Pada awal tahun 2000, Costis Mistotakis dari Greece telah berkenalan dengan seorang gadis Sepanyol bernama Sandra del Pozo. Tidak lama selepas itu, mereka jatuh cinta, membeli sebuah RV dan berhijrah untuk memulakan hidup di negara asal Sandra.

Mereka memilih pekan Sodeto yang berada di bahagian timur laut Sepanyol sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan bersama kerana di sinilah terletaknya kediaman nenek Sandra.

BESARKAN TEKS     A-  A+

costis miksotaksis satu satunya lelaki yang tidak menang loteri

Sodeto merupakan salah satu daripada kira-kira 300 buah perkampungan nelayan yang dibina di bawah pemerintahan diktator Francisco Franco pada tahun 1950-an. Hampir kesemua perkampungan nelayan yang dibangunkan ketika itu mempunyai binaan dan reka bentuk yang sama.

Pekan berpopulasi 200 penduduk ini mempunyai sebuah gereja di tengah-tengahnya dan hanya terdapat sebuah restoran merangkap bar untuk dikunjungi. Rumah-rumah di sini pula kesemuanya berwarna seperti pasir dan berbumbung merah.

pekan sodeto

Sodeto bukanlah suatu tempat yang sering menjadi pilihan percutian pelancong, apatah lagi untuk dijadikan tajuk berita liputan media. Walau bagaimanapun, pada tahun 2011, segalanya berubah apabila setiap daripada penduduk di Sodeto berjaya memenangi hadiah loteri cepumas terbesar di Sepanyol.

Mungkin kita biasa mendengar kisah-kisah individu bertuah yang memenangi hadiah loteri. Namun, keajaiban unik berlaku apabila pekan yang tidak pernah dikenali ini mula menempa nama setelah seluruh penduduk di situ menang hadiah loteri terbesar.

Loteri di Sepanyol

Di Sepanyol, permainan loteri yang merupakan obsesi lebih 75% masyarakat di sana dijalankan dengan sedikit kelainan. Walaupun terdapat pelbagai pilihan loteri, namun loteri yang ditunggu-tunggu oleh setiap orang adalah "La Loteria de Navidad" (Loteri Krismas) yang diadakan setiap tahun sejak 1812. 

Banyak kerajaan di seluruh dunia menganggap loteri sebagai kaedah yang berguna untuk mengumpulkan dana bagi program awam. Walau bagaimanapun, ia sebenarnya adalah sejenis cukai regresif yang lebih menekan orang miskin.

tiket loteri dijual di seluruh sepanyol

Karl Marx pernah menyatakan ia telah direka sebagai satu muslihat untuk membuat golongan bawahan mempercayai bahawa ada jalan mudah untuk keluar daripada kemiskinan. Pihak gereja juga mendapati cabutan loteri adalah sesuatu yang kufur dan tahyul sehinggakan pada tahun 1826, kerajaan British telah mengharamkan loteri sepenuhnya selama hampir seratus tahun.

Pada tahun 1862, Sepanyol juga telah memberikan respon pada kritikan dunia ketika itu dengan membuat sedikit pengubahsuaian pada sistem loteri kebangsaan agar tidak begitu memeras rakyat yang hidup susah. Pihak kerajaan menyangka dengan menaikkan harga setiap tiket, hanya golongan berkemampuan sahaja yang akan membelinya. Walau bagaimanapun, situasi sebaliknya yang berlaku.

Sindiket-sindiket loteri mula berleluasa dengan permainan loteri secara berkumpulan. Loteri di negara itu menjadi kian popular daripada sebelumnya.

Loteri Krismas

Dalam loteri ini, sebarang nombor di antara 00000 sehingga 99,999 boleh menjadi pemenang. Disebabkan kos yang tinggi untuk membeli sendiri nombor pilihan, banyak organisasi menyediakan kemudahan dengan membeli satu nombor kemudian menjual 'saham-saham kecil' kepada individu-individu yang berminat untuk berkongsi nombor tersebut pada harga dua euro, lima euro dan sebagainya.

timbunan tiket loteri yang dibeli seorang penduduk sodeto 652

Ribuan 'pemegang saham' boleh memiliki bahagian yang sama dalam sesuatu nombor. Lebih kecil bahagian yang dimiliki, maka pulangan hadiah jackpot (sekiranya nombor menang) juga tidak begitu lumayan.

Kos yang tinggi untuk membeli sendiri sekeping tiket loteri juga telah menjadikan ia sebagai suatu pesta sosial yang besar di negara ini. Organisasi-organisasi tempatan akan menjual tiket dengan sedikit tokokan harga bagi para pengumpul dana. Kebanyakan rakyat Sepanyol akhirnya akan memiliki satu timbunan tiket di mana setiap satunya merupakan saham kecil daripada pelbagai nombor yang dibeli.

Jualan bagi tiket loteri yang akan dicabut pada setiap 22 Disember ini berlangsung sepanjang musim panas. Cabutan nombor diadakan di Madrid iaitu di teater yang sama dengan cara yang sama saban tahun. 

loteri krismas di sepanyol

Sebuah pentas didirikan dan di tengah-tengahnya diletakkan dua biji bola gergasi berwarna emas. Di dalam setiap bebola gergasi ini terdapat nombor-nombor dan cabutan hadiah yang bakal dimenangi. Selepas bola dicabut, dua kanak-kanak akan menyanyikan nombor dan hadiah itu dengan canta Gregory. Acara cabutan loteri ini akan berlanjutan selama beberapa jam.           

