Apa saja yang kita lihat akan diproses oleh otak kita dan otak kita akan mentafsirkannya dalam bentuk kefahaman pada kita.
Walaupun begitu, ada kalanya otak kita sendiri gagal memproses sesuatu perkara yang kita lihat dengan sempurna dan ini akan membuatkan wujudnya fenomena yang digelarkan ilusi optik. Ada banyak jenis ilusi optik yang ada dan pasti banyak yang kita dah cuba di internet.
BESARKAN TEKS A- A+
Artikel ini bukan bertujuan untuk menayangkan kepada anda ilusi optik secara rambang kepada anda. Pernahkah anda rasa ingin tahu bagaimana ilusi optik ditemui? Berikut adalah 5 asal usul kategori ilusi optik yang ada yang dapat kami kongsikan hari ini.
1. Ilusi Ebbinghaus
Ilusi Ebbinghaus atau Bulatan Titchener adalah satu ilusi yang mengganggu minda kita dari segi persepsi saiz. Ditemui oleh Herman Ebbinghaus yang kemudiannya dipopularkan oleh Edward B.Titchener dalam buku teksnya, ilusi ini membuatkan kita merasakan dua bulatan yang sama saiz kelihatan berbeza saiznya. Pengkaji otak banyak merujuk kepada ilusi ini bagi mengkaji tindak balas manusia adakah berbeza bila dia berhadapan dengan ilusi yang mempengaruhi mindanya.
2. Ilusi Sarcone's Cross
Hanya ditemui pada tahun 2013, Sarcone's Cross adalah hasil dapatan seorang penyelidik visual bernama Gianni A.Sarcone, dari Itali. Berlawanan dengan Ebbinghaus, Sarcone's Cross mampu membuatkan objek fokus kelihatan lebih besar berbanding saiz asalnya apabila dikelilingi segi empat yang lebih besar. Sarcone's Cross membuktikan sesuatu yang tidak dapat dijawab selama ini oleh penyelidik - tidak terdapat hubungan yang sekata akan wujud antara objek yang dikelilingi dan saiz persepsi kita terhadap objek tumpuan. Semuanya tidak mustahil.
3. Ilusi Ponzo
Ditemui oleh seorang ahli psikologi bernama Mario Ponzo pada tahun 1911, dia mencadangkan yang minda manusia akan menganggar saiz sesuatu objek berdasarkan latar belakang yang ada. Dengan menggunakan dua garisan sama panjang yang diletakkan di atas ilustrasi serupa rel keretapi, kedua-dua garisan kelihatan berbeza saiznya.
4. Ilusi Bulan/Moon Illusion
Jangan ingat hanya dengan ilustrasi minda kita tertipu, dengan alam semulajadi pun ada kalanya kita tidak tertipu dengan ilusi optik. Bulan kelihatan berbeza-beza saiznya bergantung kepada jarak bulan tersebut dengan garis tanah sedangkan hakikatnya, tidak berlaku sebarang perubahan saiz.
Pengkaji telah mengambil gambar bulan di beberapa tempat yang berbeza ketinggiannya, namun saiz bulan dalam gambar yang diambil semuanya sama. Sehingga sekarang, tidak ada penjelasan yang diterima sebagai jawapan kenapa fenomena ini berlaku. Penerangan paling banyak diterima adalah otak kita mengambil kira perspektif antara kita dengan bulan, lalu membuatkan secara fizikal, bulan kelihatan lebih besar.
5. Ilusi Delboeuf
Sedikit mirip dengan ilusi Ebbinghaus, ilusi Delboeuf menggunakan dua bulatan yang sama saiznya namun dibezakan dengan saiz bulatan luar, yang akan mewujudkan persepsi perbezaan saiz. Dijumpai pada tahun 1865 oleh Joseph Remi Leopold Delboeuf dari Belgium, ilusi ini kerap diamalkan oleh kedai-kedai makan untuk membuatkan saiz hidangan mereka nampak lebih besar daripada biasa, dengan penggunaan pinggan yang lebih kecil. Bagi mereka yang gemar menggunakan pinggan besar, mereka berkemungkinan akan makan lebih banyak kerana merasakan saiz hidangan tidak mencukupi.
6. Ilusi Orbison
DItemui oleh seorang ahli psikologi Amerika bernama William Orbison pada tahun 1939, dengan meletakkan satu segi empat sama di atas garis-garis dua dimensi, penonton akan dapat melihat berlakunya perubahan dalam bentuk gangguan yang akan mengubah bentuk segi empat tersebut.