Apa biasanya portfolio dalam kerajaan? Kita pasti akan mengatakan semua bidang yang berkait dengan kewangan, pengangkutan, alam sekitar dan sebagainya.
Pembentukan portfolio kerajaan biasanya sudah mempunyai acuan yang tersendiri, yang mengekalkan portfolio serupa setiap kali - kecuali wujudnya keperluan khas yang memerlukan pembentukan portfolio bersifat unik.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda beberapa portfolio unik wakil kerajaan dunia yang pernah diwujudkan, kedengaran agak tak masuk akal tetapi sebenarnya benar-benar berlaku?
1. Menteri Kecerdasan Buatan
Hah! Bagaimana agaknya jika anda diberitahu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan satu-satunya negara dalam dunia yang mewujudkan Kementerian Kecerdasan Buatan setakat ini, secara rasmi?
Kerajaan UAE mempunyai visi besar dalam memanfaatkan Kementerian ini, dengan pengenalan Program Kecerdasan Buatan Kebangsaan - dipacu Menteri Kecerdasan Buatan pertama dunia, Omar Al Olama, seorang graduan perniagaan dan pengurusan yang baru berusia 30 tahun!
Sasaran UAE dengan penubuhan kementerian baru ini adalah untuk menjadikan negara mereka pendahulu dalam bidang tersebut pada tahun 2031, khusus dalam pengaplikasian kecerdasan buatan dalam bidang pendidikan, pengangkutan, tenaga, angkasa dan teknologi.
Bunyi jawatan ini nampak aneh, tetapi kami yakin portfolio ini bakal jadi sesuatu yang biasa kedengaran tak lama lagi.
2. Menteri Kegembiraan Negara
UAE sekali lagi mendahului kerajaan-kerajaan lain dalam mewujudkan portfolio baru, yang aneh. Ohoud al Roumi, seorang sarjana dalam bidang ekonomi dan perniagaan dilantik kerajaan UAE bagi mengepalai Kementerian Kegembiraan dan Kebajikan Negara.
Portfolio baru itu yang diperkenalkan pada 10 Februari 2016 diwujudkan bagi menjalankan program-program yang dirasakan dapat meningkatkan tahap kegembiraan masyarakat UAE ke tahap lebih baik, dengan penambahbaikan dasar antara hubungan masyarakat dan kerajaan.
Pelbagai program diperkenalkan dengan tunjangnya adalah melalui Agenda Kegembiraan Nasional, di mana UAE mensasarkan bakal menjadi negara lima terbaik dunia dalam indeks kegembiraan pada tahun 2021.
Menurut Ohoud, perlantikannya untuk memegang portfolio tersebut banyak mendapat kritikan sinis daripada pihak lain yang menyangkal kepentingan apa yang dilakukannya.
3. Pejabat Kawalan Cuaca China
Apabila tiba musim kemarau, Jabatan Meteorologi Malaysia adalah agensi kerajaan yang sibuk kerana terlibat dalam pembenihan awan. Itu di Malaysia.
Bagi negara seluas China pula, mereka perlu mempunyai satu jabatan khas untuk masalah serupa disebabkan skala negara mereka. Oleh sebab itulah China mempunyai unit khas yang digelarkan Pejabat Kawalan Cuaca Beijing, bertanggungjawab untuk mengawal dan juga memodifikasi cuaca bila perlu.
Mempunyai seramai 37,000 pegawai bertugas, jabatan ini bukan saja bertanggungjawab membenihkan awan untuk hujan tetapi mereka juga perlu 'memintas' awan agar hujan turun lebih awal - bagi melindungi kawasan di mana acara besar yang akan berlangsung.
Ketika temasya Olimpik Beijing 2008, jabatan ini bertugas untuk memastikan semua lokasi pertandingan tidak ditimpa hujan. Mereka akan menggunakan senapang anti pesawat yang menembak peluru berisi bahan 'iodida perak' bagi mempercepatkan proses hujan sebelum tiba ke lokasi acara.
Sesuatu yang lucu, pada tahun 2009 akibat kesilapan jabatan ini, ribut salji besar mengakibatkan situasi tidak terkawal berlaku di Beijing. Jurucakap jabatan itu menyifatkan bencana yang melanda berlaku secara semulajadi.
Gambar di atas memang gambar sebenar petugas jabatan itu ya.
4. Badan Rayuan Serbuk Teh
Disebabkan oleh sekatan import masuk serbuk teh dari luar secara terus ke Amerika Syarikat pada tahun 1897, kerajaan mereka memperkenalkan 'The Board of Tea Appeals' (Badan Badan Rayuan Serbuk Teh) bagi memeriksa setiap sampel teh yang ingin dipasarakan di situ.
Dianggotai oleh tujuh orang pakar pemeriksa serbuk teh yang dilantik di bawah Food and Drug Administrations (FDA), tugas mereka adalah untuk merasai kesemua sampel teh yang ada bagi memastikan kualiti dan ketulenannya - sebelum permit diluluskan.
Ketua pemeriksa, Robert H. Dick yang juga dinobatkan sebagai 'pakar teh no.1 kerajaan Amerika Syarikat' dilaporkan merasai lebih 300 cawan teh setiap hari bekerja, selama lebih 48 tahun mengetuai agensi tersebut.
Badan ini kekal beroperasi selama 100 tahun sebelum dibubarkan pada tahun 1996. Dikatakan perbelanjaan setahun operasi badan tersebut menelan belanja sekitar $235,000 yang kerap dikritik lebih baik dibelanjakan ke arah lain.
5. Menteri 'Kesunyian'
Dalam zaman moden di mana interaksi antara manusia lebih banyak berkisar kepada skrin telefon dan media sosial - kewujudan individu yang menghadapi kemurungan akibat kesunyian merupakan sesuatu yang realiti.
Begitulah agaknya sebab kenapa kerajaan United Kingdom memperkenalkan idea untuk mewujudkan portfolio 'Menteri Kesunyian', bagi memperbaiki tahap mental masyarakat mereka. Pada awalnya idea ini mendapat kutukan kerana kebodohannya.
Namun kajian yang telah dijalankan menunjukkan wujudnya kebimbangan besar, setelah lebih 9 juta rakyat Britain atau 14% daripada jumlah populasi dilaporkan hidup dalam suasana sunyi, khususnya warga tua dan golongan kurang upaya.
Pada bulan Jun 2017, Tracey Crouch dilantik untuk memegang portfolio tambahan kini sebagai Menteri Sukan, Sivil dan Kesunyian; dengan harapan agar masalah pengasingan diri tidak menjadi sesuatu yang lebih serius.
Pelaksanaan program bermula tahun 2018 sehingga tahun 2020 gagal membawa penambahbaikan pada situasi. Dalam tempoh sama, portfolio ini bertukar tangan beberapa kali sebelum portfolio 'kesunyian' digugurkan sebagai label rasmi nama kementerian tersebut.