Dalam dunia kita, dianggarkan ada lebih kurang 1 dalam sejuta orang yang mengalami satu kondisi yang dinamakan sindrom savant dengan penemuan pertama ditemui pada tahun 1783. Sindrom savant ini mampu membuatkan seseorang itu mempunyai kelebihan melebihi orang biasa dalam pelbagai bidang, namun kebiasaannya tertumpu dalam satu atau dua bidang.

Mereka yang mempunyai kemahiran ini selalunya mempunyai kemahiran luar biasa dalam satu atau lebih bidang yang selalunya berkait dengan seni, daya ingatan, daya pengiraan dan juga kemahiran mengolah objek 2 dimensi atau 3 dimensi. Dianggarkan setakat ini, laporan terhadap sindrom savant ini berjumlah kurang daripada 100 kes, dengan kemahiran luar biasa mengingati hari dalam kalendar menjadi kes paling banyak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 individu yang bertaraf savant dalam 5 bidang berbeza yang kami harap dapat kami kongsikan kepada anda.

1. Orlando Serrell

orlando serrell

Orlando Serrell adalah seorang budak berusia 10 tahun yang gemar bermain permainan besbol. Pada satu hari, akibat pukulan salah seorang kawannya, bola yang dipukul terkena kepalanya sehingga dia terbaring di atas tanah. Orlando kemudiannya bangun dan meneruskan permainan seperti biasa seperti tidak ada apa-apa berlaku.

Beberapa hari kemudian, dia mula mengalami sakit kepala yang dahsyat namun menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa beliau. Selepas sakitnya surut, dia mula menyedari dirinya mempunyai satu kebolehan yang tidak dipunyainya sebelum itu - dia mampu mengetahui segala jenis maklumat yang terkandung dalam kalendar, mengingati hari apa pada tarikh sekian-sekian, tarikh-tarikh akan datang dan dia juga mula dapat mengingati cuaca pada tarikh-tarikh yang telah lalu.

Apa yang mengkagumkan, Orlando tidak menggunakan sebarang pengiraan untuk tahu maklumat yang diminta, dia secara automatik tahu. (rujukan)

2. Jason Padgett

jason padgett

Selepas sesi karaoke pada satu malam tahun 2002, Jason Padgett, seorang penjual perabut dari Washington, diserang oleh dua orang lelaki yang mahu merompaknya. Dibelasah dan disepak di bahagian kepala dan badan, Jason mengalami trauma teruk pada beberapa organ penting. Jason pengsan selepas itu namun apabila dia sedarkan diri, penglihatannya berbeza.

Dia mula melihat bentuk-bentuk geometri di sekelilingnya yang dibentuk oleh garisan-garisan yang dia tidak faham, mengubah rupa dunia pada visinya. Selepas dia mula menterjemahkan apa yang dia nampak dalam bentuk lukisan, barulah pakar menyedari apa yang dia lukis sebenarnya mempunyai perkiraan-perkiraan matematik dalam bentuk visual.

Jason diberitakan bukan seorang yang handal dalam matematik dan juga bukan seorang pelukis. Insiden itu membolehkan Jason mampu menterjemahkan formula matematik dalam bentuk geometri dan yang lebih hebat, dia melakukannya dengan tangan, tanpa memerlukan peralatan khas untuk melukis bentuk yang dilihatnya. (rujukan)

3. Derek Amato

derek amato

Melakukan aksi berani terjun ke dalam sebuah kolam renang yang agak cetek, kepala Derek Amato terhentak pada permukaan kolam menyebabkan dia kehilangan hampir 35% pendengarannya. Bagaimanapun, kecederaan pada kepalanya itu menyebabkan dia mempunyai satu kebolehan luar biasa;

Dia mula mampu mendengar muzik setiap masa. Derek juga entah kenapa, tiba-tiba berkemahiran tinggi dalam piano sedangkan dia langsung tidak mempunyai kebolehan bermain piano sebelum itu. Mampu mencipta pelbagai melodi indah, kebolehan Derek menarik minat ramai pihak bagi menyaksikan sendiri kebolehannya.

