Oleh pada 27 Dec 2017 kategori

Dalam perniagaan, tiada apa yang lebih penting daripada keberkesanan produk atau servis, dan juga teknik pemasaran. Di zaman serba moden ini pemasaran boleh dikatakan sebagai penentu kepada masa depan sesebuah syarikat.

Ada yang menggunakan taktik yang jujur, prihatin dan menarik. Namun ada juga yang menggunakan taktik kotor dalam memperdaya pengguna bagi melariskan jualan mereka. iluminasi.com ingin berkongsi 4 taktik pemasaran oleh syarikat besar yang akhirnya memakan diri sendiri.

1. Coca-Cola - MagiCans

iklan magicans coca cola

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi melariskan lagi produk mereka, Coca-Cola cuba untuk melaksanakan kempen pemasaran paling besar ketika itu, dengan melancarkan MagiCans pada tahun 1990. Ideanya adalaah dengan memasukkan wang kertas dengan nilai rawak dari $1 hingga $500 ke dalam tin minuman tersebut.

Dan apabila penutup tin dibuka, wang akan keluar (jika ada). Seronok kan?

Namun ia merupakan satu kesilapan besar oleh Coca-Cola yang tidak menyelidik dengan lebih mendalam. Bagi menjayakan penghasilan MagiCans, wang yang dimasukkan haruslah diimbangkan bersama-sama air di dalamnya. Namun, apa yang berlaku adalah tin tersebut bocor.

Mereka yang memenangi wang tunai mendapati wang kertas tersebut basah dan lembik serta berbau. Perkara ini sampai ke pihak media, dan Coca-Cola cuba memperbetulkan keadaan.

Mereka menghentikan promosi ini, iaitu hanya 200,000 tin sahaja dilancarkan daripada 750,000 jumlah keseluruhan. Rugi tu!

2. American Airlines - Pas seumur hidup

american airlines

American Airlines juga bercita-cita untuk mempromosikan penerbangan mereka. Pada tahun 1981, syarikat ini telah mendapat idea menarik untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka. Ia adalah dengan cara menawarkan pas penerbangan kelas pertama seumur hidup, dengan bayaran pendahuluan $250,000.

Dan jika pelanggan mahu menambah lagi seorang rakan ke dalam pas ini, hanya perlu tambah $150,000. Seakan-akan tidak mendapat sambutan, hanya 66 orang sahaja yang mendaftar, namun ia cukup memberikan impak buruk kepada American Airlines.

pas seumur hidup american airlines

Sesetengah daripada pemegang pas ini terbang pergi dan balik, dari Chicago ke London sebanyak 16 kali sebulan. Ia telah membuatkan American Airlines rugi lebih dari $1 juta (RM11.4 juta) setahun!

Syarikat ini kemudiannya menaikkan harga pas kepada $600,000 dan sekali lagi kepada $1.01 juta. Mereka akhirnyaa menghentikan jualan pas tersebut pada tahun 1994. Dan disebabkan pelanggan telah menyebabkan kerugian yang sangat tinggi kepada American Airlines, syarikat ini melantik penyiasat untuk mencari sebab untuk menarik semula pas tersebut secara sah dari segi undang-undang.

3. Hoover - Promosi penerbangan percuma

produk hoover

Pada tahun 1992, syarikat pembuat perkakas rumah British, Hoover, mengalami masalah stok berlebihan bagi produk mesin basuh dan mesin vakum. Dengan ini, syarikat telah menawarkan promosi menarik kepada pelanggan, dan tanpa disedari, promosi untuk bakal memberikan kesan buruk kepada mereka.

Promosi tersebut menawarkan 2 tiket pergi dan balik ke Eropah, kepada sesiapa yang membeli produk Hoover bernilai £100 (RM550) dan ke atas. Mereka kemudianya menawarkan penerbangan ke Amerika Syarikat, dan ia telah merubah segalanya.

promosi penerbangan percuma oleh hoover

Mereka yang menjangkakan keuntungan dan menjual barangan di gudang, namun tak mampu menanggung kos dan permintaan. Stok-stok yang tidak terjual sebelum ini (mesin basuh dan vakum) tidak berganjak kerana pelanggan hanya membeli vakum termurah yang boleh. Syarikat ini terpaksa menggajikan lebih banyak staf di kilang, untuk menampung permintaan ini,

Akhirnya, beribu-ribu pelanggan telah menyaman Hoover, walaupun seramai 220,000 pelanggan telah mendapat habuan penerbangan percuma. Setelah segalanya selesai, Hoover kerugian sebanyak $60 juta, dan 3 daripada staf eksekutifnya kehilangan kerja.

4. Starbucks - #RaceTogether

racetogether oleh starbuck

Pada tahun 2015, isu bangsa dan perkauman menjadi-menjadi di Amerika Syarikat. Untuk menunjukkan yang mereka prihatin, CEO Starbucks, Howard Schultz menggalakkan agar barista-barista mengajak pelanggan untuk berborak mengenai bangsa.

Idea itu mungkin bagus bagi Howard, namun tidak bagi pelanggan dan barista. Pelanggan mengunjungi Starbucks untuk kopi mereka, bukan membincangkan sesuatu yang sensitif seperti itu. Barista juga tidak selesa dengan keadaan tersebut.

reaksi orang ramai terhadap kempen race together oleh starbuck

Kempen #RaceTogether tersebut telah mendapat tempelak yang dahsyat oleh orang ramai, sehinggakan Howard sendiri diserang dan dikecam dengan hebat di media sosial. Dalam satu muatnaik oleh netizen, Starbuck dikatakan menggalakkan pelanggan berborak mengenai bangsa, namun hanya menggunakan gambar orang kulit putih dalam poster mereka.

Dalam masa beberapa hari sahaja, kempen itu dihentikan serta-merta. "Kami melakukan kesilapan, jadi apa masalahnya? Kami harus lupakan dan teruskan hidup," kata Howard Schultz.




Hakcipta iluminasi.com (2017)