergasi itu perlu melakukan permohonan kerja melalui agensi pekerjaan yang dilantik.
Syaratnya mudah saja untuk layak diterima masuk bekerja; setiap pemohon perlu mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap serta mampu mengenalpasti kesemua 26 huruf rumi.
Untuk setiap permohonan yang diterima, pemohon perlu melampirkan bayaran sebanyak RMB 50 (RM29.50) sebagai yuran pemprosesan, walaupun secara undang-undangnya pembayaran itu melanggar peraturan.
Syarat sebenar mewajibkan majikan menanggung sebarang bayaran yang dikenakan pada agensi, namun kebanyakan pemohon memilih untuk membayar sahaja kerana mahu permohonan mereka diproses tanpa masalah.
Selepas diterima masuk, semua pekerja akan melalui latihan selama 4 jam yang dipercayai cukup mampu merangkumi kesemua aspek pekerjaan.
Aspek keselamatan jarang diberikan perhatian dan tiada sebarang bentuk latihan rasmi di lokasi diberikan dalam memastikan bakal pekerja tahu mengendalikan mesin atau peralatan yang ada.
Selepas semua itu selesai, semua pekerja ditawarkan kontrak kerja 2 tahun, 2 bulan pertama menjadi tempoh percubaan.
Semua kontrak disediakan agensi pekerjaan dengan hanya nama majikan dan lokasi kerja disebutkan dalam kontrak, membuatkan kebanyakan pekerja sebenarnya tidak digajikan terus dengan majikan; sebaliknya berkhidmat di bawah seliaan agensi.
Apa yang lebih membimbangkan, dalam kontrak ada dinyatakan agensi mempunyai kuasa penuh ke atas penempatan pekerja sekiranya wujud keperluan untuk menukarkan lokasi kerja pekerja kepada mana-mana lokasi lain yang mereka rasakan perlu.
Bergantung kepada jawatan, semua pekerja menerima gaji asas RMB 1,530 (RM905) yang akan dibayar melalui transaksi digital oleh agensi.
Hidup seorang pekerja 'iSlaves'
Semua pekerja diletakkan dalam dua kumpulan waktu kerja sehari, sama ada kumpulan siang atau malam.
Pekerja siang memulakan kerja pada jam 8 pagi hingga 5.30 petang, dengan tambahan masa kerja 'pilihan' 6 petang hingga 8 malam. Jadual akan disambung pekerja malam bermula jam 8 malam hingga 5.30 pagi, dengan jadual kerja tambahan dari jam 6 pagi hingga 8 pagi.
Ketika waktu puncak pengeluaran kebiasaannya bermula bulan Julai hingga bulan Februari tahun berikutnya, kebanyakan pekerja akan dimestikan bekerja lebih masa.
Ada masanya pekerja mampu mencapai angka 200 jam kerja lebih masa sebulan dan ada juga yang langsung tidak cuti walau sehari pun dalam sebulan. Bagaimanapun kebanyakan pekerja akur kerana merasakan itu peluang kerja lebih masa bagus untuk mereka menambah pendapatan.
Pada bulan Mac hingga Jun di mana kuota pengeluaran rendah, jumlah kerja lebih masa dihadkan kepada 3 jam sehari dengan cuti sehari setiap hujung minggu.
Apabila tiba waktu sibuk, kebanyakan pekerja perlu bersedia kerja lebih masa sehinggakan ada yang bekerja hampir 15 ke 18 jam sehari, bagi memastikan semua posisi operator berpenghuni.
Semua pekerja perlu ada di posisi kerja mereka 15 minit sebelum waktu kerja bermula dan mana-mana pekerja yang gagal mencapai kuota pengeluaran setiap hari, perlu melengkapkan kuota mereka pada hari itu juga tanpa ada pengecualian.
Pengurusan pekerja zaman batu
Di Pegatron, pekerja diwajibkan tinggal di asrama yang telah disediakan agensi bagi memudahkan urusan pergi balik mereka.
Semua pekerja dimestikan membayar sebanyak RMB 100 sebulan (RM59.16) untuk kemudahan asrama erangkumi bayaran bilik, penggunaan elektrik dan air, pendingin hawa (jika ada) dan utiliti gas.
Untuk makan dan minum, pekerja diberikan elaun makanan pada waktu bekerja sebanyak RMB 280 (RM165) melalui sistem kad makanan bulanan, yang hanya boleh digunakan di kantin pekerja.
Perbelanjaan harian ada hadnya, pekerja hanya boleh membelanjakan sebanyak RMB 20 (RM11.83) untuk membeli makanan dengan harga makanan paling murah berharga RMB 5 hingga RMB 12.
Kualiti makanannya pula sangat mengecewakan.
Berikutan kewujudan dua jadual kerja setiap hari, pengusaha kantin yang ada selalunya akan menyediakan makanan bagi kedua-dua kumpulan serentak pada waktu siang.
Oleh sebab itulah pekerja waktu malam perlu membiasakan diri makan makanan yang sudah lama dimasak.
Jadual tidur mereka tidak menentu. Ini kerana sistem asrama kurang teratur membuatkan pekerja jadual siang dan malam tidak diasingkan mengikut shif.
Ini membuatkan kesemua pekerja gagal mendapat rehat sepenuhnya kerana gangguan rakan sebilik mereka yang perlu menyalakan lampu untuk bersiap ekoran perbezaan waktu kerja.
Budaya kerja tidak sihat
Jadi adakah benar dakwaan bahawa tekanan kerja melampau benar-benar berlaku di kilang elektronik gergasi di China?
Benar. Siasatan yang dilakukan mendapati wujudnya budaya kerja yang meletakkan tekanan serta bebanan melampau pada pekerja. Namun isu ini gagal diatasi oleh kerana pihak majikan sedar masih ramai yang memohon kerja membolehkan budaya ini diteruskan tanpa sebarang perubahan mahu dilakukan.
Semua pekerja tidak boleh berkata tidak sekiranya diminta melakukan kerja lebih masa, dengan ugutan akan diberhentikan kerja menjadi senjata utama dalam memastikan semua pekerja akur dengan arahan.
Pekerja diletakkan dalam sistem skor demerit tanpa panduan dan situasi caci-maki sekiranya gagal mencapai kehendak pegawai atasan menjadi asam garam pekerja, yang amalannya sudah biasa dilakukan secara terbuka di depan semua pekerja.
Lebih malang bagi pekerja yang mahu berhenti, khasnya pekerja dalam tempoh percubaan - pihak majikan dan agensi pasti akan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Pekerja perlu memberikan notis 3 hari sekiranya ingin berhenti namun pengurusan akan menangguhkan sebarang bentuk maklum balas terhadap notis itu, bagi memastikan pekerja itu sendiri yang melarikan diri agar mereka tidak perlu membayar tunggakan gaji yang ada.
Kebanyakan pekerja khasnya golongan miskin seakan redha dengan nasib mereka, enggan melawan tekanan atau ketidak adilan yang berlaku. Tidak ada sebarang perubahan akan berlaku sekiranya ada yang memberontak.
Mereka sedar mereka mudah ditukar ganti.
Kumpulan pekerja ini tahu mereka yang lebih memerlukan pekerjaan dan sumber pendapatan berbanding pihak agensi dan kilang, yang setiap hari tak putus-putus menerima permohonan untuk masuk bekerja walau seteruk mana pun situasi kerja di dalamnya.
Begitulah secara ringkas kehidupan golongan pekerja di China yang dikerah untuk menghasilkan gajet elektronik. Besar kemungkinan anda sedang memegang hasil keringat mereka ketika ini.
Rujukan
The Lives of iSlaves (SACOM fail PDF)
Apple, Foxconn broke a Chinese labour law to build latest iPhones