Menjalani rawatan kecantikan kulit buat pertama kali mungkin merupakan satu pengalaman baru bagi mana-mana orang, khususnya para wanita. Bagi anda yang baru belajar mengunjungi pusat kecantikan, anda mungkin berasa sedikit gugup atas dua sebab : pertama, anda tidak boleh jangka apa yang bakal berlaku walaupun telah dihuraikan panjang lebar oleh pakar kecantikan. Kedua, jika anda mengeluarkan belanja mahal untuk rawatan itu, anda mesti berasa resah tidak sabar menunggu hasil rawatan.
Terdapat lambakan pusat rawatan kecantikan dan klinik estetik yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan daripada yang biasa-biasa sehinggalah yang ke luar biasa. Jika di Hollywood misalnya, mereka bukan sahaja biasa menyuntik Botox, malah ada rawatan yang lebih ekstrim di mana darah manusia atau binatang hidup digunakan semata-mata untuk kelihatan cantik.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Rawatan Vampire Facelift
Untuk tampak lebih muda, Vampire Facelift menjadi rawatan kegemaran ramai wanita di Hollywood. Walaupun harga satu sesi rawatan mencecah $1,500 (RM6,221), ia masih menjadi pilihan selebriti terkemuka Kim Kardashian dan supermodel Bar Refaeli.
Jika harga rawatan itu masih belum membuat anda ketap gigi, mungkin proses rawatan itu boleh membuatkan anda berasa gerun dan ngilu.
Rawatan yang diilhamkan oleh Dr. Charles Runels itu akan mengambil darah dari lengan anda, memisahkan platlet menggunakan pengempar untuk mendapatkan plasma yang kaya dengan platlet. Plasma ini kemudian digabungkan dengan bahan seperti Restalyne atau Juvederm sebelum disuntik ke dalam kulit wajah.
Rawatan ini dikatakan dapat merangsang pertumbuhan kolagen dan membina sel kulit baru untuk menghapuskan kedutan dan pelbagai masalah kulit.
2. Suntikan Krim darah manusia
Lagi satu rawatan kecantikan yang menggunakan darah manusia ialah krim wajah MC1 oleh Dr. Barbara Sturm. Krim bernilai $1,400 (RM5,806) ini diformulasikan dengan protein anti radang yang diambil daripada darah pesakit sendiri. Protein ini menghasilkan krim yang dapat menyembuhkan kulit, menghilangkan kedutan halus dan tanda-tanda penuaan yang lain.
3. Rawatan Uri kambing biri-biri
Selebriti terkenal Victoria Beckham amat menggemari rawatan ini yang menggunakan uri/plasenta kambing biri-biri. Sel stem daripada uri kambing biri-biri dikatakan mempunyai bilangan sel yang lebih kurang sama dengan seorang manusia dan mampu memperbaiki kulit wajah dari dalam. Hasil rawatan ini akan menyihatkan dan mengekalkan kelembapan kulit.
4. Rawatan Kecantikan Menggunakan Lintah
Anda pasti mengenali Demi Moore dan ingin tahu rahsia awet mudanya. Rahsianya terletak pada haiwan penghisap darah yang digeruni iaitu lintah. Terapi yang popular di Eropah ini menggunakan lintah untuk menyedut darah dari kulit seseorang. Selain itu, lintah yang dipasang ke wajah itu juga akan mengeluarkan sejenis enzim untuk menyingkirkan toksin dari dalam darah.
5. Rawatan Kecantikan Tahi burung
Jika uri kambing dan lintah masih tidak cukup, anda mungkin boleh mencuba rawatan ini. Rawatan muka dengan tahi burung bulbul Jepun (Japanese nightingale) dikhabarkan mampu mencerahkan kulit dan menghindari jerawat. Rawatan 100% semula jadi ini telah mula digunakan sejak kurun ke-17 lagi oleh geisha di mana tahi burung yang kering dijadikan ejen pengelupasan untuk menanggalkan sel kulit mati seterusnya menjadikan kulit tampak lebih segar dan sihat.
6. Rawatan Kecantikan Siput Babi
Jika anda geli melihat pergerakan siput, anda mungkin meremang dan menjerit kegelian jika perlu menjalani rawatan wajah menggunakan siput ini. Rawatan menggunakan siput ini menghasilkan banyak protein iaitu asid hialuronik dan bahan antioksida yang terkandung dalam lendir siput. Ia mampu mengembalikan kesegaran kulit dan menjadikan wajah bagai 10 tahun lebih muda.
Orang selalu kata, tiada jalan mudah untuk kelihatan cantik. Tapi adakah anda sanggup jalani mana-mana rawatan di atas dan berbaloikah berkorban sebegini semata-mata nak cantik di dunia?