Anda mesti pernah berangan mahu menang duit loteri kan? Mungkin juga anda pernah senaraikan apa yang anda ingin lakukan sekiranya menang wang tunai dalam jumlah yang besar. Walaupun loteri dan judi ini adalah haram bagi orang Islam, sudah menjadi lumrah bagi mana-mana manusia untuk memasang angan-angan "Andai Aku Kaya."
Jika anda sedang mengalami kesempitan hidup, mungkin anda rasa seperti wang loteri adalah penyelesaian bagi segala masalah untuk melangsaikan hutang dan membina kehidupan baru. Namun, tahukah anda, majoriti orang yang memenangi loteri tidak tahu untuk menyesuaikan diri dengan kekayaan mengejut itu dan ramai antara mereka yang akhirnya diisytiharkan bankrap.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, ada yang lebih teruk daripada itu.
Apabila anda memenangi wang loteri, ketamakan ahli keluarga dan rakan-rakan akan mula dapat dilihat. Secara tiba-tiba anda mempunyai sepupu bau-bau bacang yang ingin meminjam wang, adik-beradik yang sentiasa meminta-minta bahkan orang yang tidak dikenali juga akan berpura-pura mengenali anda. Sembilan pemenang loteri berikut telah merasa sendiri pengalaman itu dan mungkin ia merupakan sejarah paling hitam dalam hidup mereka:
1. Abraham Shakespeare
Abraham Shakespeare merupakan pemenang jackpot berjumlah USD30 juta dan memilih untuk menerima bayaran sebanyak USD17 juta sekali gus. Abraham sememangnya dikenali sebagai seorang lelaki yang pemurah dan baik hati. Dia tahu yang kekayaan itu tidak akan mengubah apa-apa pada dirinya.
Orang di sekeliling Abraham juga tahu sifat pemurah yang ada pada diri Abraham. Jadi, ramai yang mula datang dengan kisah sedih masing-masing untuk meminta wang daripadanya. Ada yang sanggup meminta wang ketika terserempak dengannya di tepi jalan. Dia tidak pernah kedekut dan sentiasa memberi. Lama-kelamaan, wang kemenangannya semakin susut.
Seorang wanita bernama Dorice Moore kemudian telah bertemu dengan Abraham namun dia mempunyai sebab yang berlainan. Dia menawarkan diri untuk menguruskan wang Abraham. Abraham membuat keputusan mengambilnya bekerja dan wanita keji itu telah menggunakan 1 juta dolar dengan membeli kereta mewah dan bercuti seperti orang kaya.
Penipu itu tidak berpuas hati lagi dengan rancangannya untuk memiliki kesemua wang Abraham. Dia akhirnya membunuh Abraham dengan dua tembakan di dada dan menanam jasadnya di sebuah tanah kosong yang terbiar. Apabila ditanya oleh sesiapa yang mencari Abraham, dia membuat cerita yang Abraham keluar bandar untuk mencari ketenangan daripada didesak orang ramai.
Penipuan itu berlarutan selama beberapa bulan. Ada sesetengah orang yang menerima kiriman mesej daripada Abraham, anak Abraham masih menerima hadiah dan ada juga orang yang ternampak 'kelibat' Abraham. Kesemua ini adalah penipuan yang dirancang oleh Dorice. Malah, seorang pelakon telah diupah untuk menyamar sebagai Abraham untuk menelefon ibunya.
Ahli keluarga Abraham berasa musykil dengan situasi yang berlaku. Mereka dapat menghidu perbuatan Dorice dan melaporkan kehilangan Abraham kepada pihak berkuasa. Mayat Abraham akhirnya dijumpai pihak polis dan Dorice ditahan dan didapati bersalah atas kesalahan membunuh. Dia sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas ketamakannya. (sumber 1, 2, 3)
2. Urooj Khan
Urooj Khan menang satu juta dolar dan menerima jumlah bayaran sekali gus sebanyak USD425,000. Dia begitu teruja dan mempunyai banyak perancangan dengan wang itu. Sebahagiannya mahu didermakan kepada hospital kanak-kanak dan sebahagian lagi ingin digunakan untuk memperluaskan perniagaannya.
Selepas menghadiri satu sidang akhbar tentang kemenangan besarnya, Urooj pulang ke rumah seperti biasa dan makan bersama isteri, anak perempuan dan ayah mertuanya.
Sejurus selepas itu, dia mula rasa tidak sedap badan dan tidur lebih awal. Pada tengah malam itu, dia terjaga dari tidur dengan sakit yang tidak dapat ditahan sehingga tidak sedarkan diri. Isterinya menghubungi 911 dan dia dibawa ke hospital. Keesokan harinya Urooj disahkan meninggal dunia.
Doktor melaporkan kematiannya disebabkan serangan jantung. Walau bagaimanapun, abang Urooj tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan meminta pihak hospital membuat autopsi. Laporan autopsi mendedahkan terdapat jumlah sianid yang tinggi dalam darah Urooj sehingga menyebabkan dia menemui ajal.
Malangnya, pihak polis tidak dapat menemui sebarang bahan bukti untuk mengenal pasti siapakah pembunuh Urooj Khan yang sebenarnya. (sumber 1, 2, 3)
3. Andrew Whittaker Jr.
Selepas ditolak cukai dan penalti bayaran sekali gus, hadiah loteri Andrew Whittaker yang pada mulanya bernilai USD314 juta menjadi $113 juta. Selepas menerima bayaran itu, dia terus membuat kerja amal dengan mendermakan kepada gereja dan memulakan satu pertubuhan untuk membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan, membeli barang dapur dan menyambung persekolahan.
Ketika itulah surat untuk mendapatkan bantuan mula membanjiri hidup Andrew. Dia terpaksa mengupah tiga orang pekerja hanya untuk membuka surat. Mereka bekerja lebih 8 jam setiap hari untuk membuka surat.
Tidak kurang juga lambakan manusia yang datang sendiri ke rumah Andrew dengan kisah menyayat hati tentang kesusahan dan masalah kewangan mereka. Ada yang menjadi berang sekiranya Andrew tidak membantu dan ada juga yang mengugut keluarga Andrew. Malah, ada juga yang sanggup memfailkan saman palsu ke atas Andrew. Andrew telah menghabiskan lebih 3 juta dolar untuk mempertahankan dirinya daripada 'serangan' seperti ini.
Andrew amat tertekan dengan situasi yang melemaskan itu dan mula mencari keseronokan. Dia belajar mengunjungi kelab tarian bogel dan berjudi. Pernah terjadi di kelab tarian itu di mana Andrew membawa bersama setengah juta dolar dalam beg bimbitnya dan seseorang telah meletakkan dadah dalam minuman Andrew untuk mencuri beg itu.
Kemewahan Andrew juga dapat dirasai oleh salah seorang cucu kesayangan Andrew yang masih gadis remaja iaitu Brandi. Malangnya limpahan wang yang diberikan datuknya membuatkan Brandi amat suka didekati oleh pengedar dadah. Akhirnya Brandi menjadi seorang penagih dan dihantar ke pusat pemulihan. Ia tidak berkesan dan Brandi melarikan diri dari pusat itu selepas beberapa ketika. Dia dijumpai dua tahun kemudian dalam keadaan mati dan mempunyai banyak kesan bahan terlarang dalam sistem tubuhnya.
Kematian Brandi menyebabkan banyak pergaduhan dan tekanan dalam perkahwinan Andrew. Beberapa tahun selepas itu pula, satu-satunya anak Andrew, iaitu ibu kepada Brandi pula meninggal dunia. (sumber 1, 2, 3)
4. Jeffrey Dampier
Jeffrey Dampier merupakan seorang pemenang loteri berjumlah $20 juta. Tidak lama selepas kemenangannya, Jeffrey bercerai dengan isterinya dan wang itu dibahagikan sama rata.
Jeffrey mula mendampingi teman wanita baru bernama Crystal Jackson. Crystal dan adik-beradik perempuannya berpindah ke Florida untuk lebih dekat dengan Jeffrey dan memudahkannya untuk menjaga mereka semua di kawasan itu.
Salah seorang kakak Crystal, Victoria, telah menjemput Jeffrey datang ke rumah mereka. Apabila tiba, Victoria dan teman lelakinya Nathaniel meminta Jeffrey memberikan lebih banyak wang kepada mereka. Nathaniel mengeluarkan sepucuk pistol dan menyuruh Victoria mengikat tangan Jeffrey. Mereka berjaya merampas ribuan dolar daripada Jeffrey namun masih tidak berpuas hati.
Nathaniel mengacukan pistol ke kepala Jeffrey dan menyuruh dia mengikut mereka keluar dari rumah. Victoria memandu van sementara Nathaniel mula memukul Jeffrey menggunakan pistol sambil meminta lebih banyak wang.
Akhirnya, Victoria memberhentikan van di tepi jalan dan diarahkan oleh Nathaniel untuk menembak Jeffrey. Jika Victoria enggan patuh pada arahan, Victoria yang akan ditembak. Victoria akur dan menembak teman lelaki adiknya yang pemurah itu.
Pasangan kejam itu berjaya ditangkap dan meringkuk dalam penjara seumur hidup. (sumber 1, 2)
5. Renné Senna
Renné Senna ialah seorang lelaki dari Brazil yang tidak bernasib terlalu baik. Kedua-dua kakinya telah dipotong akibat kencing manis sehingga memaksa dia berhenti kerja sebagai pemotong daging dan menjual barangan kecil di tepi jalan. Isterinya tidak gembira dengan kemiskinan dan keadaan hidup ditimpa malang itu lalu meninggalkannya. Anak-anak juga dibawa pergi meninggalkan Renné.
Pada tahun 2005, nasibnya berubah apabila memenangi loteri bernilai lebih USD16 juta dolar. Renné mula bertemu janji dengan seorang wanita yang 25 tahun lebih muda bernama Adriana Almeida. Mereka sudah mengenali antara satu sama lain agak lama namun Adriana lebih berminat dengan Renné apabila dia mula memiliki harta yang banyak.
Mereka mendirikan rumah tangga dan di situlah masalah bermula. Adriana diberikan kuasa menguruskan segala aset dan dia berjaya menghasut Renné supaya mengeluarkan 11 orang adik-beradiknya daripada wasiat. Wasiat yang baru menamakan Adriana sebagai pewaris separuh kekayaan Renné.
Disebabkan Adriana menguruskan kesemua akaun bank, dia boleh mengambil wang daripada akaun yang dimiliki bersama dan memindahkan sebanyak $580,000 ke dalam akaun peribadi untuk membeli sebuah penthouse. Renné menyedari perkara ini dan berasa curiga dengan Adriana. Mereka bertengkar dan Renné mendapat tahu bawaha Adriana telah berlaku curang dengannya. Renné kemudian berkata yang dia akan mengeluarkan nama Adriana dari segala wasiat.
Selang beberapa hari, Renné sedang dalam perjalanan menuju ke tempat minum kegemarannya apabila dua orang lelaki menaiki motosikal tiba-tiba muncul dan meminta wang daripada Renné. Renné akhirnya ditembak beberapa kali dan dibiarkan mati.
Selepas siasatan, pihak berkuasa mendapati Adriana merupakan dalang pembunuhan Renné dan dia dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara. (sumber 1, 2)
6. Lee Kost
Lee Kost bersara dengan gembira setelah memenangi $250,000 melalui sekeping tiket loteri. Kemenangan ini walau bagaimanapun mula menimbulkan pelbagai masalah kepadanya. Rumahnya dipecah masuk beberapa kali sehingga menyebabkan kerugian ribuan dolar dan kehilangan barang kemas yang sangat mahal.
Kemenangan itu juga memperkenalkan beberapa orang baru dalam hidup Lee. Dia mula berkenalan dengan seorang wanita muda bernama Porche Sweet.
Pada suatu hari, pasangan itu telah keluar makan malam bersama dan Porche pulang ke rumah Lee setelah selesai makan. Malangnya, Porche dari awal telah merancang untuk merompak Lee. Dia membiarkan pintu tidak dikunci dan menghantar teks kepada tiga orang rakan untuk memberitahu dia sudah berada di dalam rumah. Tiga rakan subahat itu datang menaiki teksi dan menuju ke bilik di tingkat atas di mana Porche dan Lee berada.
Salah seorang perompak, Terrence Maya mula memukul Lee menggunakan sepucuk pistol. Dia meminta Lee memberitahu nombor PIN bagi kesemua kad kredit manakala perompak yang lain menggeledah bilik untuk mencari wang dan kad kredit Lee. Selepas dapat apa yang dimahukan, Terrence telah menembak Lee sampai mati.
Keempat-empat perompak itu meninggalkan tempat kejadian menggunakan kereta Jaguar milik Lee. Mereka ditahan tidak lama kemudian atas kesalahan memandu dengan laju. Pihak polis ternampak pistol dalam kereta dan mereka telah ditahan. Porche dan dua perompak lain dipenjarakan sekurang-kurangnya 23 tahun manakala Terrence pula dipenjarakan seumur hidup. (sumber 1, 2)