Walaupun mempunyai kebolehan luar biasa mencipta lagu dengan piano yang dilakukannya secara mudah sekali, Derek mengakui ada harga yang perlu dia bayar. Dia kerap mengalami sakit kepala dan sensitif terhadap cahaya yang terang. Sehingga kini ayah kepada 3 orang anak ini meneruskan kerjaya barunya dalam bidang muzik kerana dalam kepalanya, selagi dia sedar - muzik dalam kepalanya tidak pernah berhenti. (rujukan)

4. Alonzo Clemons

alonzo clemons

Alonzo Clemons bukanlah seorang kanak-kanak normal. Semenjak usianya 3 tahun atas kecederaan pada kepalanya, dia tergolong dalam golongan kurang upaya dengan nilai IQ yang dianggarkan pada tahap 40, jauh lebih rendah berbanding tahap normal orang biasa. Akibat kerosakan pada otaknya, dia mempunyai masalah percakapan dan kekurangan kemahiran untuk melakukan perkara-perkara rutin seperti memakai pakaian sendiri.

Bagaimanapun, apabila diberikan tanah liat - dia sejak kecil mampu membentuk tanah liat tersebut sehingga menjadi bentuk haiwan yang agak realistik. Kebolehannya berkembang hari ke hari sehinggalah kini, dia menjadi salah seorang pengukir paling terkenal di dunia.

Kehebatan Alonzo ini bukannya datang tiba-tiba seperti individu lain dalam senarai ini, namun semuanya bermula sejak kecil di mana dia mampu membentuk semula haiwan yang dia lihat walaupun dalam sejenak, dengan anatomi yang betul dalam bentuk 3 dimensi tanpa perlu gambar rujukan. Dia seperti dapat menyimpan sendiri imej dalam kepalanya untuk diterjemahkan dan masa yang digunakan oleh Alonzo untuk mengukir pula, jauh lebih singkat berbanding orang lain.

Untuk satu ukiran kecil haiwan yang dilihatnya sekilas lalu, dia hanya memerlukan 20 minit bagi satu bentuk haiwan. (rujukan)

5. Daniel Tammet

daniel temmet

Mengalami sawan yang merencatkan otaknya ketika berusia 3 tahun, Daniel Tammet semenjak itu mula obses untuk mengira, tak kira apa benda sekalipun. Kecacatan pada otaknya juga mengakibatkan dia diiktiraf seorang autistik - tidak berkebolehan memandu, membetulkan pendawaian elektrik malahan sukar membezakan kiri dan kanan. Tetapi jika kita tanya Daniel soalan matematik tak kiralah sesukar mana pengiraannya, dia dapat menjawab seimbas lalu tanpa perlu mengira.

Semenjak mengalami sawan, Daniel mula melihat nombor sebagai bentuk, warna dan tekstur yang membolehkan dia melakukan matematik tanpa perlu berfikir - kerana pada dia, matematik adalah visual yang sentiasa berubah memberikan dia jawapan kepada pengiraan.

Mampu menguasai 7 bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Lithuania, Icelandinc dan Esperanto, Daniel dalam proses membina bahasanya sendiri. Hidupnya sukar berikutan rutin dirinya yang ketat berdasarkan peraturannya sendiri. Dia perlu minum teh pada waktu yang sama setiap hari. Rutin mandinya perlu sama setiap hari. Apa saja yang menganggu rutinnya hanya akan membuatkan dia tidak selesa.

Daniel menjadi satu-satunya manusia didunia yang mampu menyebut angka perpuluhan angka 'pi' sehingga 22,514 titik perpuluhan, sesuatu yang sukar untuk dipaparkan dalam kalkulator. Namun bagi Daniel, benda tu mudah kerana pada matanya, dia nampak nombor tersebut jadi Daniel tidak ada masalah untuk menyebut nombor tersebut dari awal atau dari hujung. Untuk setiap kali bacaan, dia perlu menghabiskan masa selama 5 jam bagi menyebut kesemua angka yang ada. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)