Setiap kali terbuka saluran hiburan Korea Selatan percuma di kaca TV penulis, penulis ingatkan artis yang muncul di kaca televisyen kalau lelaki adalah kumpulan BTS, sementara jika wanita Blackpink.

Malangnya penulis kerap tersilap. Penulis akui penulis ada masalah membezakan wajah artis-artis Korea Selatan.

Masalahnya, bukan penulis saja yang berpandangan sedemikian rupa; rupa-rupanya banyak lagi pihak menghadapi kesukaran membezakan identiti setiap kumpulan KPOP yang ada, dek wajah yang seakan-akan sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lebih lucu, masalah ini turut diakui berlaku oleh pemimpin kerajaan Korea Selatan sendiri.

Jadi jelas ini bukanlah disebabkan kita tidak peka atau ada bersikap rasis; memang wajah 'idola KPOP' sama. Kenapa ini berlaku?

Cubaan campur tangan kerajaan yang gagal

menteri korea selatan mogef

Pada bulan Februari tahun 2019, Menteri Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Kekeluargaan Korea Selatan (MOGEF) Jin Sun-mee mencetuskan kontroversi.

Kementerian kendalian beliau cuba memperkenalkan beberapa garis panduan baru, bagi mengekang masalah 'wajah serupa' di kalangan artis negara itu.

Hasil daripada kajian yang telah dijalankan mendapati banyak unsur negatif dipromosikan secara terbuka di kalangan penggiat industri hiburan, hingga wujud tekanan kepada karyawan dan peminat agar mempunyai standard tatarias wajah sekata atau sama sebagai faktor penting. 

Isu ini mendorong MOGEF memperkenalkan garis panduan agar jumlah selebriti berstatus 'idol' (idola) dalam industri hiburan, dihadkan kemunculan mereka dalam satu-satu tayangan rancangan.

Dengan harapan agar dapat dikurangkan pengaruh stereotaip wajah yang dipopularkan artis 'idola' di sana kepada masyarakat mereka.

Menurut MOGEF, adalah menjadi tanggungjawab badan berkuasa untuk mempersoalkan kenapa wujudnya keperluan menyamakan anggota kumpulan yang ada dengan setiap anggota memperagakan gaya rambut, wajah, gaya dan solekan sama. 

MOGEF turut mempertikaikan keperluan anggota KPOP  tampil dengan tubuh sangat langsing tak kira lelaki atau wanita yang tidak normal, serta mengkritik keperluan industri hiburan menekan artis-artis wanita untuk tidak malu mendedahkan tubuh sebagai kaedah promosi.

Malangnya niat baik Jin Sun-mee dan MOGEF mendapat kritikan keras banyak pihak.

Idea baik mula jadi modal politik

kumpulan apa ni

Bagi pihak yang memahami niat sebenar saranan MOGEF, mereka meramalkan syarat tersebut adalah usaha kerajaan Korea Selatan memastikan masyarakat mereka keluar dari kepompong 'imej standard idola' yang telah menghantui mereka.

Di kalangan ahli masyarakat mereka sendiri mengakui wujud satu stereotaip 'wajah' yang perlu dimiliki setiap artis, baik lelaki mahupun wanita untuk bergelar seorang idola.

Standard ini walaupun mampu mencipta imej artis bergaya, turut mengakibatkan masalah dan isu lain timbul.

Antaranya tekanan kepada artis serta peminat untuk melakukan pembedahan plastik bagi 'menyempurnakan' wajah.

Mereka juga akan mengamalkan diet keterlaluan sehingga membahayakan diri sendiri serta mengamalkan kaedah-kaedah tidak sihat, dalam memastikan 'standard' yang ditetapkan dicapai.

Garis panduan bersifat pilihan MOGEF itu bukanlah satu ketetapan yang diwartakan wajib diikuti pengendali saluran TV di Korea Selatan.

Namun pengenalannya mengundang kritikan beberapa orang pemimpin pembangkang yang disokong kuat peminat fanatik artis-artis yang dijadikan contoh.

Satu petisyen rasmi dibuat mendesak agar garis panduan itu ditarik balik.

Bagi mereka yang menandatangani petisyen ini, mereka percaya campur tangan kerajaan ke atas isu sebegitu tidak sepatutnya berlaku dan kerajaan sepatutnya menggembleng tenaga kepada isu yang lebih bermanfaat.

Ekoran tekanan yang dihadapi, dua hari selepas diperkenalkan - kertas cadangan MOGEF ditarik balik, membuktikan betapa berkuasanya industri hiburan Korea Selatan mencorak pengaruh ke atas tindakan peminat serta dasar kerajaan mereka sendiri.

Standard wajah yang sukar dicapai

wajah sama kembar artis kpop korea selatan

Tidak dapat dinafikan ramai di kalangan artis Korea Selatan secara semulajadi sudah dikurniakan wajah kacak dan cantik, tanpa perlu 'menambahbaik' wajah sendiri.

Bagi mereka yang 'kurang bernasib baik' serta masih mahu berjaya, jalan paling mudah adalah dengan melakukan pembedahan plastik.

Populariti pembedahan plastik di Korea Selatan berada pada kadar tinggi, meletakkan negara itu dalam kedudukan teratas nisbah populasi yang pernah menjalani pembedahan.

Tekanan untuk diterima dalam peringkat sosial juga memaksa ramai rakyat kebanyakan Korea Selatan turut memilih jalan pembedahan, disebabkan standard masyarakat yang terlalu tinggi.

Standard itu sudah menetapkan kulit mestilah terlebih cerah dan tubuh pula langsing, memaksa ramai individu melakukan tindakan kurang sihat.

Vokalis kumpulan Twice, Momo pernah diarahkan untuk mengurangkan berat badan sebanyak 7kg sebelum kemunculan pertama yang sudah dijadualkan.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Momo hanya menjamah ais dalam tempoh seminggu walaupun masih menjalani latihan setiap hari. Perkara sebegitu merupakan kisah yang biasa didengari dalam industri hiburan sana. 

Momo gagal mencapai sasaran 7kg dalam seminggu, dibenarkan untuk terus diet menjalani tambahan 3 hari. Barulah penurunan yang diarahkan tercapai dan kemunculan beliau diluluskan.

Budaya popular yang perlu dibendung

wajah artis kpop sama

Masalah standard kecantikan merupakan isu yang diambil berat kerajaan Korea Selatan, malangnya industri hiburan dan penyokongnya telah bersuara - tidak mahu melihat sebarang perubahan diperkenalkan.

Sekiranya anda sama seperti penulis sukar mengenali artis KPOP, janganlah ingat anda berseorangan.

Memang kebanyakan wajah artis KPOP baik dalam filem, drama dan muzik mirip, kerana mereka mempunyai 'standard kecantikan' yang serupa.

Bukan kita saja tidak mampu membezakan mereka. Menteri dan kerajaan mereka sendiri mempunyai kesukaran sama.

Tidak perlu malu sekiranya anda tidak dapat membezakan BTS dengan EXO, SEVENTEEN atau 2PM, terkeliru di antara Blackpink dengan Twice, Red Velvet atau Everglow.

Mereka dipasarkan dengan wajah dan tubuh serupa, membawa perwatakan dan identiti yang ditentukan pengendali mereka melalui standard yang telah dibuat serta perlu diikuti - sebagai acuan untuk berjaya.

Jika anda tidak mampu kenal perbezaan wajah anggota kumpulan KPOP, anda bukanlah seorang rasis atau tidak peka.

Ingatkan diri anda, masyarakat mereka pun tak mampu membezakan wajah artis mereka. Yang laki, wanita, semuanya hanya ada satu imej sahaja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)