Sesetengah pihak melihat ganja atau marijuana sebagai dadah rekreasi yang membantu mereka menenangkan fikiran dan tidak membawa apa-apa kemudaratan.
Namun, ramai juga yang berpendapat ia merupakan laluan kepada mencuba dadah-dadah lain yang lebih berbahaya. Kedua-duanya sudah pasti benar, berdasarkan pengguna dan cara menggunakannya.
Pada tahun 2012, negeri Colorado dan Washington menjadi 2 negeri Amerika Syarikat yang pertama menghalalkan ganja untuk penggunaan rekreasi.
BESARKAN TEKS A- A+
Para pengkiritik bimbang ia akan mempengaruhi kadar jenayah, kemalangan jalan raya dan remaja terlibat dengan dadah, dan mereka yang menyokong berharap ia dapat meningkatkan ekonomi serta penghapusan jenayah pengguna ganja.
Dalam tempoh 6 tahun ini, kajian, kaji selidik dan statistik diterbitkan untuk memberikan gambaran terhadap kesan menghalalkan ganja, dan iluminasi.con kongsikan 6 kesan sampingan menghalalkan penggunaan ganja.
6. Kemalangan kenderaan meningkat
Apabila ganja dihalalkan, ia sudah pasti akan menggantikan banyak pemandu mabuk dengan pemandu yang "high". Dan ini memberikan beberapa kesan sampingan yang menari.
Pertamanya, sudah pasti pengguna ganja semakin bertambah. Di Colorado, penggunaan ganja di kalangan orang dewasa meningkat sebanyak 29% sejak dihalalkan.
Namun ramai di antara mereka ini mengurangkan pengambilan alkohol sebelum memandu. Pemanduan secara mabuk di Washington menurun sebanyak 33% sejak tahun 2007.
Manakala pemanduan secara "high" meningkat kira-kira 50%, namun sukar untuk mengetahui punca sebenar kerana ganja kekal dalam darah selama beberapa minggu.
Menurut statistik, kemalangan jalan raya di kawasan yang menghalalkan ganja meningkat, tetapi kematian disebabkan kemalangan menurun.
Dan walaupun tiada siapa yang pasti dengan tepat bagaimana ia berlaku, namun orang ramai beranggapan bahawa mereka yang high disebabkan pengambilan ganja melanggar kereta lain dengan begitu perlahan, berbanding kemalangan pemandu mabuk yang biasanya membunuh.
5. Pihak polis fokus menyelesaikan lebih banyak jenayah
Apabila ganja dihalalkan, pihak polis benar-benar dapat menumpukan kepada jenayah sebenar.
Dalam tahun pertama, tuduhan pemilikan ganja menurung dengan begitu mendadak iaitu sebanyak 98% di Washington, dan ini adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.
Di antara tahun 2000 dan 2010 sebelum ganja dihalalkan, Washington membelanjakan RM800 juta melaksanakan undang-undang ke atas dadah ini. Ini bermakna menghalalkan penggunaan ganja menjimatkan hampir RM1 billion.
Dan ia telah menjadikan pihak polis menjadi lebih berhemat. Kedua-dua jabatan polis di Washington dan Colorado dilihatkan menyelesaikan kes-kes jenayah lain dengan lebih pantas sejak ganja dihalalkan.
Ia juga memberi faedah kepada rakyat di mana pemeriksaan kenderaan oleh pihak berkuasa tidak sekerap dahulu kerana mereka tidak boleh menggunakan alasan "anda berbau ganja" lagi.
Salah seorang anggota polis Washington memberitahu bahawa 90% kes tangkapan jenayah yang dibuatnya bermula daripada bau ganja.
4. Lebih banyak kanak-kanak dimasukan ke hospital
Sebaik sahaja ganja dihalalkan, hospital menerima banyak kanak-kanak yang dimasukkan ke bilik kecemasan disebabkan oleh "kek ganja" atau "pot brownies", dan ini sangat berleluasa.
Dalam satu tahun sahaja, Colorado telah merawat 87 kanak-kanak di bawah usia 9 tahun kerana menghadam ganja, peningkatan sebanyak 450% sejak ia dihalalkan.
Kebanyakan kes ini berlaku kerana kanak-kanak menyelinap masuk ke dalam bilik ibu bapa dan memakan kek ini tanpa mengetahui apa kandungannya. Ia berkemungkinan penghalalan ganja membuatkan kes seperti ini semakin meningkat.