Walau bagaimanapun, hadiah yang ditunggu-tunggu semua orang adalah hadiah terbesar pada hari tersebut iaitu "El Gordo" yang bermaksud "Yang Paling Gemuk." Hadiah El Gordo kebiasaannya bernilai hampir berbilion dolar. Setiap kali pengumuman pemenang El Gordo dibuat, para wartawan akan berkerumun untuk mengetahui kawasan Sepanyol di manakah tiket bertuah tersebut telah terjual.

hadiah cepumas jackpot loteri sepanyol el gordo

Pemenang "El Gordo" 2011

Pada 22 Disember 2011, penduduk pekan Sodeto telah berjaya menggondol hadiah utama tersebut.

Tiket kemenangan mereka telah dijual di seluruh pekan oleh Persatuan Suri Rumah yang dianggotai beberapa orang wanita yang gemar menganjurkan jamuan dan aktiviti di kawasan itu. Persatuan itu menjual tiket dari rumah ke rumah pada harga enam euro. Lima euro adalah harga tiket manakala satu euro lagi akan dimasukkan ke dalam tabung persatuan.

Suri rumah bernama Maria-Carmen Lambea dari persatuan itu merupakan wanita yang bertanggungjawab memilih nombor kemenangan Sodeto. Semasa dia mula mendapat tahu tentang kemenangan mereka, dia mula membuat panggilan kepada kesemua rakan-rakan namun tiada siapa yang mempercayainya. Lama-kelamaan, orang ramai mula berkumpul di plaza dan kisah kemenangan mereka tersebar. Setiap tiket bernilai enam euro (RM27) itu telah meningkat menjadi 100,000 euro (RM461,000).

sambutan kejayaan kemenangan nombor loteri el gordo sodeto

Pada tahun 2011 juga, nombor bertuah 58268 itu bukan sahaja dimenangi penduduk Sodeto. Terdapat beberapa ribu lagi orang lain yang berkongsi hadiah cepumas yang sama bernilai 750 juta euro. Lebih banyak tiket dibeli, maka lebih besar nilai pulangan yang diterima. Di Sodeto, setiap penduduk menerima sekurang-kurangnya 100,000 euro.

Pelayan bar, Ana; Paco si petani dan isterinya, Marisol semua telah menang besar. Begitu juga dengan datuk bandar pekan, Rosa. Hampir setiap orang penduduk di pekan kecil Sodeto telah meraih sebahagian daripada kemenangan El Gordo. 

Kecuali seorang sahaja iaitu Costis Miksotaksis. Entah bagaimana ahli-ahli persatuan itu terlepas pandang rumahnya semasa menjual tiket dari rumah ke rumah.

Lelaki malang, Costis Miksotaksis

Enam tahun kemudian, Costis masih tinggal di pekan kecil itu walaupun telah berpisah dengan Sandra. Apabila terfikir mengenai kemenangan seluruh penduduk Sodeto, dia tidak pernah berkecil hati atau berasa menyesal. Sebagai seorang pembuat filem, dia gembira kerana telah berjaya merakamkan hari bersejarah di mana seluruh pekan secara tiba-tiba menjadi kaya-raya.

costis miksotaksis

Tidak seperti Powerball Jackpot di Amerika Syarikat ataupun National Lottery Jackpot di United Kingdom yang biasanya hanya mempunyai satu atau dua orang pemenang hadiah cepumas, Loteri Krismas yang bergerak di sebalik sebuah sindiket besar ini akan dibahagikan kepada beribu-ribu pemenang.

Walaupun pemenang El Gordo ini belum lagi layak untuk membeli rumah agam atau sebuah kapal layar, namun seluruh penduduk sudah berkemampuan untuk melangsaikan semua hutang dan memiliki sebuah kereta Honda Civic. Kemenangan loteri ini membawa kekayaan ke seluruh kawasan pekan dan mengubah ekonomi setempat kerana kekayaan itu diagihkan sama rata kepada seluruh penduduk yang bertuah.

Tidak mahu jadi seperti Costis

Pakar-pakar ekonomi telah lama cuba memahami mengapakah ramai orang yang gemar bermain nombor ekor kerana ia merupakan satu pelaburan yang amat tidak rasional. Kebarangkalian untuk memenangi hadiah jackpot itu adalah sangat tidak munasabah dan merupakan kaedah taruhan paling teruk antara semua jenis perjudian.

Akan tetapi, di Sepanyol, ia merupakan suatu acara sosial di kalangan masyarakat tempatan. Mereka bersepakat membeli tiket loteri kerana tidak ingin menjadi individu malang seperti Costis yang tidak menang. Bahkan, sentimen sama inilah yang sering dieksploitasi oleh penganjur loteri untuk menakut-nakutkan rakyat Sepanyol dalam iklan mereka setiap tahun:

Persatuan Suri Rumah pekan Sodeto yang kini dikenali sebagai Persatuan Wanita berterusan memilih nombor bertuah mereka dalam Loteri Krismas tahun demi tahun. Jika dahulu mereka perlu berkunjung dari rumah ke rumah untuk menjual tiket, kini penduduk Sodeto sendiri yang datang kepada mereka untuk mengambil bahagian. Kesemua tiket terjual dalam masa hanya beberapa hari sahaja.

Menurut rata-rata penduduk di sana, mereka pernah menjadi bertuah sekali dan mereka mungkin boleh menjadi bertuah untuk kali kedua. Bagaimanapun, kali ini, tiada siapa yang ingin ketinggalan dan menjadi seperti Costis si lelaki Greek yang malang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)