Allah S.W.T mengurniakan manusia dengan akal untuk digunakan sebaik-baiknya sebagai khalifah di muka bumi. Berbanding dengan binatang, manusia mampu untuk berfikir dan membandingkan sesuatu perkara yang baik dengan yang buruk.
Namun, tak semua manusia mampu menggunakan 100% potensi akal yang diberikan oleh Allah ini. Sifat, sikap dan emosi manusia seringkali menjadikan kita lupa dan lalai sehingga tidak boleh berfikir dengan waras. Kita menipu, mencuri, merosakkan diri sendiri, merosakkan alam dan ada juga yang sanggup membunuh.
BESARKAN TEKS A- A+
Orang yang tak ada agama tu tak mengapalah, mereka memang tak ada pedoman hidup. Tapi kita yang Islam ni, tak terfikir balasan dosa dan pahalakah? Apakah punca yang menyebabkan kesemua tindakan buruk ini? Mari kita tengok apa kata sains berkaitan isu ini:
#1 Suka menipu
Tak ada siapa yang tahu kenapa manusia suka sangat menipu. Tapi kajian mendapati perkara ini adalah sangat biasa dan sering dikaitkan dengan faktor psikologi utama, iaitu harga diri.
Menurut seorang pakar psikologi dari University of Massachusetts, manusia akan menipu apabila mereka merasakan diri mereka terancam. Bukan dari aspek fizikal tetapi dalaman emosi dan kerohanian. Terutama sekali apabila seseorang itu ingin membuatkan penampilan mereka lebih disukai atau lebih menarik pada pandangan orang lain.
Nak menipu ini pula sebenarnya bukan suatu benda yang mudah dilakukan. Kajian mendapati, nak mengarang satu penipuan itu adalah 30% lebih panjang daripada memberitahu perkara yang sebenar.
Ada individu dengan tabiat menipu ini seperti sudah menjadi darah daging di mana mereka menipu secara refleks. Buka mulut saja terus nak cakap bohong. Individu
#2 Suka bergaduh
Ada penyelidik yang mendapati manusia memang mendambakan keganasan kerana ia memang berada dalam gen kita yang kemudiannya mempengaruhi otak.
Walau bagaimanapun, jika kita lihat kembali beribu tahun dahulu, bukti menunjukkan peradaban manusia pada tamadun terdahulu lebih sukakan keamanan berbanding manusia pada hari ini (walaupun terdapat tanda-tanda kanibalisme semasa zaman awal prasejarah.)
Pada tahun 2008, satu kajian membuat kesimpulan bahawa manusia sememangnya menginginkan keganasan sama seperti mereka inginkan makanan, dadah dan keinginan syahwat. Sikap agresif ini melibatkan saluran dalam otak yang dinamakan "reward pathway" dan membebaskan dopamin.
Ramai penyelidik percaya sikap agresif ini adalah evolusi daripada kecenderungan sesuatu spesies dalam ikhtiar hidup. Ia juga bergantung kepada keadaan persekitaran, sosial, pembiakan dan susur galur sesuatu spesies. Manusia dikatakan antara spesies paling ganas di muka bumi.
#3 Suka mencuri
Sikap suka mencuri mungkin berpunca daripada keperluan. Tetapi bagi seseorang kleptomaniak, perbuatan mencuri ini disebabkan oleh rasa keseronokan yang timbul. Satu tinjauan yang melibatkan 43,000 orang pernah dibuat dan didapati 11% orang mengaku mereka pernah mencuri lebih daripada sekali.
Dalam satu kajian lain pada tahun 2009, peserta dikehendaki mengambil plasebo atau dadah naltrexone yang dikatakan boleh mengawal ketagihan terhadap alkohol, dadah dan berjudi. Dadah naltrexone ini menghalang penghasilan kesan bahan dipanggil opiate endogen yang dipercayai terhasil semasa mencuri yang menyebabkan rasa teruja dalam otak. Hasil kajian itu mendapati dada ini dapat mengurangkan keinginan dan tabiat mencuri.
#4 Berlaku curang
Dalam Islam, kita diajar untuk bersikap jujur dan mencontohi akhlak Rasulullah yang sangat jujur sehingga digelar Al-Amin. Tapi kini berapa ramai pasangan yang menipu dan curang terhadap suami atau isteri masing-masing?
Kajian mendapati orang yang kononnya mendukung nilai moral yang tinggi merupakan pengkhianat rumah tangga yang paling teruk. Ramai selebriti dan ahli politik seluruh dunia yang curang, walhal mereka sepatutnya menjadi model peranan kepada masyarakat.
Inilah yang sering dikaitkan dengan kehendak nafsu manusia. Apabila keinginan nafsu mengatasi akal, manusia tidak boleh berfikir dengan rasional menyebabkan mereka sendiri tidak lakukan apa yang mereka suruh orang lain lakukan.
Pakar mengatakan ada dua sebab utama seseorang itu curang dengan pasangan : sama ada mereka tidak bahagia dengan perhubungan itu atau bosan dengan kehidupan seksual bersama pasangan.
Apa yang lebih mengejutkan, satu kajian lain pada tahun 2015 mendapati seseorang yang bergantung hidup dan kewangan pada pasangannya lebih cenderung untuk curang berbanding pasangan yang sama-sama menanggung beban kewangan. Duit pun tak cukup, ada hati nak pasang banyak?
#5 Suka membuli
Menurut dua kajian berbeza yang dijalankan pada tahun 2015, dibuli sewaktu zaman kanak-kanak boleh meninggalkan kesan yang lebih teruk daripada mengalami penderaan dan kesan buli sewaktu zaman remaja pula menggandakan risiko kemurungan apabila mangsa meningkat dewasa.
Majoriti kanak-kanak yang menjadi pembuli di sekolah berkemungkinan besar membuli adik-beradiknya di rumah. Kajian inilah yang membolehkan para penyelidik membuat kesimpulan bahawa perangai membuli ini kebiasaannya bermula di dalam rumah.
Tapi tahukah anda, buli bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak dan remaja. Di Amerika Syarikat, satu tinjauan mendapati hampir 30% pekerja menghadapi masalah dibuli oleh majikan dan rakan sekerja. Ada yang saja-saja tak mahu kongsi maklumat untuk menyiapkan kerja, ada yang saja-saja menyebarkan khabar angin dan ada juga yang saja-saja memalukan mangsa di hadapan khalayak ramai.
Tabiat membuli ini mempunyai kesan 'snowball' di mana ia bermula dengan satu perbuatan yang kecil dan lama-lama menjadi semakin besar dan serius. Disebabkan itulah ia amat sukar dibendung.
Kenapa manusia suka membuli? Pakar psikologi berpendapat tabiat ini sering dilakukan untuk mendapatkan status dan kuasa.
#6 Suka ubah penampilan
Negara seperti Korea Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat amat terkenal sebagai syurga pembedahan plastik. Di Amerika Syarikat misalnya, warga Amerika telah berbelanja sebanyak $13.5bilion (RM60bilion) pada tahun 2014 untuk melakukan prosedur estetik sama ada melalui pembedahan atau tanpa bedah.
Jika kita lihat di Malaysia pula, rata-rata wanita amat memandang tinggi kepada mereka yang berkulit cerah dan bertubuh langsing. Dengan itu, lahirlah produk-produk pemutihan kulit dan ubat menguruskan badan bagai cendawan selepas hujan. Kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM, tidak mempunyai lesen sah, mempunyai kandungan yang meragukan sehingga menyebabkan pengguna mengalami masalah kulit teruk ataupun masalah kesihatan serius seperti kerosakan buah pinggang.
Disebabkan kita tinggal dalam dunia di mana rupa paras lebih penting daripada intelek dan sahsiah diri, mungkin susah untuk kita buang tabiat ini.
#7 Suka stres
Stres sebenarnya amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan risiko penyakit jantung, kanser, membawa kepada kemurungan dan keupayaan untuk membunuh diri. Ramai orang mengalami stres terutama sekali di tempat kerja namun ia juga boleh terjadi pada kanak-kanak.
Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa, terdapat lebih daripada 600 juta orang di seluruh dunia perlu bekerja sekurang-kurangnya 48 jam dalam seminggu. Kecanggihan teknologi pula semakin menyukarkan keadaan kerana dengan adanya telefon pintar, komputer riba dan internet, ini bermakna seseorang pekerja 'perlu' membawa pulang kerja ke rumah.
Pada tahun 2015, satu kajian mendapati pekerjaan dengan tahap stres yang tinggi meningkatkan risiko terkena strok dan menyebabkan masalah ingatan apabila meningkat usia emas.
Jika anda berasa stres di tempat kerja, sila beranikan diri dan bawa berbincang dengan majikan sebelum kesihatan anda melarat. Selain itu, mulalah mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dan mendapatkan rehat yang secukupnya.
#8 Suka cuba nasib
Cuba nasib dan berjudi juga merupakan satu tabiat yang seolah-olah terpahat dalam otak manusia. Kenapa manusia suka sangat bertaruh? Ada yang terlampau taksub berjudi sehingga tergadai ahli keluarga dan habis dijual segala harta-benda.
Satu kajian yang dijalankan oleh saintis dari University of Cambridge mendapati situasi "lagi sikit nak menang" mengaktifkan litar berkaitan kemenangan dalam sistem otak dan meningkatkan keinginan untuk bertaruh lebih banyak. Walaupun tak menang, tapi otak memahaminya sebagai kemenangan walaupun pada hakikatnya individu tersebut sudahpun kalah.
Dalam kajian lain pula penyelidik mendapati kekalahan akan menyebabkan seseorang kaki judi menjadi terbawa-bawa. Walaupun mereka sudah merancang lebih awal nilai yang akan dipertaruhkan, mereka akan terus hilang sikap rasional apabila menemui kekalahan. Kemudian, mereka akan tukar rancangan baru dan bertaruh dengan lebih banyak.
#9 Suka bergosip
Kemahiran bersosial ini sememangnya lumrah dalam diri manusia yang suka menilai dan bercakap mengenai orang lain sehingga mereka tidak mempedulikan perasaan orang. Gosip akan mewujudkan sempadan antara kumpulan dan menaikkan harga diri seseorang.
Kebanyakan gosip yang terjadi bukanlah untuk mendapatkan kebenaran atau kesahihan sesuatu fakta tetapi lebih kepada perhubungan rapat sesama manusia yang berlandaskan 'kisah hidup' pihak ketiga.
Apabila dua orang rakan berkongsi kebencian pada individu yang sama, perbuatan gosip ini akan merapatkan perhubungan mereka berdua. Tetapi perbuatan mengumpat dan menyebarkan gosip ini adalah satu perbuatan yang berdosa, apatah lagi menyebarkan maklumat yang melibatkan maruah orang lain.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." (Hadith riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
#10 Sukakan tabiat buruk
Mungkin tabiat-tabiat di atas ini tidak menjadi suatu masalah besar sekiranya manusia tidak mencipta sendiri dan berpegang teguh pada tabiat itu. Tahukah anda, kajian mendapati walaupun seseorang itu sedar tentang semua risiko dan kesan sesuatu tabiat buruk, mereka rasa susah untuk membuang tabiat yang sudah menjadi kebiasaan.
Kenapa manusia merasakan sukar untuk menghentikan tabiat buruk? Ada beberapa faktor seperti sifat keingkaran manusia yang semula jadi, penerimaan sosial, sikap individualistik dan kecenderungan ketagihan secara genetik.
Manusia suka memberi alasan apabila melakukan sesuatu tabiat buruk. Contohnya, mereka suka memetik beberapa kes terpencil yang boleh dikecualikan daripada statistik dengan berkata, "Saya okay je lagi. Tak kena tangkap pun?"
Ataupun "Nenek saya hisap rokok setiap hari tapi dia hidup elok je sampai umur 95 tahun."
Jika anda sering menggunakan ayat berbaur alasan seperti itu, anda mungkin mengalami ketagihan kepada tabiat buruk. Sila dapatkan nasihat pakar psikologi atau minta mana-mana Ustaz bertauliah 'ubatkan' anda dengan segera.