Namun ia lebih logik untuk memikirkan bahawa ia disebabkan oleh ibu bapa tidak bimbang untuk membawa anak-anak ke hospital akibat termakan kek ganja ini, kerana ia tidak lagi haram.
Sebelum dihalalkan, ibu bapa berhadapan dengan tuduhan membahayakan kanak-kanak serta ada yang meninggal dunia kerana anak-anak memakan biskut yang dibuat mengandungi ganja.
Adalah munasabah bahawa sebab utama kes kanak-kanak dimasukkan ke hospital kerana ibu bapa tidak lagi takut didakwa kerana memiliki ganja. Sebelum ini, mereka mengatasi masalah ini dengan hanya menunggu anak-anak menjadi sihat kembali dan berharap yang terbaik.
3. Jumlah gelandangan meningkat
Apabila Colorado menghalalkan ganja, penduduk tempatan mula mengadu tentang jiran-jiran baru mereka. Rumah-rumah mereka, seperti mana diberitahu oleh seorang penduduk, "tiba-tiba menjadi syurga bagi penghisap ganja, menjadi bertambah bilangan gelandangan, peminta sedekah dan sejumlah besar penagih dadah".
Terdapat kontroversi sama ada ini adalah benar atau tidak. Snopes.com telah menulis ia adalah tidak benar dengan mengatakan bahawa populasi gelandangan di Colorado berkurang sehingga separuh antara 2012 dan 2013 apabila ganja dihalalkan.
Namun laporan ini dipertikai kerana Snopes.com terlepas pandang perkara utama. Pada tahun 2013, Colorado mengubah cara mereka mengira populasi gelandangan dan kerajaan negeri mengiktiraf sistem baru terhadap penurunan ketara dalam populasi gelandangan ini.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah jumlah gelandangan meningkat di Colorado, Washington, Oregon, California dan Alaska, selepas ganja dihalalkan, bermakna penduduk tempatan memberitahu perkara yang benar.
Pengguna ganja memang berhijrah ke neger-negeri ini bagi membolehkan mereka menghisap ganja secara halal.
2. Kadar jenayah menurun
Jenayah di Washington adalah yang terendah dalam 40 tahun sementara Colorado melihat penurunan kadar jenayah sekitar 2.4% sejak ganja dihalalkan. Namun, ini tidak terbanding dengan negeri-negeri di selatan Amerika Syarikat.
Di negeri-negeri yang bersempadan dengan Mexico di mana perdangan ganja biasanya dikawal oleh kartel dadah, kadar jenayah telah merosot dengan begitu ketara setelah ia dihalalkan.
Di California, penghalalan ganja untuk kegunaan perubatan sahaja mengurangkan kadar jenayah kejam sebanyak 15%, pecah rumah sebanyak 19% dan kes bunuh sebanyak 10%.
Ia memberikan gambaran seolah-olah ganja tidak mengubah seseorang menjadi penjenayah. Ia sudah pasti membuatkan kartel-kartel dadah mengalami kerugian yang sangat besar dan mungkin membuatkan perniagaan mereka musnah.
1. Kerosakan dalam kalangan remaja
Disebabkan ganja dihalalkan, sudah pasti penjualannya ada di merata-rata tempat termasuklah kedai-kedai runcit. Dan perkara ini akan menimbulkan masalah kepada golongan belia dan kanak-kanak.
Seperti rokok, penjualannya diharamkan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah, namun ia tidak menghalang kanak-kanak untuk mendapatkannya.
Kini pengambilan rokok boleh bermula seawal usia 8 tahun, dan ini sangat membimbangkan.
Penguatkuasaan undang-undang dilihatkan tidak akan dapat mengawal perkara ini dan penjual sudah tentu hanya lebih memberi perhatian kepada keuntungan berbanding masalah yang bakal timbul dalam kalangan remaja.
Tidak perlu berbincang mengenai ganja, pengambilan rokok di kalangan remaja bawah umur sudah cukup untuk merosakkan mereka dan mula terlibat dengan jenayah lain yang lebih dahsyat.
Mungkin ada pengguna ganja yang dewasa boleh mengawal pengambilan ganja, namun kanak-kanak yang masih kurang akal fikiran sudah pasti tidak.
Rujukan: